Adakah tindakan membuli Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya sebahagian daripada kempen ketakutan ke atas mahasiswa?

Saya ingin merujuk kepada tindakan pihak pentadbiran Universiti Malaya yang bertindak menggantung pendaftaran Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (CLS) berkuatkuasa dari September 2017 hingga Februari 2018. Penggantungan persatuan ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti mereka sepanjang tempoh penggantungan selama satu penggal, malah lebih panjang jika mengambil kira aktiviti yang tidak dapat mereka sertai kerana kegagalan mendaftarkan diri sepanjang tempoh penggantungan.

Paling utama, tindakan menggantung persatuan di universiti kerana mengeluarkan notis program dalam satu bahasa sahaja adalah keterlaluan dan tidak munasabah memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah sekadar kesilapan yang bersifat teknikal. Apakah tindakan amaran, surat tunjuk sebab dan denda tidak memadai?

Hal ini sangat menggusarkan berdasarkan trend semasa yang menunjukkan kecenderungan pihak pengurusan universiti mengambil langkah keras dalam mengawal mahasiswa. Terbaru, Universiti Malaya, melalui unit integriti telah mengeluarkan notis larangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengkritik dasar kerajaan. Larangan ini juga meliputi ulasan mengenai universiti.

Tindakan keras serta larangan sebegini seolah-olah dilakukan untuk menyampaikan mesej bahawa pihak pentadbiran universiti tidak akan tergesa-gesa untuk mengambil sebarang langkah drastik terhadap sesiapa sahaja atas apa-apa alasan. Kali ini CLS telah dijadikan tauladan. Selepas ini, siapa pula akan dimangsakan? Adakah tindakan ini sebahagian daripada kempen untuk membuli mahasiswa agar dapat memerintah melalui ketakutan (rule by fear)?

Pastinya, jika pihak pentadbiran universiti terus bersikap membuli dan menekan, lebih ramai mahasiswa akan memilih untuk bergiat aktif dalam kumpulan yang tidak berdaftar, baik di luar mahupun di dalam universiti.

Pihak pentadbiran universiti harus sedar bahawa tindakan sebegini tidak akan membantu untuk memupuk budaya mahasiswa yang berfikiran kritikal dan analitikal. Tujuan pengajian tinggi bukan sahaja untuk mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran teknikal bidang pekerjaan, malahan yang lebih penting adalah kemampuan mereka untuk menghubungkan disiplin ilmu yang mereka kuasai dengan dunia realiti semasa. Hal ini penting sekiranya kita mahukan modal insan yang holistik dan mampu menyumbang kepada kehidupan sosial, ekonomi, dan politik masyarakat negara kita.

Sebagai institusi pengajian tinggi terulung di negara ini, Universiti Malaya seharusnya menjadi suri tauladan kepada universiti lain dalam menguruskan mahasiswa mereka. Mahasiswa harus dilayan secara matang, dihormati sebagai orang dewasa dan bukannya dibuli seolah-olah mereka ini anak-anak sekolah asrama. Maka, saya berharap Universiti Malaya akan mempertimbangkan semula tindakan ini demi kecemerlangan akademik dan sahsiah mahasiswa kita secara keseluruhannya.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP
Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi

NB: This statement was released on 2 December 2017 in Kuala Lumpur. 

Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc