Fitnah dan Utusan umpama isi dengan kuku

Saya ingin merujuk kepada satu lagi siri fitnah oleh Utusan Malaysia pada 6 Disember 2016 yang jelas bertujuan untuk menggambarkan DAP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai ancaman kepada orang Melayu.

Kampung Mutiara

Salah satu tuduhan liar yang dilemparkan adalah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang lepas tangan terhadap isu Kampung Mutiara, Batu Ferringhi. Malah, Utusan Malaysia juga memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan merobohkan kampung tersebut.

Dakwaan jahat ini langsung tidak berasas. Bagaimanakah Kerajaan Negeri boleh dikatakan lepas tangan apabila wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan termasuk saya sendiri telah terlibat dalam usaha mempertahankan penduduk Kampung Mutiara daripada tindakan pengusiran yang dikenakan oleh mahkamah?

Pada masa yang sama, walaupun tanah tersebut merupakan tanah milik persendirian dan tuan tanah sudah pun memenangi kes di mahkamah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tetap mengisytiharkan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang pemajuan di tanah tersebut selagi penduduk tidak diberi pampasan yang setimpal. Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju menyediakan rumah PPR sebagai penginapan sementara seandainya berlaku perobohan rumah.

Usaha Kerajaan Negeri telah pun diiktiraf oleh Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Ahmad Ismail yang secara terbuka memuji sikap bekerjasama kepimpinan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara. Adakah Dato’ Ahmad Ismail akan turut difitnah oleh Utusan?

Dalam sebarang kes tuntutan tanah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan hak semua pihak terpelihara, khususnya penduduk yang terlibat. Hal ini juga dibuktikan di Tanjung Tokong, di mana kemelut puluhan tahun antara UDA dan penduduk kampung telah berjaya diselesaikan hasil daripada perbincangan bersama yang dimudahcarakan oleh Kerajaan Negeri.

DAP tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri

Dalam keluaran yang sama, Utusan Malaysia turut mengulangi fitnah lama kononnya DAP akan merebut jawatan Perdana Menteri sekiranya menang bersama Pakatan Harapan. Meskipun tiada halangan dari segi Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana rakyat Malaysia untuk memegang jawatan tertinggi itu, namun DAP memahami fabrik sejarah dan sosio-politik negara kita dan adalah naïf untuk DAP mengidamkan jawatan Perdana Menteri.

DAP tidak pernah berubah pendirian bahawa Perdana Menteri pilihan adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bukan hanya kerana soal beliau Melayu, tetapi kerana beliau adalah Melayu yang berkelayakan. DAP juga percaya bahawa terdapat ramai pemimpin Melayu yang berkebolehan serta beramanah dalam kalangan parti-parti pembangkang yang sudah tentu tidak akan menyeleweng duit negara atau menerima ‘derma’ berbilion ringgit dalam akaun bank peribadi mereka.

Pada masa yang sama, DAP komited terhadap pembaharuan sistem dan bukan hanya mengejar jawatan-jawatan tertentu. Apa yang lebih bermanfaat kepada rakyat bukan sekadar penentuan Perdana Menteri tetapi reformasi keseluruhan struktur dan sistem politik negara kita yang telah nazak dirosakkan oleh rejim UMNO-BN.

Perlembagaan Persekutuan

Utusan Malaysia juga menuduh DAP tidak memartabatkan Perlembagaan Persekutuan. Tuduhan ini langsung tidak masuk akal kerana sejak Merdeka hingga kini, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda lebih 48 kali oleh kerajaan yang dipimpin UMNO. Malah, menurut pakar perlembagaan, Prof Shad Saleem Faruqi, jika mengambil kira keseluruhan pindaan individu, maka Perlembagaan Persekutaan sebenarnya telah dipinda hampir 700 kali sehingga menjejaskan semangat asalnya. Sebagai bandingan, Perlembagaan Amerika hanya dipinda sebanyak 33 kali sejak tahun 1789.

Malah, DAP dan Pakatan Harapan yang memastikan Perlembagaan tidak lagi dipinda sewenang-wenangnya dengan menafikan majoriti dua pertiga kerajaan UMNO-BN di Parlimen sejak tahun 2008.

Secara dasarnya, DAP senantiasa berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan sepertimana terkandung dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang dibentangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra semasa Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, yang berbunyi:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Pemasyhuran ini dengan jelas menekankan semangat dan nilai yang perlu dipelihara oleh Perlembagaan yang meliputi keselamatan hak dan keutamaan Raja-Raja Melayu, hak-hak asasi dan kebebasan rakyat, sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Semua nilai-nilai ini digalas oleh DAP sepanjang kewujudan parti selama 50 tahun dan sebenarnya adalah UMNO yang meremehkan semangat asal Perlembagaan apabila bertindak meminda Perlembagaan bagi melemahkan kuasa institusi Parlimen dan Raja-raja.

UMNO terdesak

Jelas, fitnah dan Utusan Malaysia umpama isi dengan kuku yang tidak terpisah. Akibat skandal-skandal rasuah yang besar serta kegagalan UMNO untuk mengurus ekonomi dan menangani masalah rakyat seperti kenaikan kos sara hidup yang makin ketara, maka terpaksalah mereka menggunakan media untuk memainkan sentimen perkauman yang lapuk.

Seperti biasa, DAP dijadikan momok untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Namun UMNO harus ingat bahawa kini sudah hampir tahun 2017. Retorik perkauman apatah lagi fitnah memualkan begini tidak lagi termakan. Jangan hina kemampuan orang Melayu untuk menilai dan membezakan mana yang intan mana yang kaca.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

NB: This press statement was released on 7 December 2016 in Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc