Hentikan penutupan Masjid Al-Aqsa

Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menutup Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis. Penutupan masjid ini adalah satu bentuk pencabulan ke atas hak umat Islam untuk beribadat yang merupakan suatu hak yang dijamin oleh undang-undang.

Dengan menghalang hak umat Islam untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel secara terang-terangan telah mencabuli Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik 1966 yang mana Israel adalah signatori.

Arahan penutupan Masjid Al-Aqsa oleh rejim Israel dan keganasan yang dilakukan ke atas umat Islam yang ingin menunaikan ibadat di masjid tersebut adalah satu tindakan yang amat terkutuk dan mesti dihentikan segera.

Tindakan sewenang-wenang rejim Israel ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam dan semua  penganut agama lain yang cintakan keadilan dan kedamaian. Maka, atas dasar komitmen terhadap prinsip keadilan dan kedamaian sejagat, Pakatan Harapan menyatakan rasa simpati dan solidariti kami dengan umat Islam di Baitul Maqdis dan menggesa supaya satu tindakan kolektif diambil dengan kadar segera oleh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serta-merta penindasan rejim Israel ke atas umat Islam di Baitul Maqdis.

Oleh itu, semua pihak mesti mendesak rejim Israel supaya menghentikan penutupan Masjid Al-Aqsa dan mengembalikan semula hak umat Islam untuk beribadat dengan aman di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.

Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pakatan Harapan menggesa kerajaan Malaysia supaya memainkan peranan utama dalam mempelopori usaha di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pencabulan hak umat Islam di Baitul Maqdis. Pakatan Harapan juga ingin menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi yang boleh mencetuskan pertumpahan darah di Masjid Al-Aqsa mestilah dielakkan.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

Dato’ Dr Mujahid Yusof
Naib Presiden AMANAH

Zairil Khir Johari
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

NB: This press statement was released on 26 July 2017 in Kuala Lumpur.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc