KBS harus jelaskan kegagalan sistem pengurusan tiket Sukan SEA

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan kontinjen negara menjangkaui sasaran 111 pingat emas dalam Sukan SEA, lantas menjadikan temasya kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam kejohanan serantau ini. Walaupun tidak berjaya menjuarai acara bola sepak, namun prestasi pasukan Harimau Malaya kita amat mengagumkan dan menonjolkan potensi yang baik buat masa depan.

Masalah pengurusan tiket

Namun begitu, tampaknya misi untuk menjuarai temasya ini sedikit terganggu dengan insiden kekecohan semasa penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dengan Thailand yang telah berlangsung semalam.

Menteri Belia dan Suka, Khairy Jamaladdin, telah memutuskan untuk tidak menjual tiket perlawanan akhir secara atas talian setelah mendapati berlakunya kelemahan yang ketara dalam penjualan tiket bagi perlawanan-perlawanan sebelumnya – termasuk semasa perlawanan yang membabitkan negara Myanmar apabila ramai penyokong negara tersebut gagal membeli tiket sedangkan tempat duduk di dalam stadium masih banyak yang kosong.

Selain itu, terlalu banyak masalah teknikal yang membelenggu pengurusan tiket perlawanan, daripada rungutan laman web yang tidak berfungsi, pembelian tiket yang tidak direkodkan, hinggalah kepada kegagalan pengimbasan di kaunter masuk. Akhirnya, berkelam-kabutlah apabila orang ramai menghadapi masalah memperolehi tiket.

Jelas, sistem penjualan dan pengurusan tiket yang digunapakai mempunyai terlalu banyak kelemahan asas sehingga menjejaskan perjalanan beberapa acara. Yang paling malangnya, kebanyakan masalah yang berlaku sepatutnya boleh dielak. Justeru, timbul beberapa persoalan mengenai kecekapan dan kemampuan syarikat yang dipertanggungjawabkan bagi menguruskan penjualan tiket.

Syarikat konsesi jelas tidak berkemampuan

Pertamanya, Kementerian harus menjelaskan syarikat manakah yang diberi konsesi penjualan dan pengurusan tiket? Adakah tender terbuka dilakukan, dan apakah asas pemilihan syarikat tersebut apabila jelas mereka kurang berpengalaman dalam acara besar-besaran dan tidak membuat persediaan yang mencukupi.

Alasan trafik atas talian yang terlalu tinggi adalah tidak munasabah. Hal ini kerana banyak acara lain yang jauh lebih besar, termasuk konsert Ed Sheeran yang bakal berlangsung pada 14 November ini, langsung tidak mengalami masalah walaupun sejumlah 12,000 tiket telah dijual dalam masa 30 minit.[1]

Platform atas talian yang cekap sepatutnya mampu menampung trafik dan permintaan yang besar dan mendadak. Maka, timbullah pertanyaan mengapa syarikat-syarikat yang lebih berpengalaman tidak dipilih untuk menyediakan perkhidmatan jualan tiket atas talian bagi temasya Sukan SEA yang jelas akan menjana permintaan besar?

Selaku pihak yang bertanggungjawab, Kementerian Belia dan Sukan harus menjelaskan soalan-soalan mengenai syarikat konsesi. Dalam pada itu, Kementerian juga harus menjawab sama ada konsesi pengurusan tiket bagi kota sukan bersepadu KL Sports City di Bukit Jalil telah pun dianugerahkan, dan jika ya, kepada syarikat mana. Langkah-langkah harus diambil untuk memastikan kegagalan yang sama tidak berulang.

Walaupun dicemari oleh permasalahan pengurusan tiket, khususnya bagi acara bola sepak, namun syabas tetap diucapkan kepada semua warga sukan dan para atlet kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di persada Sukan SEA kali ini.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

[1] http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/05/15/all-12000-ed-sheeran-concert-tickets-sold-out-in-one-morning/

NB: This press statement was released on 30 August 2017 in Kuala Lumpur.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc