Kembalikan tugas guru sebagai pendidik

Setinggi mana penghormatan, pengharapan dan pengiktirafan murid-murid, ibu bapa dan rakyat terhadap guru, maka, setinggi itu jugalah penghormatan, pengharapan dan pengiktirafan Pakatan Harapan terhadap guru. Pakatan Harapan amat menghargai segala peranan, perkhidmatan dan pengorbanan seluruh warga guru dalam membina bangsa dan negara. Sejarah mencatatkan dengan tinta emas jasa besar guru dalam mendidik anak bangsa. Sejarah juga merakam bakti sukarela para guru dalam bidang-bidang lain, termasuk perjuangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan, serta dalam menuntut kemerdekaan dan memajukan politik.

Pakatan Harapan komited untuk memudahcara dan membantu para guru dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sekiranya kami dipilih mentadbir Putrajaya, kami akan melakukan perubahan sistem pendidikan negara kearah yang lebih baik, dengan guru sebagai pemain utama dalam membuat keputusan. Kami sedar bahawa pendidikan adalah kompleks. Tetapi, kami juga sedar bahawa sebahagian besar masalah pendidikan yang sedang dihadapi kini berpunca akibat suara guru kurang didengar dan diambil kira dalam membuat keputusan. Sebaliknya, keputusan-keputusan yang dibuat itu menambahkan beban tugas guru yang menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab hakikinya. Bagi Pakatan Harapan, kami mempunyai keyakinan penuh kepada guru untuk memainkan peranan utama dalam membuat keputusan-keputusan tentang dasar-dasar dan program-program pendidikan.

Bagi sambutan Hari Guru tahun ini, Pakatan Harapan merakamkan empati kami tentang isu yang khusus, iaitu ‘Beban Tugas Guru’.

Pakatan Harapan sedar bahawa guru komited dan tidak bersungut tentang beban tugas hakikinya, iaitu sebagai ‘pendidik’ dan ‘mendidik’. Ini termasuklah menunaikan tugasan ‘pengajaran dan pembelajaran’ (P&P). Dalam konteks ini, pada satu masa dahulu, mutu pendidikan kita cemerlang. Faktor utamanya ialah kerana guru dapat memfokus kepada tugas hakikinya, iaitu mendidik. Tetapi, mutakhir ini, mutu pendidikan kita mula dipersoalkan. Faktor utamanya ialah kerana kini guru dibebankan dengan tugas-tugas sebagai ‘pentadbir’ dan ‘mentadbir’.

Hari ini, di sesebuah sekolah, guru dibebankan dengan lebih kurang 60 item tugasan pentadbiran. Contohnya, e-operasi (semakan dan kemaskini maklumat guru masing-masing), e-pangkat (sistem untuk kemudahan pengurusan naik pangkat guru), e-prestasi (penilaian bersepadu PPP diisi oleh guru), HRMIS (guru mengisi atas talian aplikasi sistem maklumat pengurusan sumber manusia), e-profil (guru mengemaskini profil masing-masing), dan banyak ‘e’ lagi, seperti e-SPTS, e-NILAM, e-kehadiran, e-mateks dan e-bulk.

Walaupun aplikasi ICT bertujuan menambahbaik prestasi, tetapi oleh kerana sistem yang dipilih oleh pihak berkuasa tidak bersepadu dan bertindih, maka, banyak masa dan tenaga dibuang untuk mengisi semula butiran-butiran tertentu. Masalah bertambah terbeban apabila sistem internet kurang berkualiti yang menyebabkan guru terpaksa bangun tengah malam untuk memasukkan pelaporan yang perlu dihantar secara atas talian, contohnya, SPPBS (pentaksiran berasaskan sekolah).

Guru memahami yang mereka perlu terlibat dalam pendidikan bersepadu murid-murid, termasuk aktiviti ko-kurikulum, contohnya, persatuan dan sukan. Tetapi, sekiranya guru juga terpaksa membuat garisan di atas padang untuk sukan tahunan, atau menemani murid-murid dalam aktiviti-aktiviti pada hujung minggu sehingga amat kurang masanya dengan keluarganya sendiri, maka, tentulah ini tidak munasabah.

Sesetengah beban tugas yang terpaksa ditanggung oleh guru adalah tidak munasabah sama sekali. Contohnya, DWEN (guru terlibat dalam aktiviti Program Dasar Warga Emas Negara) dan Myspata (sistem pengurusan aset sekolah).

Pakatan Harapan berpendirian bahawa beban tugas guru yang tiada kaitan dengan P&P hendaklah ditamatkan. Kerja-kerja pentadbiran tersebut perlu disusun semula mengikut keperluan sebenar dan mengelakkan pertindihan. Ia perlu diambil alih oleh pihak lain, sama ada dengan memperkenalkan sistem ‘guru pembantu’ ataupun menambah jumlah kakitangan perkeranian di sekolah. Pokoknya, Pakatan Harapan mahu supaya guru dikembalikan kepada tugas dan tanggungjawabnya yang sebenar, iaitu sebagai pendidik, bukannya sebagai pentadbir.

Dato’ Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan
Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR
Dr Hasan Baharom, Naib Presiden Amanah
Datuk Shahruddin Md Sallah, Setiausaha Agung PPBM
Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera, DAP

NB: This press statement was released on 15 May 2017 in Kuala Lumpur.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc