Kerajaan Persekutuan dipohon mengutamakan dan menyegerakan Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) dalam mesyuarat terbaru pada 23 Mei 2018 telah memutuskan agar satu permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang baru untuk memberi keutamaan kepada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang.

Projek ini sebenarnya sudah lama dirancang sejak Rancangan Malaysia Ke-7 pada zaman 90an lagi, namun telah tergendala setelah fasa 1 disiapkan pada tahun 1999 di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN). Sejak itu, tiada kemajuan fizikal langsung walaupun dijanjikan berkali-kali.

Pada November 2016, Kerajaan Persekutuan BN bersetuju untuk memperuntukkan RM150 juta bagi projek tersebut, merangkumi kerj-akerja memperdalam sungai dan mitigasi banjir sepanjang 3.2km Sungai Pinang serta cabang-cabangnya. Namun sehingga kini, peruntukan ini belum diberi.

Setahun kemudian, semasa lawatan mantan Perdana Menteri ekoran banjir besar pada November 2017, janji yang sama telah diulangi. Susulan kepada itu, projek RTB ini telah ditenderkan secara terhad oleh Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada akhir tahun lepas dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Perolehan Tender di peringkat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 20 Februari 2018. Walau bagaimanapun, sekali lagi tiada sebarang kelulusan yang diterima daripada pihak Persekutuan.

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan telah membuat banyak permintaan kepada Kerajaan Persekutuan agar projek ini dapat disempurnakan memandangkan ia merupakan salah satu punca utama banjir kilat di bahagian pulau. Sekiranya dilaksanakan, projek ini dijangkakan dapat mengurangkan penderitaan rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk DUN Datok Keramat, yang terpaksa menderita setiap kali dilanda banjir kilat.

Justeru, sepertimana yang diputuskan oleh mesyuarat EXCO, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengemukakan permohonan bertulis kepada Kementerian Kewangan agar projek RTB Lembangan Sungai Pinang ini dapat diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Zairil Khir Johari
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang

NB: This press statement was issued on 1 June 2018 in George Town.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc