Kisah Malaysia melalui Perlembagaannya

Banyak yang boleh diketahui tentang perwatakan sesebuah negara melalui undang-undangnya. Oleh itu, perubahan sistem perundangan sesebuah negara mencerminkan evolusi sosio-politik masyarakatnya.

Contohnya, Perlembagaan Amerika Syarikat. Sejak pemasyhuran undang-undang tersebut pada tahun 1789, perlembagaan ini telah dipinda sebanyak 27 kali. Sepuluh pemindaan terawal dikenali sebagai Bill of Rights dan memperlihatkan aspirasi dan keinginan sebuah negara baru untuk mempertahankan hak asasi berkaitan keagamaan, kebebasan bersuara, media, hak berhimpun dan hak untuk bersenjata serta perlindungan dalam sistem perundangan keadilan jenayah.

Setelah berakhirnya Perang Saudara pada tahun 1865, pindaan telah dilakukan dengan tujuan memansuhkan perhambaan dan memperhalusi hak rakyatnya. Apabila kurun kedua puluh makin mendekat, perlembagaan Amerika dipinda lagi bagi memberi jalan kepada perubahan semasa – hak wanita untuk mengundi, perkara-perkara percukaian dan satu tempoh masa yang pelik dalam sejarah moden Amerika iaitu “Prohibition”.

Pembunuhan Presiden John F. Kennedy pada tahun 1963 telah memberi laluan kepada pemindaan ke-25, yang menetapkan tatacara jelas bagi mengisi kekosongan jawatan Presiden secara tiba-tiba. Pada tahun 1971 pula, setelah aktivis-aktivis mahasiswa melancarkan protes menentang Perang Vietnam, Perlembagaan telah dipinda sekali lagi untuk menurunkan umur layak mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

Kisah Malaysia

Evolusi Perlembagaan Persekutuan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 juga memberikan gambaran perjalanan negara kita- samada semakin ke depan atau belakang, bergantung kepada perspektif – selama usia 60 tahun kemerdekaannya.

Berbeza dengan Amerika, Dewan Rakyat Malaysia kurang segan untuk melakukan pemindaan terhadap undang-undang tertinggi negara. Setakat ini, sebanyak 57 pindaan terhadap perlembagaan telah dilakukan, hampir satu pindaan bagi setiap tahun. Namun, perbandingan sebegini agak kurang tepat, memandangkan Perlembagaan AS yang hanya mengandungi tujuh perkara, bertujuan menyediakan satu “kerangka kerajaan” yang mengagihkan bidang kuasa dan fungsi yang berlainan kepada tiga cabang utama kerajaan persekutuan, yakni perundangan (Kongres), kehakiman dan eksekutif (Pejabat Presiden).

Perlembagaan Malaysia pula adalah 12 kali lebih panjang, mengandungi 15 bahagian, 230 perkara dan 113 jadual – kesemuanya menjelaskan dengan teliti pelbagai perkara dari kedai todi ke pemberian geran kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. Bagi tujuan praktikal, kebanyakan fasal-fasal ini memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Namun, beberapa orang sarjana juga menyatakan bilangan sebenar pindaan yang telah dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan mencecah bilangan hampir 700 kali, sekiranya setiap pindaan yang dibuat diambil kira. Meskipun begitu, intipati pindaan lebih penting daripada bilangan pindaan yang telah dibuat. Menurut pakar perlembagaan Saleem Faruqi, pindaan ke atas beberapa perkara kritikal telah menyebabkan Perlembagaan Merdeka kehilangan semangat asalnya. Malah, sarjana perundangan, HP Lee telah menggambarkan pindaan-pindaan yang dilakukan telah “merobohkan benteng-benteng pertahanan yang dianggap oleh Suruhanjaya Reid sebagai mustahak bagi pertumbuhan sebuah negara demokrasi yang sihat”.

1960: Pengakhiran darurat tanpa kehilangan kuasa darurat

Pindaan besar kali pertama ke atas Perlembagaan Persekutuan dilakukan pada tahun 1960, tiga tahun selepas Merdeka. Kerajaan telah membentangkan usul Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) Perkara 1960 dan meminda 33 perkara dan memasukkan dua perkara baru, di samping meminda Jadual Kedua. Meskipun bukan tindakan luar biasa bagi sebuah negara yang baru dibentuk untuk meminda perlembagaannya, beberapa perubahan tersebut mempunyai kesan yang serius dan meluas.

Adalah penting bagi kita untuk memahami konteks zaman tersebut terlebih dahulu. Malaya, sebagaimana negara dikenali pada waktu itu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 di tengah-tengah kemaraan komunis yang bermula pada tahun 1948. Pada tahun 1960, perang telah mula reda apabila pihak komunis yang ingin menuntut kemerdekaan secara paksaan daripada British telah dihentikan dengan Merdeka.

Namun, kerajaan lebih berminat untuk mengakhirkan darurat tanpa kehilangan kuasa darurat daripada meraikan era keamanan dan kebebasan yang baru dinikmati setelah perang. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui pindaan yang dibuat terhadap Bahagian XI dalam Perlembagaan, melibatkan Perkara 149 hingga Perkara 151 yang melibatkan undang-undang menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Perkara 149 membenarkan penggubalan Akta-akta Parlimen yang akan, jika berdepan dengan ancaman subversif terhadap Persekutuan, menggantungkan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5, 9, 10 dan 13 berkenaan kebebasan bersuara, perkumpulan, pergerakan dan harta benda serta kebebasan dari penahanan yang tidak mematuhi undang-undang. Perkara ini dapat difahami dengan situasi keselamatan yang meruncing pada waktu itu. Walau bagaimanapun, perkara yang sama turut menyatakan “sunset clause” di mana undang-undang sebegitu akan terbatal selepas setahun. Dalam erti kata lain, undang-undang yang membenarkan penahanan pencegahan hanya bersifat sementara.

Malangnya, benteng pertahanan yang kritikal ini dihapuskan dalam pemindaan, yang kemudiannya memberi laluan kepada penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal kejamnya. ISA terus kekal berkuasa sehingga dihapuskan 52 tahun kemudian, tetapi digantikan dengan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.

Sementara itu, Perkara 150 berkenaan pengisytiharan darurat, yang pada asalnya mengandungi satu klausa yang wajib diusulkan di kedua-dua dewan Parlimen secepat mungkin sekiranya berlaku peristiwa darurat. Setelah mencapai kata sepakat, Parlimen hendaklah meluluskan resolusi darurat. Kegagalan bertindak demikian akan menyebabkan resolusi tidak terpakai lagi secara automatik selepas dua bulan dari tarikh pengusulan. Bagi keadaan di mana Parlimen tidak bersidang pada waktu berkenaan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan perintah darurat yang akan berakhir setelah 15 hari persidangan Parlimen.

Namun, pindaan telah dilakukan untuk menggugurkan keperluan persetujuan dari Parlimen. Sebarang pengisytiharan darurat akan terus berkuatkuasa sehingga dibatalkan oleh Parlimen. Kini, persetujuan dari Parlimen hanya diperlukan dalam mengakhirkan satu darurat; sebelum ini, persetujuan dari Parlimen diperlukan untuk meneruskan perintah darurat. Pemindaan ini bakal mencipta banyak darurat jangka masa panjang dan terutama sekali, penggantungan Parlimen pada tahun 1969.

Walaupun kebanyakan pindaan perlembagaan yang dibuat pada tahun 1960 hanya bersifat pentadbiran, terdapat juga beberapa pindaan yang menimbulkan persoalan. Sebagai contohnya, pindaan ke atas Perkara 122, 125 dan 138 telah membubarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan(JLSC), yang sebelum ini bertanggungjawab memberi pengesyoran berkaitan perlantikan kehakiman.

Sehubungan itu, kuasa untuk memulakan tindakan disiplin terhadap hakim dipindahkan dari JLSC kepada Agong atas nasihat perdana menteri, sekali gus menggugat kebebasan badan kehakiman. Kesan tindakan ini tidak terpapar dengan jelas sehingga 28 tahun kemudian, apabila berlakunya penyingkiran Ketua Hakim Negara Salleh Abbas dan dua lagi hakim Mahkamah Agung, satu krisis kehakiman negara yang belum pulih sepenuhnya.

Selain itu, satu pindaan terhadap Perkara 145 telah mengubah pelantikan Peguam Negara dari pelantikan tetap, sama seperti seorang hakim Mahkamah Agung, kepada jawatan yang dipegang selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kesan pindaan ini menjadikan jawatan Peguam Negara sebagai satu pelantikan politik, di mana Peguam Negara mungkin merupakan ahli kerajaan dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Malah, dari 1960-an sehingga awal 1980-an, jawatan tersebut biasanya disandang oleh ahli-ahli Parlimen. Walau bagaimanapun, satu lagi kesan pindaan tersebut ialah Peguam Negara boleh dilucutkan pada bila-bila masa, sebagaimana yang berlaku ke atas Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengingkari Perdana Menteri pada tahun 2016.

1962: Pengukuhan kuasa

Pindaan kepada Perlembagaan pada tahun 1962 merupakan sesuatu yang penting. Satu usul dibentangkan untuk meminda 29 perkara, menambah lagi 3 perkara dan memansuhkan 3 perkara yang lain. Perubahan juga dilakukan kepada beberapa jadual, termasuk pengenalan Jadual ke-13 yang menyentuh tentang undang-undang pilihan raya.

Secara keseluruhannya, pindaan 1962 telah menyaksikan pengetatan undang-undang dan hal pentadbiran yang lain yang melibatkan kuasa eksekutif, kuasa perundangan dan hal-hal kewangan, termasuk pengagihan hasil-hasil dari mineral kepada negeri-negeri. Beberapa perubahan besar juga terhasil, terutama sekali di Bahagian III dan Bahagian VIII yang menyentuh tentang peraturan-peraturan kewarganegaraan dan sistem pilihan raya.

Kedua-dua ini mempunyai kaitan dengan kemampuan kerajaan Perikatan untuk kekal buat masa jangka panjang.

Hak kewarganegaraan merupakan antara isu politik yang panas sehingga pencapaian merdeka, malah terus mendapat tempat dalam wacana awam pada tahun-tahun seterusnya. Suruhanjaya Reid yang telah menulis Perlembagaan telah membuka syarat-syarat kewarganegaraan agar ramai rakyat bukan-Melayu layak menjadi warganegara yang berhak mengundi.

Kesan daripada polisi kewarganegaraan yang lebih terbuka dirasai pada tahun 1959, tahun pertama pilihan raya umum pertama diadakan. Kerusi Kerajaan Perikatan di dalam Majlis Perundangan Persekutuan jatuh daripada 99% ke 71% dalam Parlimen Malaya yang baru. Tidak cukup dengan kehilangan dua negeri-negeri majoriti Melayu iaitu Kelantan dan Terengganu, Perikatan juga kurang mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi bukan-Melayu di kawasan-kawasan bandar.

Maka, dengan terhakisnya pengaruh, Perikatan mula memikat hati pengundi Melayu dengan mengadakan satu program besar pembangunan desa, di samping mengehadkan pengaruh bukan-Melayu melalui dua cara. Pertama, syarat-syarat kewarganegaraan diketatkan dan kuasa mengikut budi bicara dalam tangan eksekutif ditambahkan. Kedua, perubahan penting dilakukan kepada sistem pilihan raya bagi mengekang kekuatan pengundi-pengundi bukan-Melayu.

Namun, menggubal peraturan-peraturan pilihan raya bukan kerja yang senang, kerana Suruhanjaya Reid telah memasukkan fasal-fasal yang bukan saja menjamin kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), tetapi diberi kepercayaan sepenuhnya dalam hal persempadanan semula. Ini bemaksud, biarpun parti-parti politik menguasai kerajaan pusat atau negeri, mereka tidak mempunyai pengaruh dalam hal persempadanan semula kawasan.

Pada tahun 1960, satu persempadanan semula telah dilakukan oleh EC. Kawasan-kawasan menjadi lebih tersusun dan adil dari segi saiz dan jumlah pengundi. Hasilnya, pengundi-pengundi bandar yang bukan-Melayu mendapat pengaruh yang lebih besar manakala pengundi-pengundi luar bandar yang menjadi penyokong Perikatan akan terhakis pengaruhnya.

Terkejut dengan hasil persempadanan semula, kerajaan Perikatan telah meluluskan beberapa perubahan kepada Perlembagaan pada tahun 1962: menambah peraturan-peraturan bagi persempadanan kawasan, menambahkan peratus perbezaan pengundi antara kawasan dari 15% ke 33%, dan paling penting sekali, melucutkan kedudukan EC sebagai badan bebas yang mempunyai hak mutlak dalam soal persempadanan semula. Kini, EC hanya diberi kuasa untuk menjalankan persempadanan semula, di mana hasilnya dibentang kepada Perdana Menteri yang kemudian akan mengusulkan hasil tersebut di Parlimen “dengan atau tanpa sebarang perubahan” yang diluluskan dengan majoriti kecil.

Pemindaan Perlembagaan pada tahun 1962 merupakan faktor penyumbang terbesar kepada pengekalan kuasa oleh parti pemerintah yang kekal sampai hari ini.

1963-1969: Sebuah negara dalam peralihan

Hanya setahun setelah pindaan tahun 1962, Perlembagaan Persekutuan melalui satu lagi rombakan besar. Akta Malaysia 1963 telah diperkenalkan untuk menampung perubahan struktur negara yang bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Sebagaimana yang dijangka, beberapa pindaan kecil juga terpaksa diambil ke atas lebih seratus perkara untuk menyertakan tambahan negeri yang baru. Kebanyakan pindaan adalah berbentuk prosedur dengan beberapa pengecualian seperti pewujudan semula JLSC yang telah dikurangkan kuasa. Pada tahun 1964 dan 1965, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak dua kali ke atas beberapa cabang kecil pentadbiran melibatkan perundangan, eksekutif dan kehakiman serta memperkemaskan undang-undang berikutan Persekutuan yang berkembang.

Malangnya, kesatuan yang baru dibentuk tidak kekal lama. Sebagai protes terhadap pembentukan Malaysia yang dilabel “neo-imperialist” oleh Presiden Sukarno, Indonesia telah mengisytiharkan “konfrontasi” terhadap Persekutuan, mengakibatkan konflik yang berlarutan selama tiga tahun. Selain dari ketegangan ketenteteraan di Borneo, beberapa siri pengeboman turut berlaku di Singapura, paling diingati adalah pengeboman Macdonald House pada 10 Mac 1965 yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan 33 yang lain.

Tekanan bertambah dengan ketegangan antara kaum yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak termasuk pengkhianat Indonesia, Nasionalis Melayu dan juga golongan kiri pro komunis. Selama tempoh dua tahun Singapura di dalam Malaysia, sebilangan kekacauan antara kaum berlaku termasuk peristiwa paling diingati pada 21 Julai 1964 yang berlaku sewaktu perarakan menyambut keputeraan Nabi Muhammad yang mengakibatkan kematian 22 orang.

Beberapa kekacauan skala kecil berterusan berlaku pada tahun tersebut menimbulkan suasana yang sangat tegang. Kejadian ini juga berterusan sehingga pilihan raya umum tahun 1964 yang bersifat perkauman, merosakkan hubungan di antara parti Perikatan dan Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.

Perbezaan ketara dalam isu sosial, politik, ekonomi dan kewangan menyebabkan hubungan tidak dapat dibaik pulih. Pada 9 Ogos 1965, Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman bertindak menggubal Perlembagaan dan Malaysia (Pindaan Singapura) Akta 1965 bagi memisahkan Singapura dari Persekutuan. Pemisahan dengan Singapura mengakibatkan Perlembagaan harus dipinda lagi. Pindaan kemudiannya dilakukan pada tahun 1966, melibatkan 45 perkara dan empat jadual.

Tahun 1966 memperlihatkan isu perlembagaan berlanjutan apabila Sarawak berhadapan krisis. Pada Jun 1966, berikutan ketidakpuasan hati ke atas undang-undang tanah asal yang diusulkan oleh Ketua Menteri Stephen Kalog Ningkan, 21 daripada 42 ahli undangan negeri membuat petisyen kepada gabenor Sarawak supaya membuang Stephen. Berbekal sokongan Perdana Menteri, gabenor mengarahkan Stephen meletakkan jawatan namun ditolak oleh Stephen yang berkeras bahawa proses tersebut tidak sah kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan undangan negeri.

Stephen Kalong Ningkan tetap dilucutkan jawatan yang menyebabkan beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, yang mengeluarkan keputusan bahawa gabenor tidak berkuasa untuk menyingkirkan seorang ketua menteri. Stephen kemudian memangku semula jawatan, namun sebelum dapat membubarkan dewan untuk mendapat mandat baru, kerajaan Persekutuan bertindak mengisytiharkan darurat ke atas Sarawak, serta menggantung pilihan raya di negeri tersebut melalui Rang Undang-undang Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak) 1966. Perlembagaan negeri Sarawak juga dipinda oleh Parlimen untuk membenarkan gabenor membuat persidangan dewan undangan negeri tanpa melalui ketua menteri, yang akhirnya menggugurkan Stephen sepenuhnya.

Penyingkiran Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966 menjadikan ia campur tangan kuasa kali pertama yang dilakukan oleh kerajaan pusat, namun bukan yang terakhir. Pada 1977 cubaan rampasan kuasa oleh ahli Parti Islam Semalaysia (PAS) terhadap Menteri Besar Kelantan gagal apabila kerajaan pusat mengisytiharkan darurat yang menyebabkan menteri besar kekal sehingga pilihan raya dijalankan pada tahun berikutnya. Barisan Nasional berjaya menguasai negeri Kelantan buat pertama kali selepas kejadian tersebut.

Terbaru pada tahun 2009, Menteri Besar Perak dari PAS yang mengetuai kerajaan gabungan Pakatan Rakyat telah dipecat oleh Sultan Perak berikutan beberapa wakil rakyat PR yang berpaling tadah menyatakan sokongan terhadap BN. Sultan menolak permohonan Menteri Besar untuk membubarkan dewan, malah melantik menteri besar baru dari BN. Walaupun keputusan tersebut berjaya dicabar di Mahkamah Tinggi, ia kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan pertukaran kuasa tersebut adalah sah.

1969-1973: Kesan sebuah tragedi

Peristiwa paling diingati dalam dekad yang penuh dengan peristiwa bersejarah di Malaysia adalah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Ketegangan telah meningkat dari tahun ke tahun sehingga pilihan raya umum tahun 1969 dan akhirnya keganasan meletus. Pada November 1967, sebuah protes yang dianjurkan oleh penyokong Maoist di Pulau Pinang bertukar menjadi peristiwa berdarah, namun berjaya disekat dari merebak ke negeri lain. Pada Jun 1968, satu protes terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas 11 orang ahli Cina Parti Komunis Malaya terus menimbulkan isu perkauman sehingga hukuman akhirnya dikurangkan.

Rentetan itu, sepanjang tempoh kempen pilihan raya rasmi, dari hari penamaan calon pada 5 April sehingga hari mengundi pada 10 Mei menyaksikan sentimen perkauman dan agama dimainkan dengan berleluasa. Dua minggu sebelum hari mengundi, seorang aktivis politik telah dibunuh di Pulau Pinang. Meskipun insiden ini dapat ditenangkan, 10 hari kemudian satu lagi insiden berlaku di Selangor, melibatkan seorang lelaki muda Cina ditembak oleh pegawai polis yang dilaporkan sebagai pertahanan diri.

Menyedari peluang politik, pemimpin Parti Buruh yang telah berada di bawah pengaruh haluan kiri dan telah bertindak memboikot pilihan raya umum, bertindak merampas penganjuran proses pengkebumian. Diadakan sehari sebelum hari pengundian, perarakan pengkebumian tersebut adalah yang terbesar di KL dan bertukar menjadi himpunan tunjuk perasaan politik yang lengkap dengan poster membawa slogan revolusi Maois dan menganggap si mati sebagai pejuang politik.

Sehari kemudian, Malaysia menghadapi pilihan raya. Jelas pada tarikh 11 Mei, parti Perikatan hanya dapat mengekalkan kuasa dengan kekurangan majoriti yang ketara. Pakatan tersebut bukan sahaja gagal mendapat 50% undi popular, malah kehilangan 2/3 majoriti dalam Parlimen buat pertama kali. Mereka juga kehilangan majoriti di dewan undangan negeri Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor. Tiada parti yang menguasai majoriti jelas di Perak and Selangor.

Gembira dengan keputusan yang tidak dijangka tersebut, parti pembangkang meraikan kejayaan dengan mengadakan perarakan besar-besaran. Lantas, sentimen perkauman dan provokatif amat menyerlah. Akhbar Utusan Melayu memberi gambaran bahawa kuasa politik orang Melayu terancam dan menyebabkan Pemuda Umno turut mengadakan perarakan sebagai tindak balas.

Tarikh 13 Mei akan kekal terpahat dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah hari malang yang disebut Tunku sebagai “kekacauan sosial dan politik magnitud pertama”, sebuah memori hitam rakyat Malaysia dikhianati sesama sendiri. Kematian ratusan dalam rusuhan antara kaum mengakibatkan pertumpahan darah di jalanan Kuala Lumpur.

Darurat telah diisytiharkan. Pada 16 Mei, Parlimen telah digantung, satu siri peristiwa yang tidak mungkin akan berlaku kalau bukan kerana pindaan perlembagaan pada tahun 1960. Dengan tiadanya Parlimen, satu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan sebagai badan pentadbiran negara di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein. Majlis operasi negeri dan daerah juga ditubuhkan untuk pentadbiran masing-masing.

Perancangan dan motif sebenar di sebalik keputusan dan kejadian kekacauan ini akan kekal menjadi teori konspirasi. Walau bagaimanapun, insiden 13 Mei menandakan berakhirnya era pertama dalam sejarah Malaysia, dan menjadi permulaan kepada era baru di bawah Razak yang memerintah sebagai ketua MAGERAN dan kemudiannya sebagai perdana menteri setelah persaraan Tunku pada 22 September 1970.

Akibat daripada rusuhan berdarah tersebut, Dasar Ekonomi Baru telah dirangka, di mana sifat nasionalisme Melayu telah diberi penekanan dalam beberapa sektor, termasuk pendidikan dan ekonomi. Masyarakat Malaysia distruktur semula melalui tindakan affirmatif. Politik negara juga mengalami perubahan yang besar dengan penubuhan Barisan Nasional, satu gabungan politik yang menyerap parti-parti pembangkang seperti PAS, Gerakan dan PPP di Semenanjung Malaysia. Ini mengembalikan majoriti dua pertiga kerajaan dan mengukuhkan lagi kawalan terhadap semua kerajaan negeri.

Diperkasakan dengan bidang kuasa yang menyeluruh, Razak telah memahatkan kompromi sosial yang baru itu ke dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang kontroversial. “Pindaan perkara-perkara sensitif” ini telah menggubal 7 artikel, termasuk artikel berkenaan kebebasan bersuara, berpersatuan, hak-hak istimewa Parlimen, bahasa kebangsaan, dan perluasan Artikel 153 berhubung perlindungan “kedudukan istimewa” orang Melayu.

Hasil daripada pindaan ini, hak-hak asasi dikekang sehingga tidak menjamin kebebasan untuk membincangkan “perkara-perkara sensitif” secara terbuka walau di Parlimen. Perkara-perkara tersebut merangkumi hak kewarganegaraan, bahasa, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang-orang Asli Borneo, serta kedaulatan raja-raja. Akta Hasutan yang sebelum ini tidak terpakai dalam kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kini berkuatkuasa tanpa batasan.

Pemindaan ini ditambah lagi dengan undang-undang bersifat menyekat seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang mengharamkan penyertaan pelajar universiti dalam aktiviti politik serta Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memperuntukkan rahsia negara yang dihalang daripada didedahkan.

Lanjutan itu juga, Artikel 159 telah dirombak supaya perkenan Majlis Diraja, yang sebelum ini hanya diperlukan untuk pindaan fasal yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan raja-raja sendiri, kini turut diperlukan untuk pindaan bahasa kebangsaan, keistimewaan parlimen dan beberapa hak kebebasan asasi. Sementara itu, Artikel 153 juga telah diubah untuk membenarkan pemberian kuota Melayu dan bumiputera di dalam institusi pengajian tinggi, sebagai tambahan kepada kuota sedia ada dalam perkhidmatan awam, sistem pendidikan serta lesen dan permit perniagaan.

Pada tahun 1973, terdapat satu lagi rang undang-undang pindaan perlembagaan yang mempunyai impak besar kepada pilihan raya. Had peratus perbezaan pengundi antara kawasan yang telah ditingkatkan dari 15% ke 33% pada tahun 1962, kini telah dimansuhkan sama sekali. Kesan daripada perobohan benteng-benteng pertahanan yang telah dimasukkan oleh Suruhanjaya Reid, sesebuah kawasan Parlimen dibenarkan empat atau lima kali ganda lebih besar daripada kawasan yang lain biarpun dalam negeri yang sama. Inilah situasi hari ini.

Tambahan pula, kuasa EC untuk membahagi-bahagikan kawasan telah dimansuhkan. Kini, majoriti dua pertiga dalam Parlimen diperlukan bagi menggubal fasal ini. Dengan tiadanya had perbezaan pengundi kawasan, kerajaan telah dikurniakan kuasa mutlak dalam soal persempadanan semula dan pengagihan pengundi.

Akhir sekali, pindaan yang dibuat turut menyaksikan Kuala Lumpur menjadi sebuah wilayah persekutuan dan dikeluarkan dari negeri Selangor. Majoriti penduduk Cina di KL dilihat memainkan peranan utama mengalahkan Parti Perikatan di Selangor pada tahun 1969, dan mengeluarkan KL dapat mengurangkan jumlah pengundi pembangkang di negeri Selangor. Tindakan ini bukan sahaja menjamin kedudukan BN di Selangor bahkan pengundi KL pula kehilangan hak untuk diwakili disebabkan wilayah persekutuan tidak mempunyai dewan perundangan.

1973-1994: Era Mahathir

Perlembagaan telah dipinda lagi sebanyak 11 kali di antara tahun 1973 dan 1985, termasuk beberapa perubahan dalam pemberian geran kepada negeri-negeri, mewujudkan Wilayah Persekutuan Labuan, memperketatkan lagi undang-undang pilihan raya yang memberikan lebih kuasa bersifat budi bicara kepada kerajaan, serta pengenalan ringgit sebagai mata wang negara.

Antara perubahan penting hasil daripada pemindaan yang dibuat pada tahun 1983 dan 1984 adalah berkenaan peranan raja-raja Melayu dalam soal perundangan. Pada tahun 1981, Mahathir Mohamad telah dilantik menjadi Perdana Menteri, jawatan yang dipegang selama 22 tahun.

Seorang yang tidak pernah segan dalam mencabar tradisi malah pernah mengarang surat terbuka kepada Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra, pada tahun 1969 yang menyalahkan Tunku ke atas tragedi 13 Mei, Mahathir memulakan beberapa konfrontasi dengan raja-raja Melayu pada tahun 1983.

Sebelum ini, raja-raja menikmati kekebalan undang-undang, satu peruntukan undang-undang yang kerap kali disalah guna. Pada awal 1980-an, kelakuan raja-raja mula dipersoalkan dengan hangat di wacana umum, terutama sekali mengenai kemewahan, penyelewengan kewangan, pembaziran dana awam, penglibatan dalam perniagaan dan campur tangan dalam isu politik. Sebagai seorang yang tidak menyokong feudalisme dan didorong oleh kemungkinan kenaikan seorang Yang di-Pertuan Agong yang cenderung campur tangan, Mahathir mengambil keputusan untuk mengawal keadaan terdahulu dengan memperkenalkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1983.

Antara 43 artikel yang dipinda adalah fasal-fasal berkenaan dengan perkenan diraja. Kesan pemindaan telah menjadikan perkenan diraja untuk usul yang diluluskan oleh Parlimen sebagai cop getah atau sesuatu yang wajib diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Peraturan ini turut terpakai ke atas undang-undang negeri. Sebagai tambahan, Mahathir juga mencadangkan untuk memindahkan kuasa pengisytiharan darurat daripada Agong kepada Perdana Menteri. Meskipun pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut menemu jalan buntu apabila Majlis Raja-raja menolak usul tersebut.

Konflik berlanjutan dengan Mahathir terus menyerang berhabis-habisan. Beliau menggerakkan jentera parti dan mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara. Pihak media juga menyebelahi beliau dengan menerangkan keperluan pindaan tersebut. Sebagai tindak balas, pihak raja-raja turut mengadakan himpunan dengan sokongan pemimpin-pemimpin veteran UMNO.

Akhirnya, satu kompromi berjaya dicapai. Hak untuk mengisytiharkan darurat kekal sebagai kuasa Agong dan raja-raja mengekalkan hak untuk tidak memberi perkenan diraja bagi undang-undang negeri. Bagi undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen pula, Agong berkuasa untuk menolak usul dan menghantarnya kembali ke badan perundangan. Sekiranya usul tersebut diluluskan sekali lagi, secara automatik ia akan berkuatkuasa sebagai undang-undang selepas 30 hari, dengan atau tanpa perkenan diraja. Pengecualian hanya terpakai ke atas usul-usul kewangan yang tidak boleh ditolak sama sekali.

Pindaan besar perlembagaan yang seterusnya berlaku pada tahun 1988. Setahun sebelum itu, Mahathir menang tipis dalam pemilihan parti, dan UMNO berpecah kepada dua puak. Puak yang kalah mengambil tindakan undang-undang dan pada Februari 1988, mahkamah memutuskan bahawa UMNO adalah sebuah persatuan yang haram ekoran beberapa masalah dengan cawangan-cawangannya. Dengan pengharaman UMNO serta beberapa keputusan mahkamah yang tidak disenanginya, Mahathir bertindak mengehadkan kuasa badan kehakiman.

Artikel 121 merupakan target khusus dalam pemindaan perlembagaan pada tahun 1988. Artikel 121 pada asalnya memberikan kuasa kehakiman kepada mahkamah, dan dengan pemindaan artikel tersebut maka badan kehakiman diletakkan di bawah undang-undang persekutuan. Pindaan lain termasuklah pengguguran kuasa lazim Mahkamah Tinggi untuk membuat penyemakan kehakiman, kuasa Peguam Negara untuk menentukan mahkamah bicara bagi kes, serta pengenalan Artikel 121(1A) yang bukan sahaja menggariskan pemisahan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil, tetapi juga menaikkan status mahkamah syariah menjadi setaraf dengan mahkamah sivil. Akibatnya, muncul dua sistem kehakiman yang selari yang menyebabkan timbulnya banyak kerumitan, terutamanya dalam kes yang melibatkan Muslim dan non-Muslim.

Sebagai tindak balas kepada perubahan yang diperkenalkan dengan tergesa-gesa oleh kerajaan, Ketua Hakim Negara pada masa itu, Salleh Abas, telah mempengerusikan satu mesyuarat para hakim yang bersetuju untuk menghantar sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyampaikan kekesalan di atas tindakan Perdana Menteri yang menggugat kebebasan badan kehakiman.

Namun, kerana pindaan yang dibuat pada tahun 1960, Mahathir dapat memulakan tindakan disiplin terhadap Ketua Hakim Negara, yang berakhir dengan pemecatan Salleh Abas dengan dua lagi hakim Mahkamah Agung. Peristiwa ini dikenali sebagai satu babak hitam dalam sejarah kehakiman Malaysia. Pada tahun 2008, kerajaan telah membayar pampasan kepada hakim-hakim yang dipecat. Pada tahun 2017 pula, Mahkamah Persekutuan (sebelum ini Mahkamah Agung) memutuskan bahawa pindaan 1998 yang meletakkan badan kehakiman di bawah bidang kuasa Parlimen adalah bercanggah dengan Perlembagaan, meskipun tidak membatalkan pindaan tersebut.

Pertembungan kedua Mahathir dan raja-raja berlaku pada tahun 1993. Tidak terkesan dengan peristiwa sebelum ini, sebilangan pemerintah terus masuk campur dalam politik negara, tidak mematuhi undang-undang percukaian, malah terlibat dalam aktiviti jenayah. Berikutan satu usul oleh Parlimen yang menegur Sultan Johor yang telah menyerang seorang jurulatih hoki, Perlembagaan telah dipinda untuk memansuhkan kekebalan raja-raja daripada pendakwaan. Satu mahkamah istimewa telah ditubuhkan bagi membicarakan raja-raja.

Pada tahun 1994, Mahathir telah meminda lagi Perlembagaan, termasuk memansuhkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melengahkan rang undang-undang dengan mengembalikannya ke Parlimen. Cuma kali ini, pindaan yang sama telah dipanjangkan untuk undang-undang negeri, sekali gus menyingkirkan kuasa raja-raja Melayu sebagai mekanisme semak dan imbang.

Pada masa yang sama, status badan kehakiman direndahkan dengan perubahan simbolik seperti penamaan semula jawatan Lord President kepada Chief Justice, dan Supreme Court sebagai Federal Court, serta pengenalan kod etika untuk para hakim.

Perlembagaan telah dipinda lagi sebanyak 16 kali dan berakhir pada tahun 2009. Kebanyakan perubahan dalam tempoh ini adalah kecil dan bersifat pentadbiran, kecuali kewujudan Wilayah Persekutuan yang ketiga pada tahun 2001, iaitu ibu pejabat pentadbiran persekutuan yang baru, Putrajaya.

Ke mana perginya kita?

Berbeza dengan Amerika Syarikat yang melakukan 27 pindaan perlembagaan, dari Bill of Rights kepada pemansuhan perhambaan, dan kemudian pemberian hak mengundi sejagat bagi setiap orang dewasa menunjukkan naratif perjalanan sebuah negara yang membina masyarakat lebih inklusif, progresif dan mandiri, kisah Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula menunjukkan sebuah negara menuju arah bertentangan – ke arah lebih eksklusif, terkebelakang dan menekan.

Semua pindaan penting yang telah dibuat sepanjang 60 tahun ini telah merubah nilai dan semangat asal Perlembagaan Reid tahun 1957 dengan menumpukan kuasa pada badan eksekutif, meruntuhkan pelbagai benteng perlembagaan berkenaan kebebasan asasi dan penggunaan kuasa darurat, merombak sistem pilihan raya bagi memastikan pengekalan kerajaan sedia ada dan menekan kuasa pihak lawan, termasuk institusi seperti sistem raja-raja Melayu dan badan kehakiman.

Kesannya, Perlembagaan kini tidak lagi membawa semangat dan hasrat asal pengasas negara. Ini adalah cerminan kancah politik Malaysia hari ini. Meskipun parti sama yang memerintah sejak kemerdekaan terus berkuasa, ramai yang akan sependapat bahawa kepimpinan sekarang tidak lagi berpegang kepada impian dan prinsip sama perintis parti tersebut.

Jelas, pembaikan Malaysia memerlukan pembaikan undang-undangnya. Jika negara kita ingin menjadi sebuah negara inklusif dan progresif di abad ke- 21 ini, maka usaha politik untuk menggubal undang-undang yang lebih inklusif, terbuka dan adil harus dilaksanakan.

NB: This article was originally published in four parts in Roketkini.com on 30 August, 5, 6 and 7 September 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc