Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2019

1. Saya ingin bermula dengan merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri atas pembentangan Belanjawan 2019 yang telah berjaya merangkakan halatuju yang jelas bagi pembangunan negeri Pulau Pinang sehingga ke tahun 2030 sebagai negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara.

2. Sesungguhnya, negeri Pulau Pinang telah pun menjadi inspirasi kepada negara apabila berani merubah pada tahun 2008 dengan memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan buat kali pertama. 10 tahun kemudian, rakyat di serata Malaysia telah mengikuti jejak langkah Pulau Pinang dengan memenangkan gabungan Pakatan Harapan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Saya percaya keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Harapan adalah berasaskan sedikit sebanyak kepada kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008 yang telah membuktikan bahawa kita mampu mentadbir dengan cekap, akauntabel dan telus serta senantiasa mengutamakan kebajikan dan kemaslahatan rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

3. Saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya dengan merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri 2019, khususnya berkaitan dengan isu-isu Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir.

4. Beberapa isu dan cadangan baru telah dibangkitkan dan pentadbiran ini pastinya akan sedaya upaya memberi perhatian ke atas cadangan yang bermanfaat dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Kerja Raya

Tuan Yang Dipertua,

5. Sukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini Kerajaan Negeri giat meneruskan pelaksanaan enam belas (16) projek pembinaan dan menaiktaraf jalan yang telah diperincikan dalam Belanjawan 2018 dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM12,448,738.17, selaras dengan notis perubahan melalui kelulusan oleh Jabatan Kewangan Negeri, di mana tiga (3) projek telah pun siap pembinaan, enam (6) projek lagi dalam peringkat pembinaan, enam (6) projek dalam peringkat rekabentuk dan kerja awalan dan satu (1) projek tertangguh. Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur yang lestari dan seimbang di negeri ini. Sehubungan dengan itu, setiap projek infrastruktur dirangka dengan teliti berdasarkan kepada keperluan semasa dan peruntukan yang tersedia.

6. Izinkan saya merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Dua yang memohon agar Kerajaan Negeri memberikan perhatian kepada jalan-jalan kampung dengan mendapatkan peruntukan menaiktaraf jalan-jalan kampung daripada sumber lain, yakni Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

7. Sebagai mana Yang Berhormat sedia maklum, jalan-jalan kampung terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah, dan sebanyak RM2 juta diperuntukkan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri untuk menaiktaraf jalan-jalan kampung di negeri ini bagi tahun 2019. Saya akui jumlah itu tidak mencukupi dan menyambut baik saranan Yang Berhormat agar peruntukan lain diusahakan.

8. Sememangnya di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kerja Raya dan Utiliti, jabatan-jabatan yang bertanggungjawab sepatutnya membawa cadangan berkaitan apa sahaja penambahbaikan infrastruktur termasuklah jalan raya, untuk mengenalpasti kaedah dan keperluan pembaikan atau penaiktarafan. Dalam hal ini, cadangan ADUN kawasan kepada Pejabat Daerah dan Tanah setelah dibincangkan lanjut bersama jabatan dan agensi lain akan dibawa kepada perhatian Jawatankuasa ini yang diurusetiakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Sekiranya peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) perlu dimohon, maka prosedur dan peruntukan berkenaan di bawah Kementerian ini akan diikuti. Sebagai makluman tambahan, antara kriteria wajib yang ditetapkan oleh pihak KPLB untuk penaiktarafan jalan-jalan kampung adalah seperti berikut:

  1. Jalan-jalan yang dibina atau dinaiktaraf harus memberi manfaat kepada lebih daripada 100 pengguna di kawasan sekitarnya;
  2. Jalan yang memberi kemudahan perhubungan kepada pusat-pusat kesihatan atau klinik, sekolah, masjid atau surau, pasar, pusat-pusat riadah dan kemudahan awam yang lain;
  3. Jalan yang menyambungkan di antara sebuah kampung dengan kampung lain dan/atau menghubungkan dengan jalan besar; dan
  4. Jalan kampung yang menghubungkan pekan kecil, pusat kegiatan ekonomi, perniagaan, pusat industri kecil dan pusat pertumbuhan desa.

Tuan Yang Dipertua,

9. Merujuk kepada soalan yang juga dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Dua mengenai status pembaikan cerun bukit yang telah dilaksanakan menggunakan peruntukan RM10 juta pada tahun 2018.

10. Bagi makluman Yang Berhormat, status terkini berkaitan peruntukan RM10 juta untuk pelaksanaan kerja-kerja pembaikan empat (4) cerun di Jalan Tun Sardon kini pada peringkat penilaian tender, setelah tarikh tutup tender pada 25 Oktober 2018 baru-baru ini. Kerja-kerja pembaikan cerun ini dijangkakan bermula pada Januari 2019 dengan tempoh pembinaan selama 44 minggu.

Tuan Yang Dipertua,

11. Seterusnya, Yang Berhormat Kebun Bunga memohon agar Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kejuruteraan Sivil dan Geoteknikal yang berkelayakan dan diiktiraf untuk membuat pemantauan projek dan siasatan, selanjutnya membentangkan hasil siasatan dalam Dewan yang mulia ini.

12. Bagi makluman Yang Berhormat, antara terma rujukan Jawatankuasa Khas Siasatan Projek Jalan Berkembar Bukit Kukus, selain daripada mengenalpasti punca kejadian dan siapa yang bertanggungjawab, adalah untuk mencadangkan penambahbaikan kepada garispanduan sedia ada berhubung kerja-kerja pembinaan yang melibatkan lereng bukit. Saya sendiri rasa ada perlu kita memperketatkan garispanduan dari segi prosedur, pemantauan serta penguatkuasaan ke atas kerja-kerja pembinaan di kawasan-kawasan yang sensitif agar dapat mengelak daripada berlaku tragedi pada masa hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

13. Saya memerhati bahawa Yang Berhormat Bertam telah membangkitkan isu berhubung dengan sistem perparitan di kawasan Bertam yang terlibat dengan projek menaiktaraf jalan dari dua lorong ke empat lorong, di mana Yang Berhormat memohon agar penelitian terperinci dibuat terhadap kecekapan pengaliran air ke parit buang untuk memastikan tidak berlaku banjir menenggelami kawasan projek dan kawasan berdekatan.

14. Terlebih dahulu, saya ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat atas keprihatinan dalam isu ini. Projek penaiktarafan jalan ini sebenarnya boleh digunakan sebagai peluang untuk menangani masalah banjir di kawasan yang terbabit kerana skop projek juga merangkumi penaiktarafan longkang di sepanjang jajaran. Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, sistem perparitan yang dimaksudkan adalah terletak dalam kawasan persendirian, oleh itu memerlukan keizinan tuan tanah terlibat. Perkara ini telah dibincangkan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU), JKR, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Ogos 2018.

15. Tambahan kepada itu, saya telah melakukan lawatan tapak bersama-sama dengan Yang Berhormat sendiri, sekali dengan pihak JKR, MPSP dan JKKK setempat pada 22 Oktober 2018 yang lalu. Seperti yang dipersetujui, perbincangan susulan selanjutnya akan diadakan dalam masa terdekat dan Yang Berhormat akan dijemput untuk turut serta agar perkara ini dapat dirancang dengan baik. Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita mampu mencari penyelesaian yang sekaligus dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Tuan Yang Dipertua,

16. Seterusnya, izinkan saya menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Berangan berhubung kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di Simpang Tiga Tasek Gelugor dan keperluan memasang lampu isyarat di simpang tiga ini.

17. Bagi makluman Yang Berhormat, MPSP dan JKR telah bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk pemasangan lampu isyarat di Simpang Tiga Thai Tong, Tasek Gelugor. Laporan kajian impak lalu lintas (TIA) yang dikemukakan oleh pemaju juga telah menunjukkan terdapat keperluan lampu isyarat di persimpangan tersebut. Sehubungan itu, MPSP dan JKR telah mensyaratkan kepada pemaju untuk melaksanakan pemasangan lampu isyarat di situ. Moga-moga, dengan adanya lampu isyarat ini dapat dielakkan kemalangan pada masa hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

18. Beralih kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bagan Dalam berkenaan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di mana kutipan tol dibuat di Perai dan Bagan Ajam tetapi penyelenggaraan jalan kurang memuaskan.

19. Sepertimana Yang Berhormat maklum, penyelenggaraan BORR di Perai dan Bagan Ajam adalah di bawah bidang kuasa pihak BORR. Walau bagaimanapun, MPSP telah menghantar surat peringatan pada 13 November 2018 supaya isu ini diselesaikan dengan kadar segera. Surat ini juga telah disalinkan kepada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil tindakan dan penguatkuasaan sewajarnya bagi pelaksanaan kerja-kerja yang berkaitan di bawah seliaan agensi tersebut.

20. Yang Berhormat Bagan Dalam juga ada membangkitkan isu permohonan untuk membina bonggol di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyiur, tetapi tidak diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah kerana tertakluk kepada dasar sedia ada JKR dan sama ada dasar berkenaan dapat dipinda bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

21. Sebagai makluman Yang Berhormat, saya percaya bahawa where there’s a will, there’s a way. Apa-apa dasar tidak semestinya terpahat dalam batu buat selama-lamanya. Sudah tentu, sekiranya terdapat keperluan untuk mengkaji semula sesuatu dasar, maka kita boleh melakukannya. Yang Berhormat ada menggunakan contoh kes kemalangan yang berlaku di SJKC Kwang Hwa. Sukacita saya memaklumkan bahawa bonggol jalan dalam bentuk speed table telah pun siap dibina pada 28 September 2018.

22. Bagi makluman Yang Berhormat, bonggol jalan adalah satu kemudahan yang berkontroversi kerana ada masanya disukai dan ada masanya dibenci oleh pengguna jalan raya. Kadang kala, ia juga membahayakan kepada penunggang motosikal. Maka penggunaannya harus diberi pertimbangan dan penilaian serius oleh pihak penguasa jalan dan tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya. Penggunaan kemudahan ini tertakluk kepada keperluan untuk redaan trafik bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Bagi kes di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyiur, JKR sedang meneliti perkara ini dan akan mempertimbangkan penggunaan bonggol di kawasan tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

23. Saya ingin memberi maklumbalas kepada Yang Berhormat Berapit yang memohon agar Kerajaan Negeri memastikan kemudahan kepada pejalan kaki seperti lorong atau jejantas dalam pembangunan infrastruktur jalan raya terutamanya di kawasan sekolah.

24. Untuk makluman Yang Berhormat, JKR Seberang Perai Tengah (SPT) sedang dalam usaha melaksanakan kemudahan pejalan kaki di setiap sekolah di daerah SPT secara berperingkat berdasarkan permohonan yang dimohon daripada orang awam secara terus, dan juga daripada pihak ADUN melalui mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD). Manakala untuk pembinaan jejantas, ianya juga akan dilaksanakan berdasarkan permohonan dan mengikut arahan teknik bagi pemasangan jejantas tersebut oleh pihak JKR. Pelaksanaan infrastruktur ini adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan yang diterima.

25. Saya beralih kepada isu seterusnya yang juga daripada Yang Berhormat Berapit yang memohon agar pihak JKR membantu untuk mempercepatkan kebenaran pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi membolehkan kerja-kerja pelebaran jalan dimulakan.

26. Sebagai makluman Yang Berhormat, JKR SPT tidak menerima sebarang kelulusan berkaitan pengambilan tanah daripada RAC untuk tujuan pelebaran jalan. Sebaliknya JKR SPT hanya menerima surat kebenaran daripada pihak RAC untuk menyelenggara Jalan Kampung Besar sahaja. Walau bagaimanapun, perkara ini akan disemak semula dan diteliti lanjut bersama semua pihak yang terlibat.

27. Seterusnya Yang Berhormat Berapit juga memohon agar Kerajaan Negeri menyelesaikan isu kesesakan jalan berhadapan SMK Convent Bukit Mertajam yang terlalu sempit dan menyebabkan kekurangan tempat meletak kenderaan terutamanya di kawasan hospital.

28. Untuk makluman Yang Berhormat, JKR dalam proses untuk mengemukakan permohonan peruntukan kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk menaiktaraf jalan tersebut bagi jajaran di bawah seliaan JKR.

Tuan Yang Dipertua,

29. Menjawab soalan Yang Berhormat Sungai Acheh yang bertanya mengenai perancangan pelebaran Jalan Simpang Tiga ke Jalan Sungai Acheh, saya ingin memaklumkan di sini bahawa jalan tersebut adalah di bawah seliaan JKR Perak. Walau bagaimanapun, JKR Pulau Pinang akan mengambil inisiatif untuk memanjangkan keperluan pelebaran jalan ini kepada JKR Perak untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

30. Yang Berhormat Bayan Lepas dan Yang Berhormat Pulau Betong pula bertanya sama ada Jalan Teluk Kumbar akan dilebarkan. Bagi makluman kedua-dua Yang Berhormat, pelebaran Jalan Teluk Kumbar telah pun dimasukkan ke dalam permohonan Rancangan Malaysia ke-11 Rolling Plan 3 dengan peruntukan sebanyak RM403 juta namun tiada kelulusan lagi.

Tuan Yang Dipertua,

31. Yang Berhormat Pulau Betong telah membangkitkan mengenai kejadian cerun runtuh di seksyen sekitar 28.40 Jalan Bayan Lepas ke Balik Pulau iaitu Jalan Persekutuan FT006. Mengikut Arahan Kerja yang dikeluarkan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Ibu Pejabat JKR, tarikh mula projek pembaikpulihan adalah 29 November 2018 dan dijangka siap pada 28 April 2019. Projek melibatkan dua (2) lokasi cerun dengan kos siling sebanyak RM1.7 juta. Buat masa ini, satu (1) lorong jalan boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja. Kenderaan berat melebihi tiga (3) tan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri gegaran kenderaan berat yang lalu boleh menyebabkan runtuhan.

Tuan Yang Dipertua,

32. Yang Berhormat Bukit Tambun telah membangkitkan beberapa isu berhubung Jalan Bukit Tambun FT149 dan jalan-jalan di sekelilingnya. Pihak Kerajaan Negeri mengambil maklum masalah-masalah yang dihadapi di jalan tersebut. Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, saya telah melakukan lawatan tapak pada 27 September 2018 sekali dengan Yang Berhormat Perai, Yang Berhormat sendiri, pihak JKR serta pihak MPSP. Susulan daripada lawatan tapak tersebut, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan untuk membincangkan kaedah-kaedah bagi menyelesaikan masalah di persimpangan Plaza Tol Bukit Tambun Selatan serta jalan-jalan yang berkaitan. Untuk jangka masa pendek, cadangan adalah untuk mengubah kedudukan median dan road island yang sedia ada untuk menambah dua lorong ke kanan ke arah Batu Kawan dan satu lorong terus ke Jalan Pa’boi. Bagi jangka masa sederhana, terdapat keperluan untuk menaiktaraf pusingan-U bagi membolehkan pelaksanaan left-in, left-out di kawasan bertentangan persimpangan Plaza Tol Bukit Tambun Selatan.

33. Tambahan kepada itu, terdapat isu endapan atau sedimentation yang sering terkumpul dalam longkang di jajaran jalan connector FT149. Masalah penyelenggaraan di sini berlaku atas sebab status jalan tersebut yang masih dikategorikan sebagai jalan persekutuan walaupun keseluruhan jalan di kawasan tersebut telah pun diwartakan sebagai jalan negeri. Bagi memudahkan kerja naiktaraf dan penyelenggaraan pada masa akan datang, adalah dicadangkan agar connector itu dijadikan sebahagian daripada Jalan Bukit Tambun-Jeti P172. Pada masa yang sama, semakan mendapati terdapat hakisan tebing parit tanah yang berada di dalam rizab tanah milik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) yang berkembar dengan jalan connector tersebut. Pada masa yang sama, parit tanah ini juga mungkin bahaya sekiranya kenderaan besar melaluinya. Maka, telah dicadangkan kepada LLM untuk menaiktaraf parit tanah tersebut menjadi longkang konkrit.

34. Berkenaan dengan isu penyelenggaraan Lebuhraya Bandar Cassia, Jalan Bukit Tambun, Jalan Tasek dan Jalan Bukit Teh yang kurang memuaskan. Bagi makluman Yang Berhormat Bukit Tambun, Lebuhraya Bandar Cassia masih di bawah penyelenggaraan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di mana Yang Berhormat pernah berkhidmat dahulu. Jalan Tasek pula adalah jalan negeri di bawah JKR dan diselenggara menggunakan wang amanah MARRIS. Tahun ini, pihak JKR telah melaksanakan resurfacing atau membaharumuka sepanjang 1KM bermula simpang Jalan Tasek ke arah Bukit Teh melalui Jalan Che Hussin. Bagi tahun 2019, JKR telah menjadikan Jalan Tasek-Jalan Che Hussin sebagai keutamaan membaharumuka sehingga ke sempadan Seberang Perai Selatan (SPS) dan SPT. Manakala Jalan Bukit Tambun pula adalah Jalan Persekutuan FT149. Pada tahun ini, JKR telah membaharumuka 400 meter bermula Plaza Tol Bukit Tambun Selatan. Untuk membaharumuka seluruh jajaran FT149, kosnya adalah RM4 juta.

Tebatan Banjir

Tuan Yang Dipertua,

35. Izinkan saya memberi maklumbalas kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang berhormat Sungai Dua yang merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2019 dan menyatakan bahawa jumlah projek tebatan banjir yang akan dilaksanakan dalam tahun 2019 di bawah JPS adalah kurang.

36. Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya serius dan mengambil berat perihal menangani isu banjir di negeri ini. Setakat Oktober 2018, terdapat 164 projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri Pulau Pinang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM245,352,769.70 di mana kesemuanya adalah daripada Kerajaan Negeri. Ini termasuk projek-projek High-Impact serta semua projek oleh agensi-agensi kerajaan seperti JKR, JPS, (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) MBPP dan MPSP di bawah caruman perparitan atau caruman infrastruktur.

37. Bagi tahun 2019, pelaksanaan projek-projek ini akan diteruskan malah akan ditambah lagi. Tambahan kepada itu, kini rakyat Pulau Pinang sangat bernasib baik kerana berlaku pertukaran rejim di peringkat Kerajaan Persekutuan. Sepertimana semua sedia maklum, Menteri Kewangan Malaysia yang baru telah pun mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang sudah terlalu lama dinanti-nantikan oleh penduduk Pulau Pinang. Di samping itu, ada beberapa projek lain seperti RTB Teluk Kumbar, RTB Teluk Bahang dan RTB Pondok Upeh yang akan disusuli dengan Kerajaan Persekutuan.

38. Seterusnya saya ingin memberi maklumbalas kepada cadangan Yang Berhormat Sungai Dua agar Penang Flood Master Plan diwujudkan untuk mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.

39. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui JPS Pulau Pinang telah menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (DMP) untuk semua daerah di Pulau Pinang yang akan dan telah digunapakai sebagai rujukan dalam perancangan pembangunan di negeri ini. DMP ini berfungsi sebagai garispanduan bagi proses merancang, pemajuan dan penaiktarafan sistem perparitan. Senarai DMP yang terlibat dan status pelaksanaannya adalah seperti berikut:

  1. DMP SPU – dijangka siap hujung bulan Disember 2018
  2. DMP SPT – telah disiapkan April 2016
  3. DMP SPS – telah disiapkan Disember 2017
  4. DMP DTL – telah disiapkan September 2018 (dibentang kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada Oktober 2018); dan
  5. DMP DBD – telah disiapkan November 2013 (kajian semula dijangka pada 2019)

Tuan Yang Dipertua,

40. Yang Berhormat Bagan Dalam pula ada memohon agar projek mendalamkan muara Sungai Perai dilaksanakan memandangkan terdapat kes banjir kilat yang memberi impak ke kawasan Perai dan Bagan Dalam.

41. Sebagai makluman Yang Berhormat, permohonan mengorek muara Sungai Perai telah dimasukkan ke dalam senarai keutamaan permohonan projek RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan melalui projek RTB Sungai Perai yang akan merangkumi kerja-kerja pengorekan muara selain daripada menaiktaraf ban dan struktur tebatan banjir sepanjang Sungai Perai. Projek ini telah dimohon kepada Kerajaan Persekutuan pada Disember 2017 dan susulan semula permohonan telah dikemukakan sekali lagi pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

42. Beralih kepada cadangan Yang Berhormat Jawi agar Kerajaan Negeri mencari kaedah yang lain untuk membenarkan pihak swasta mengambil pasir di Sungai Jejawi dan Sungai Tengah sebagai langkah membantu meringankan beban peruntukan Kerajaan Negeri dalam mendalamkan sungai di samping meningkatkan hasil pendapatan kepada Kerajaan Negeri.

43. Sebagai makluman Yang Berhormat, perkara ini telahpun mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan projek perintis di daerah Barat Daya telah pun dipersetujui untuk dilaksanakan melalui Request For Proposal (RFP). Dalam hal ini, Yang Berhormat bolehlah menasihatkan pihak swasta yang berminat untuk mengemukakan permohonan pengambilan pasir di Sungai Jawi dan Sungai Tengah kepada Pejabat Daerah dan Tanah SPS untuk dipertimbangkan bersama JPS daerah, sebelum diangkat kepada Jawatankuasa Tanah Negeri dan MMK selanjutnya.

44. Yang Berhormat Jawi juga ada mencadangkan agar JPS membuka satu laluan bagi membuka lingkungan Sungai Jejawi supaya dapat membantu pengaliran air dari upstream ke downstream.

45. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat ini. Sebagai makluman, JPS telah memohon peruntukan kepada Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir bagi melaksanakan kajian terperinci RTB Sungai Jawi. Cadangan Yang Berhormat sememangnya telah diberi perhatian, di mana kajian laluan baru ataupun bypass bagi Sungai Jawi akan dimasukkan ke dalam terma rujukan konsep alternatif agar perunding yang akan dilantik dapat melaksanakan kajian berkaitan laluan baru atau bypass tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

46. Yang Berhormat Permatang Berangan menyuarakan kerisauan kejadian banjir di Sungai Kreh dan Sungai Kechil Pokok Machang dan bertanya berkenaan tempoh pelaksanaan kerja-kerja membersihkan kekotoran atau sampah yang terapung dalam aliran air.

47. Untuk makluman Yang Berhormat, aliran Sungai Kechil Pokok Machang akan mengalir ke Sungai Kreh dan seterusnya ke Sungai Perai. Limpahan Sungai Kechil Pokok Machang yang berlaku adalah berpunca daripada paras Sungai Kreh dan Sungai Prai yang terlalu tinggi akibat hujan yang lebat berserta faktor air pasang. Akibatnya, aliran air dari Sungai Kechil Pokok Machang akan terganggu dan tidak dapat mengalir keluar ke Sungai Kreh sehingga menyebabkan berlakunya banjir. Bagi mengatasi permasalahan ini, pihak JPS menjalankan pembersihan Sungai Kreh sebanyak lima (5) kali setahun. Selain itu, pembersihan Sungai Kechil Pokok Machang juga turut dijalankan secara pusingan sebanyak empat (4) kali setahun. Sebagai makluman juga, pihak JPS SPU sedang dalam perancangan untuk menjalankan kajian lanjut untuk mengenalpasti keperluan dan kesesuaian kerja tebatan banjir yang berkesan bagi mengurangkan risiko limpahan air sungai ini.

48. Yang Berhormat Bayan Lepas telah mengajukan soalan mengenai masalah banjir di lembangan Sungai Bayan Lepas. Buat makluman, laporan akhir dengan kos bagi projek tebatan banjir di kawasan tersebut akan dibentangkan pada Disember 2018 dan setelah dimuktamadkan akan dibawa ke pertimbangan Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir.

49. Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Uban mengenai masalah banjir di Bukit Gambir, pihak JPS sedia maklum dan sedang menjalankan kerja ukur bagi menaiktaraf sistem perparitan di kawasan tersebut. Pelaksanaanya kelak akan bergantung kepada peruntukan yang diterima.

Tuan Yang Dipertua,

50. Yang Berhormat Pulau Betong telah menyuarakan mengenai masalah parit atau sistem saliran yang sering tersumbat di kawasannya. Bagi makluman Yang Berhormat, road side drain di jajaran jalan persekutuan adalah di bawah bidang kuasa JKR dan diselenggara oleh syarikat konsesi jalan persekutuan, iaitu THB. Sekiranya terdapat masalah penyelenggaraan yang tidak mencukupi, pihak JKR akan mengambil maklum, namun saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menekankan kepada semua Ahli-ahli Dewan yang mulia ini mengenai peri pentingnya kita merubah tabiat masyarakat kita yang suka membuang sampah merata-rata. Kebanyakan banjir kilat yang berpunca daripada sistem saliran yang tersumbat adalah akibat daripada sampah sarap yang dibuang oleh penduduk tempatan. Walaupun pihak Kerajaan bertanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan, ini tidak bermakna rakyat tidak perlu melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai anggota masyarakat yang berhemah. Maka, saya pohon jasa baik semua Ahli-ahli Dewan untuk bantu mendidik rakyat di kawasan masing-masing untuk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah secara tidak bertanggungjawab.

Tuan Yang Dipertua,

51. Yang Berhormat Batu Lanchang telah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri membangunkan pelan sementara untuk mengatasi masalah yang berlaku di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum kerja naiktaraf dilaksanakan, seperti masalah banjir, kesesakan kawasan letak kereta dan lain-lain kemudahan yang sewajarnya.

52. Sebagai makluman Yang Berhormat, kawasan Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan pemantauan melalui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa cadangan penyelesaian kepada MAHB berhubung masalah banjir di LTAPP semasa Mesyuarat Khas Banjir Daerah Barat Daya pada 30 Oktober 2018 seperti penambahan pam, penambahbaikan sistem perparitan dalaman (internal drainage) dan menaikkan aras dewan pelepasan. Pihak MAHB telah mengambil perhatian cadangan-cadangan tersebut dan kini berada dalam tindakan mereka. Manakala masalah kesesakan kawasan tempat letak kereta dan lain-lain kemudahan telah pun termasuk dalam langkah mitigasi jangka pendek dan juga jangka masa panjang oleh pihak MAHB sendiri.

Tuan Yang Dipertua,

53. Yang Berhormat Sungai Pinang telah membangkitkan beberapa hujah menarik mengenai pemulihan sungai dan sama ada ia dapat dilakukan dalam skop RTB Sungai Pinang.

54. Untuk makluman Yang Berhormat, tujuan utama RTB Sungai Pinang sudah tentu adalah untuk menangani masalah banjir. Namun begitu, aspek peningkatan kualiti air sungai serta kemudahan rekreasi juga akan diambil kira dan kebolehlaksanaannya adalah tertakluk kepada skop dan peruntukan. Pihak MBPP telah pun mengadakan lawatan tapak bersama JPS untuk meninjau lokasi-lokasi yang sesuai dibuat pengindahan landskap atau dijadikan laluan pejalan kali dan laluan basikal. Dalam erti kata lain, pihak Kerajaan Negeri memang mengambil kira keperluan ini dan akan cuba untuk memastikan ianya dapat dimasukkan ke dalam skop prjek kelak.

Tuan Yang Dipertua,

55. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan isu berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek High-Impact. Sepertimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM150 juta untuk lapan (8) projek High-Impact untuk menangani masalah banjir di beberapa kawasan hot-spot yang utama. Namun, beberapa projek tersebut melibatkan isu seperti pengambilan tanah serta keperluan untuk mengosongkan rizab sungai bagi tujuan penaiktarafan. Satu contoh yang ketara adalah projek tebatan banjir Permatang Sungai Rawa yang melibatkan pengambilan tanah di 73 lot. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan Negeri ingin menyeru kerjasama semua pihak, khususnya Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, agar sebarang struktur tanpa izin yang telah diberi notis melalui pejabat tanah diberi perhatian tindakan segera. Saya berharap agar semua Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi perhatian dan kerjasama penyelarasan antara pihak berkuasa dengan pemilik-pemilik struktur bagi tindakan perobohan. Sekiranya urusan perobohan struktur haram di dalam Right of Way (ROW) projek memakan masa yang lama, maka ianya akan melambatkan pembinaan projek. Perkara ini secara langsung akan memberi impak kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan Ahli-ahli Yang Berhormat juga.

Pembetungan

Tuan Yang Dipertua,

56. Seterusnya, Yang Berhormat Pengkalan Kota memohon agar kerja-kerja menaiktaraf sistem kumbahan di kawasan Clan Jetty dapat dinaiktaraf dengan segera.

57. Untuk makluman Yang Berhormat dan juga semua ahli Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri sememangnya prihatin tentang kepentingan untuk mewujudkan sistem saliran kumbahan yang sistematik di kawasan Clan Jetty yang merupakan kawasan warisan. Perkara ini telah pun dibawa ke perhatian pihak kementerian yang bertanggungjawab sebelum ini, iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Selanjutnya pada tahun 2017, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) yang kini di bawah struktur organisasi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah melantik syarikat Perunding Pinang Sdn. Bhd. untuk menjalankan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) di kawasan Clan Jetty yang bertajuk “Proposed Social Impact Assessment Study For Clan Jetty, Georgetown, Pulau Pinang”. Pelaksanaan kajian ini menggunakan peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) berjumlah RM300,000.00. Laporan SIA ini telah siap sepenuhnya pada bulan April 2018, di mana dua (2) kaedah sistem rawatan kumbahan telah dicadangkan seperti berikut:

  1. Caged-In-Situ-Septic System (CISST); dan
  2. Vacuum Sewer System

Dalam hal ini, kedua-dua kaedah yang dicadangkan perlu diteliti semula, di mana kaedah penggunaan sistem Caged-In-Situ-Septic System (CISST) semasa pelaksanaan prototype telah menerima sambutan negatif daripada penduduk sekitar dan pelancong di kawasan George Town. Manakala kaedah sistem pembetungan vakum (Vacuum Sewer System) tidak diluluskan di bawah piawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Dalam masa terdekat, JPP, Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan membuat penelitian lanjut secara terperinci ke atas laporan kajian tersebut untuk mengenalpasti kaedah sistem rawatan kumbahan yang bersesuaian dan pelan mitigasi untuk menangani isu-isu yang dijangkakan semasa tempoh pembinaan kelak. Kerajaan Negeri akan membuat susulan lanjut berkenaan hasil penelitian tersebut.

58. Yang Berhormat Batu Uban telah membangkitkan isu-isu berkaitan projek penaiktarafan sistem pembetungan di kawasan Bayan Baru, khususnya mengenai pihak kontraktor yang dilihat mengabaikan aspek keselamatan semasa melakukan kerja mengorek jalan dan membiarkan air bertakung sehingga nyambuk membiak.

59. Bagi makluman Yang Berhormat, pemantauan ke atas projek ini adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor yang telah dipertanggungjawabkan oleh JPP untk melantik Safety and Health Officer yang bertauliah. Pun begitu, Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk memanjangkan perkara ini kepada JPP agar mengambil tindakan sewajarnya. Di samping itu, perkara ini akan turut dipanjangkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (DOSH) serta Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

60. Berkenaan dengan projek yang sama, Yang Berhormat Bayan Lepas juga membangkitkan mengenai manhole IWK di Jalan Rajawali yang kerap melimpah. Bagi makluman Yang Berhormat, projek ini sebenarnya merupakan projek di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan bukannya di bawah IWK. Pelaksanaannya pula adalah di bawah kontraktor yang dilantik oleh SPAN. Sebagai makluman, projek ini bertujuan untuk menaiktaraf pembetungan kepada yang baru dengan kapasiti yang lebih besar dan agak memakan masa untuk disiapkan. Buat masa ini, pihak kontraktor mengambil langkah penyelesaian jangka masa pendek dengan menyedut keluar kumbahan yang tidak dapat ditampung oleh stesen pengepaman (pumping station) sehingga keseluruhan projek ini selesai dan kemudiannya akan disalurkan ke loji yang lebih besar, iaitu loji PEG 061 di Bayan Baru.

Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

61. Izinkan saya untuk menjawab soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat KOMTAR yang menyatakan bahawa tiada kemudahan internet berkelajuan tinggi di Pusat Khidmat ADUN beliau. Untuk makluman, setiap pejabat KADUN sememangnya telah disediakan dengan Access Point (AP) Penang Free WiFi malah di pejabat Yang Berhormat KOMTAR sendiri, perkhidmatan WiFi disediakan dengan kelajuan internet 50 Mbps. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk memasang internet berkelajuan lebih tinggi di pusat khidmat, pihak Yang Berhormat perlulah mendapatkan perkhidmatan tersebut daripada pihak syarikat telekomunikasi yang sedia ada di pasaran.

62. Yang Berhormat KOMTAR dan Yang Berhormat Permatang Pasir ada membuat aduan mengenai perkhidmatan Penang Free WiFi sedia ada. Kerajaan Negeri mengambil maklum dan akan bertindak segera bagi menambahbaik dan menaiktaraf perkhidmatan perkhidmatan ini. Justeru, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan hasrat mana-mana syarikat telekomunikasi yang berminat untuk membantu hasrat Kerajaan Negeri ini melalui RFP yang akan dilakukan kelak bagi menyediakan perkhidmatan ini menurut kehendak pengguna dan keperluan semasa selaras dengan Dasar Pintu Terbuka (Open Door Policy) Kerajaan Negeri. Penambahbaikan perkhidmatan ini akan diperluaskan di kawasan pedalaman dan kawasan tumpuan orang awam serta entry point pelancong seperti Penang Sentral, Stesen Bas Sungai Nibong selain pusat-pusat pendidikan, hospital dan sebagainya.

63. Selain itu, Kerajaan Negeri menggalakkan syarikat-syarikat telekomunikasi memasang fiber optik bagi perkhidmatan internet berkelajuan tinggi secara smart partnership bagi tujuan penjimatan kos untuk menggantikan rangkaian kuprum. Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mengamalkan Dasar Pintu Terbuka tanpa monopoli kepada mana-mana syarikat telekomunikasi yang ingin menyediakan infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri Pulau Pinang. Persaingan sesama syarikat ini akan memberikan potensi perkhidmatan internet yang lebih berkualiti dengan harga yang berpatutan.

64. Bagi memastikan ketersediaan Kerajaan Negeri menghadapi era 5G dengan penambahbaikan liputan telekomunikasi di negeri Pulau Pinang, peranan pihak berkuasa tempatan iaitu MBPP dan MPSP adalah amat penting dalam memastikan keutamaan diberikan kepada pelan-pelan bangunan berkaitan dengan pembinaan struktur-struktur telekomunikasi. Walau bagaimanapun, proses kelulusan adalah tertakluk kepada pematuhan teknikal yang termaktub dalam Prosedur serta Garis Panduan Menara Telekomunikasi Negeri Pulau Pinang Tahun 2015.

Tuan Yang Dipertua,

65. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara, negeri Pulau Pinang merupakan salah satu negeri yang menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan internet yang terbaik di Malaysia. Kadar penembusan jalur lebar mudah alih di Pulau Pinang adalah sebanyak 122.3% berbanding 117.9% di peringkat nasional. Bagi penembusan jalur lebar talian tetap pula, kadar penembusan di Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 11.6% berbanding 19.8% di peringkat nasional. Untuk itu, kawasan-kawasan luar bandar yang mempunyai limitasi akses akan ditambahbaik liputan selular dari 2G kepada 3G dan LTE dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih pantas dan berkualiti. Selain itu, infrastruktur jalur lebar talian tetap giat diperluaskan melalui Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan juga projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Telekom Malaysia (TM). Kerajaan Negeri amat komited dalam memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negeri Pulau Pinang dipertingkatkan dari masa ke semasa agar seiring dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan yang pesat supaya tiada rakyat di negeri ini yang ketinggalan dalam arus Industrial Revolution 4.0 ini.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

66. Adalah menjadi impian agar negeri Pulau Pinang membangun maju dengan infrastruktur yang efisyen dan lestari bagi keselesaan rakyat Pulau Pinang. Justeru Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dengan gigih melalui pelbagai platform untuk memastikan negeri Pulau Pinang memiliki infrastruktur terbaik selaras dengan agenda mentransformasikan negeri ini menjadi Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa dan menyediakan kehidupan yang berdaya huni kepada rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan sebarang perancangan projek infrastruktur. Semoga dengan kerjasama yang erat di antara semua pihak, negeri Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

67. Sekian, terima kasih.

NB: This speech was delivered on 15 November 2018 in the Penang State Assembly.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc