Penggulungan Perbahasan Ucapan TYT Yang Di-Pertua Negeri 2019

1. Saya ingin bermula dengan merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua sidang Dewan Undangan Negeri ke-14, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu di bawah portfolio Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir untuk dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

2. Beberapa isu dan cadangan baru telah dibangkitkan dan pentadbiran ini pastinya akan memberi perhatian dan keprihatinan ke atas segala cadangan yang bermanfaat demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Kerja Raya

Tuan Yang Dipertua,

3. Sukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini Kerajaan Negeri giat meneruskan pelaksanaan sembilan (9) projek pembinaan dan menaiktaraf jalan yang telah diperincikan dalam Belanjawan 2019 dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM7,338,000.00 selaras dengan notis perubahan yang diluluskan Jabatan Kewangan Negeri, di mana satu (1) projek telah pun siap pembinaan, enam (6) projek lagi dalam peringkat pembinaan dan dua (2) projek dalam peringkat rekabentuk dan kerja awalan. Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur yang lestari dan seimbang di Negeri ini. Sehubungan dengan itu, setiap projek infrastruktur dirangka dengan teliti berdasarkan kepada keperluan semasa dan peruntukan yang tersedia.

4. Saya menjawab terdahulu kepada Yang Berhormat Sungai Dua yang menyuarakan bantahan daripada penduduk mengenai pembinaan pembahagi jalan di kawasan Sungai Dua kerana menganggu perniagaan setempat.

5. Sebagai makluman Yang Berhormat, projek ini dilaksanakan sebagai tindakan penyelesaian kepada aduan daripada pengguna jalan raya akibat kesesakan yang berlaku di jalan tersebut setelah diteliti cadangan pelaksanaannya dengan mengambil kira faktor keselamatan pengguna. Cadangan pembinaan pembahagi jalan tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Lalulintas Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 12 April 2019 dan tempoh percubaan melalui pemasangan plastic barrier selama sebulan kini sedang dijalankan di lokasi sementara proses perolehan bagi pembinaan median kekal diselesaikan. Dalam hal ini, keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya adalah lebih diutamakan.

Tuan Yang Dipertua,

6. Yang Berhormat Bertam menyentuh berkenaan projek menaiktaraf jalan dua (2) lorong ke empat (4) lorong dari Permatang Tok Elong hingga Jambatan Merdeka, di mana terdapat aduan penduduk kampung sukar melintas jalan dan perlu membuat U-turn yang jauh. Yang Berhormat telah memohon pasukan projek khas Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula laluan di kawasan penduduk.

7. Sebagai makluman Yang Berhormat, di sepanjang 9 km jajaran jalan kawasan projek ini terdapat enam (6) lokasi U-turn yang boleh digunakan oleh penduduk dengan jarak maksimum 2.6 km antara satu U-turn ke U-turn yang seterusnya, manakala jarak minimum adalah 225 meter. Bagi kawasan Permatang Tok Elong, lokasi U-turn adalah di Simpang Permatang Sintuk di mana jarak dari chainage permulaan adalah 1.1 km. Yang Berhormat pasti setuju bahawa faktor keselamatan harus diutamakan, justeru penduduk perlu diberikan kesedaran untuk menggunakan laluan U-turn yang disediakan bagi menjaga keselamatan masing-masing. Merujuk kepada cadangan Yang Berhormat agar jejambat pejalan kaki yang boleh dilalui motosikal dibina untuk menyelesaikan masalah ini, Unit Projek Khas Cawangan Jalan mengambil langkah untuk mencadangkan perkara ini kepada pihak ketua pasukan projek khas dari Ibu Pejabat JKR Malaysia untuk mengambil kira perkara ini di dalam skop projek ini dan juga semua projek jalan JKR di Pulau Pinang pada masa akan datang.

8. Merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Lanchang mengenai kualiti jalan tar di Pulau Pinang yang masih dalam keadaan berkualiti rendah di mana jalan raya berkeadaan tidak sekata, berlubang dan membahayakan, Yang Berhormat meminta agar Kerajaan Negeri mengkaji semula masalah ini dengan teliti dan mencari penyelesaian yang holistik. Yang Berhormat juga mencadangkan agar JKR menggunakan spesifikasi tar yang lebih berkualiti tinggi.

9. Yang Berhormat, JKR ingin menjelaskan bahawa jalan raya sangat sensitif dengan kehadiran air. Air hujan yang bertakung di atas permukaan jalan merupakan antara punca utama yang menyebabkan jalan raya berlubang. Selain itu, kenderaan melebihi berat juga menjadi faktor kepada kerosakan permukaan jalan.

10. Dalam memastikan kualiti jalan raya di negeri ini berada pada tahap yang baik, JKR mengambil langkah melaksanakan audit di kuari-kuari bagi memastikan penghasilan premix mengikut spesifikasi JKR. Hanya kuari yang menepati dan memenuhi spesifikasi JKR sahaja diberi kelulusan untuk membekal premix bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan oleh jabatan.

11. Sebagai makluman Yang Berhormat juga, kawalan suhu premix merupakan langkah untuk mengawal kualiti premix di mana purata suhu premix keluar dari kuari adalah pada sekitar 160°C-170°C. Sekiranya premix tersebut ditutup dengan kanvas secara rapi ketika di atas lori, suhu premix tersebut mampu bertahan melebihi lapan (8) jam sebelum menurun ke suhu purata 130°C-140°C. Sebelum kerja-kerja penghamparan premix, suhu premix di atas lori tersebut akan disukat sebelum kerja-kerja dilaksanakan. Hanya suhu premix tidak kurang 130°C diterima untuk kerja-kerja tersebut. Kawalan ini dapat memastikan kualiti tar jalan raya yang diturap. Selain itu juga terdapat kuari yang beroperasi untuk membancuh premix pada waktu malam bagi mengawal kualiti suhu premix berdasarkan kepada permintaan.

12. Di samping itu, perlu dijelaskan juga bahawa tampalan jalan yang dilaksanakan oleh syarikat utiliti setelah mengorek jalan untuk kerja-kerja menanam utiliti adalah bersifat pembaikan sementara. Seringkali, aduan yang kita terima adalah mengenai tampalan sementara yang kurang memuaskan. Ini kerana pembaikan kekal di mana keseluruhan jalan akan diturap hanya akan dilaksanakan apabila kerja pihak utiliti telah siap sepenuhnya.

13. Walau bagaimanapun kita tetap memantau kualiti pembaikan sementara oleh pihak utiliti agar berada dalam keadaan yang selamat kepada semua pengguna jalanraya. Pihak JKR juga telah menetapkan supaya semua kerja-kerja pengorekan jalan menggunapakai Prosedur Permohonan Syarikat Utiliti Kepada JKR Pindaan 2018 yang menetapkan hanya kaedah horizontal directional drilling (HDD) sahaja dibenarkan bagi semua korekan yang merentangi jalan utama, manakala bagi kerja korekan jalan dengan trafik rendah, kaedah korekan terbuka (open cut) hanya dibenarkan sebagai pilihan terakhir atas persetujuan Pengarah JKR Negeri berdasarkan standard operating procedure (SOP) semasa jabatan.

Tuan Yang Dipertua,

14. Seterusnya, Yang Berhormat Batu Lanchang juga memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membangunkan sebuah loji bancuhan asfalt di negeri ini yang juga berintegrasi dengan loji kitar semula asfalt.

15. Terima kasih di atas cadangan Yang Berhormat. Kerajaan Negeri melalui JKR amat mengalu-alukan usaha mewujudkan loji premix asfalt di negeri ini. Justeru, cadangan ini perlu diperhalusi bersama-sama jabatan-jabatan teknikal yang lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kewangan Negeri bagi memastikan setiap aspek diambil kira termasuklah implikasi kewangan, sosial dan alam sekitar. Sekiranya dilaksanakan, pengauditan juga harus dilakukan untuk memastikan kualiti menepati spesifikasi JKR bagi penggunaannya dalam mana-mana projek dan penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Tuan Yang Dipertua,

16. Saya memerhati bahawa Yang Berhormat Pengkalan Kota telah mencadangkan supaya satu jawatankuasa koordinasi diwujudkan untuk menyelaras kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan melibatkan jabatan kerajaan dan penyedia utiliti supaya proses pembinaan dan baik pulih jalan sentiasa efisyen.

17. Bagi makluman Yang Berhormat, sememangnya cadangan Yang Berhormat telah terkandung dalam terma-terma rujukan bagi Jawatankuasa MMK Kerja Raya dan Utiliti iaitu seperti berikut:

i. Menasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan berkaitan hal ehwal infrastruktur dan kemudahan awam;

ii. Merangka dasar, peraturan dan garis panduan untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk digunapakai oleh jabatan dan agensi kerajaan supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dan faedah yang maksimum kepada rakyat;

iii. Merancang projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam milik Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dan seterusnya memantau pelaksanaannya;

iv. Menyelaras dan memantau pelaksanaan projek dan program Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan; dan

v. Memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan mengenai isu-isu semasa berkaitan hal ehwal infrastruktur dan kemudahan awam yang memerlukan perhatian dan pertimbangan.

18. Jawatankuasa ini diurusetiakan oleh JKR dan dianggotai oleh agensi-agensi teknikal seperti PBT, JPS, Pejabat Daerah dan Tanah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Turut dijemput hadir adalah syarikat-syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Indah Water Konsortium (IWK) serta ADUN-ADUN yang menjadi ahli Jawatankuasa. Matlamat Jawatankuasa MMK ini adalah untuk sama-sama menyelaras dan membincangkan isu-isu melibatkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh semua jabatan dan agensi kerajaan baik Negeri mahupun Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

19. Seterusnya, Yang Berhormat Pengkalan Kota juga ada menyuarakan agar Kerajaan Negeri diminta untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan laluan pejalan kaki secara komprehensif di seluruh kawasan George Town.

20. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah Bandar Mesra Pejalan Kaki di seluruh kawasan pulau termasuklah George Town. Setiap tahun MBPP akan menyediakan peruntukan untuk menaiktaraf dan membina laluan pejalan kaki yang bersambungan di dalam kawasan bandaraya George Town. Setiap pembangunan baru juga turut disyaratkan oleh MBPP untuk menyediakan laluan pejalan kaki mengikut rekabentuk sejagat (universal design). Dari tahun 2008 sehingga awal tahun 2019, sejumlah 30.92 km laluan pejalan kaki yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk sejagat telah dibina dan dinaiktaraf.

21. Seterusnya, bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai terhadap keselamatan dan keselesaan pejalan kaki, Majlis telah mengadakan kempen Pedestrian is King yang telah dilancarkan pada hujung tahun tahun 2015. Bagi meneruskan lagi usaha ini, MBPP kini menjalankan projek Pedestrian is King 2.0 yang akan memberi perhatian kepada halangan-halangan dan gangguan di laluan-laluan pejalan kaki yang menimbulkan kesulitan dan menjejaskan keselamatan pejalan kaki. Antara tindakan-tindakan yang dijalankan oleh MBPP untuk kempen ini adalah mengeluarkan halangan-halangan tetap dan sementara di laluan-laluan pejalan kaki sedia ada seperti pokok, pasu bunga, tembok batu, pagar besi, kerusi dan meja makan. Untuk tahun 2019, MBPP telah mensasarkan tiga (3) lokasi bagi mengeluarkan halangan-halangan tetap dan sementara ini iaitu di Lebuh King, Lebuh Melayu dan Jalan Dato’ Keramat.

22. Tambahan juga, sukacita saya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dengan kerjasama Asian Development Bank juga telah menjalankan kajian Penang Green Transportation Study bagi merangkakan pelan tindakan jangka masa pendek dan sederhana bagi meningkatkan kelestarian mobility (sustainable mobility) di bandar warisan dunia George Town. Antara skop kajian tersebut adalah untuk menjadikan George Town lebih mesra pejalan kaki, mengoptimasikan perkhidmatan bas sedia ada, meningkatkan penggunaan basikal, mengkaji semula dasar parkir kereta serta menyediakan pelan elektrifikasi masa hadapan. Kajian tersebut telah bermula pada Januari 2019 dengan penglibatan agensi-agensi berkaitan dan kini dalam proses penyediaan laporan.

23. Beralih kepada Yang Berhormat Pulau Betong yang memohon agar Kerajaan Negeri menyegerakan kerja-kerja membaikpulih Jalan Tun Sardon.

24. Sebagai makluman Yang Berhormat, susulan kejadian hujan lebat selama 15 jam pada November 2017 yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh termasuk di Jalan Tun Sardon (P14), sebanyak empat (4) cerun besar bakal dilaksanakan pembaikannya oleh JKR pada pertengahan Mei 2019 menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri, manakala empat (4) cerun telah pun siap dibaiki pada tahun 2018 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

25. Yang Berhormat Bukit Tambun ada memohon supaya Kerajaan Negeri mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menaiktaraf jejambat yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 2 ke Jalan Persekutuan (FT001) melintasi landasan keretapi.

26. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat ini. Untuk makluman, Jalan Tasek Mutiara 2 masih belum diserahkan oleh pemaju kepada JKR. Walau bagaimanapun, JKR perlu mengkaji terlebih dahulu keperluan dan perincian cadangan pelaksanaan menaiktaraf jejambat yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 2 dengan Jalan Persekutuan FT001. Pentadbiran ini juga akan mengkaji sama ada penaiktarafan jejambat ini boleh disyaratkan kepada pemajuan di kawasan tersebut memandangkan ada skim perumahan yang bakal dibangunkan.

27. Seterusnya Yang Berhormat Bukit Tambun juga memohon agar Jalan Bukit Tambun dapat diturap semula secara keseluruhannya.

28. Untuk pengetahuan Yang Behormat, JKR telah pun memohon peruntukan untuk menurap baki Jalan Bukit Tambun yang masih belum diturap. Penurapannya secara keseluruhan akan dilaksanakan setelah peruntukan diluluskan. Sebagai makluman tambahan, kerja-kerja penurapan sepanjang 0.7 km di jalan tersebut telah dilaksanakan dan siap pada 22 April yang lalu namun road markings belum lagi dibuat kerana perlu tunggu 10 hari agar garis tidak menjadi hitam jika dibuat terlalu awal. Ujian jalan baru sahaja selesai dua (2) hari yang lepas dan garis jalan yang tetap akan dibuat dalam masa terdekat.

29. Yang Berhormat Permatang Berangan ada membangkitkan mengenai lampu isyarat di Simpang Tiga Tai Thong, Tasek Gelugor.

30. Berkenaan dengan isu ini, saya pernah menjawab di mesyuarat Dewan yang lalu bahawa kajian TIA (Traffic Impact Assessment) sememangnya mendapati bahawa ada keperluan untuk mendirikan lampu isyarat di persimpangan ini, justeru ia telah disyaratkan kepada pihak pemaju iaitu Tetuan KG Saw Holdings Sdn. Bhd. yang bercadang untuk membina skim perumahan di kawasan tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat, pelan kebenaran merancang masih di peringkat OSC (One-Stop Centre) MPSP dan masih belum diluluskan atas sebab pemaju belum menunaikan syarat. Maka, lampu isyarat tersebut tidak akan dibina selagi pelan tidak diluluskan.

31. Rata-rata di kalangan kita sedar dan prihatin akan keadaan jalan raya di negeri ini yang memerlukan penyelenggaraan yang lebih baik bagi menjaga keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Sebagai makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengangkat permohonan cadangan untuk mewartakan semula jalan-jalan persekutuan di negeri ini kepada jalan-jalan negeri agar penyelenggaraannya lebih mudah dipantau di bawah Kerajaan Negeri. Cadangan ini mensasarkan hampir 70 peratus daripada jumlah jalan persekutuan di seluruh negeri Pulau Pinang untuk dimohon pewartaan semula kepada jalan-jalan negeri. Prosedur untuk membatalkan warta jalan persekutuan dan penukaran kepada jalan negeri akan memerlukan tempoh yang agak lama, bermula dengan pengemukaan permohonan oleh JKR Pulau Pinang kepada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Ibu Pejabat. Sebelum ianya dikemukakan kepada Ibu Pejabat JKR, semestinya cadangan ini perlu mendapat persetujuan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, maklumbalas daripada pihak Kerajaan Persekutuan kelak perlu kita teliti lanjut, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan implikasi kewangan seperti pampasan yang tinggi.

Nama Jalan

32. Berkenaan dengan cadangan Yang Berhormat Bukit Tambun untuk membuat pertukaran nama Jalan Besar Pekan Sungai Bakap di Nibong Tebal kepada Jalan Dr. Goh Cheng Teik, saya mencadangkan agar Yang Berhormat membuat permohonan secara bertulis kepada Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Pulau Pinang agar proses pertimbangan yang melibatkan stakeholders engagement dapat dijalankan.

Tebatan Banjir

Tuan yang Dipertua,

33. Isu banjir adalah antara masalah besar yang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang. Percayalah bahawa ia juga menjadi antara keutamaan besar Kerajaan Negeri. Ini dapat dilihat daripada komitmen kewangan yang diperuntukkan oleh Pentadbiran ini bagi tujuan projek tebatan banjir yang setakat ini berjumlah RM245,674,526.20 bagi 86 projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri Pulau Pinang. Ini terdiri daripada 68 projek yang dibiayai caruman perparitan negeri yang berjumlah RM233,224,526.20 dan 17 projek daripada peruntukan pembangunan negeri P08 iaitu sebanyak RM2,450,000.00 dan satu (1) projek MBPP bernilai RM10,000.00. Saya yakin tiada kerajaan negeri lain di negara ini yang memperuntukkan jumlah yang begitu besar bagi tujuan menangani banjir.

34. Tambahan kepada itu, sejak kemenangan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan pada tahun lepas, Pulau Pinang tidak lagi dianaktirikan dalam hal peruntukan bagi projek tebatan banjir. Projek seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang yang telah dipohon sejak hampir 20 tahun lalu kini telah diluluskan dan dimulakan. Malah, jumlah peruntukan yang telah diterima oleh Pulau Pinang bagi projek tebatan banjir sejak tahun lepas adalah sebanyak RM194,500,000.00, dengan pecahan RM150,000,000.00 untuk RTB Sungai Pinang, RM10,000,000.00 untuk RTB Teluk Kumbar, RM8,000,000.00 untuk RTB Teluk Bahang, RM10,000,000.00 untuk RTB Pondok Upeh dan yang terbaru RM16,500,000.00 untuk RTB Sungai Kechil.

Tuan Yang Dipertua,

35. Izinkan saya memberi maklumbalas kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang berhormat Bukit Tengah yang menyatakan bahawa muara Sungai Juru semakin cetek dan memerlukan pengorekan.

36. Kerajaan Negeri maklum dan prihatin mengenai banjir di kawasan Sungai Juru. JPS telah pun memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2019 untuk tujuan pemuliharaan Sungai Juru dengan nilai projek berjumlah RM500,000.00 dan pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan. Skop kerja yang akan dilaksanakan di bawah cadangan projek ini adalah melibatkan kerja-kerja mengorek dan mendalam muara dan sungai di Sungai Juru. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri juga tidak duduk diam malah telah mengambil usaha-usaha lain sementara kelulusan diperolehi, di mana sejumlah RM633,895.00 telah pun diluluskan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 sehingga 2019 bagi tujuan penyelenggaraan dan tebatan banjir melibatkan Sungai Juru. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM200,000.00 diluluskan untuk pelaksanaan dua (2) projek pada tahun 2019 melibatkan kerja-kerja mendalam dan membaiki Sungai Juru dan kerja-kerja mendalam dan membaiki sungai dan parit di Kuala Juru. Pada masa ini, kedua-dua projek tersebut sedang dalam proses penilaian sebutharga.

37. Yang Berhormat Bukit Tengah ada mengesyorkan agar satu unit khas ditubuhkan untuk memantau sungai-sungai di Pulau Pinang secara menyeluruh, dengan mewujudkan Integrated River Management Plan yang digunapakai untuk memahami punca-punca pencemaran sungai, kajian semula undang-undang sedia ada untuk mencegah pencemaran, penguatkuasaan yang lebih agresif dan menubuhkan unit khas bagi pemantauan pencemaran yang melibatkan semua agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

38. Sebagai makluman Yang Berhormat, Negeri Pulau Pinang mempunyai 168 sungai di 23 lembangan utama yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JPS. Pasukan Task Force di bawah Jawatankuasa Pasukan Khas Menangani Isu Pencemaran Sungai dan Laut di Pulau Pinang telah pun ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi memantau, merekodkan, mengenalpasti dan mengatasi punca-punca pencemaran sungai dan pantai selain berperanan untuk menggembleng kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan dalam menangani isu pencemaran sungai dan laut di Pulau Pinang secara bersepadu. Antara terma rujukan dan peranan utama jabatan dan agensi yang terlibat dalam Task Force ini adalah seperti berikut:

i. JPS merupakan urusetia bagi Task Force Pencemaran Sungai dan JPS juga bertanggungjawab ke atas pengurusan lembangan sungai serta mengenal pasti tindakan jangka pendek untuk memulihkan sungai yang tercemar. Sebagai contoh, tindakan yang telah diambil di Sungai Pinang adalah pembinaan Gross Polutant Trap (GPT), melaksanakan teknologi iQPR bagi peningkatan Water Quality Index (WQI) di Sungai Pinang dan melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai secara berkala. Manakala bagi tindakan jangka panjang, JPS akan merancang dan melaksanakan RTB secara penyelesaian menyeluruh (total solution) yang akan melibatkan skop kerja peningkatan kualiti air bagi sungai-sungai yang terlibat;

ii. JAS pula berperanan menjalankan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya ke atas punca-punca tetap seperti industri dan bengkel yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pencemaran sungai;

iii. PBT di bawah bidang kuasanya berperanan menjalankan penguatkuasaan kebersihan premis makanan secara bersepadu dan berjadual, penguatkuasaan pemasangan perangkap gris, program pemutihan semula punca pencemaran dan juga kempen kesedaran kepada orang awam; dan

iv. Pejabat Daerah dan Tanah berperanan dalam mengambil tindakan ke atas pencerobohan tanah rizab kerajaan, khususnya berhampiran kawasan sungai.

39. Task Force ini bermesyuarat sebanyak tiga (3) kali setahun dan berjaya melaksanakan penambahbaikan dalam meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan terhadap industri dan premis perniagaan seperti bengkel, gerai makanan dan pasar basah yang berlesen dan tidak berlesen, serta ladang-ladang ternakan haiwan yang mencemarkan perairan melalui pelepasan secara langsung dan tidak langsung ke sungai dan laut. Selain daripada itu, peningkatan penguatkuasaan ini juga telah meningkatkan kesedaran orang awam terhadap tanggungjawab bersama menjaga kebersihan sungai dan laut di Negeri ini. Di bawah Task Force ini, tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas di bawah bidang kuasa jabatan-jabatan yang terlibat dilaksanakan menerusi operasi bersepadu.

40. Selain itu, Jawatankuasa Ops Lumpur yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi telah ditubuhkan untuk melaksanakan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan pemajuan mematuhi garis-garis panduan yang dikeluarkan oleh JPS seperti berikut:
a. Manual Saliran Mesra Alam (MSMA);
b. Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP);
c. Garis panduan pembangunan berhadapan sungai; dan
d. Integrated Shoreline Management Plan (ISMP)

41. Merujuk cadangan Yang Berhormat agar satu Integrated River Management Plan diwujudkan, pihak JPS Malaysia telah melantik perunding untuk menjalankan kajian Integrated River Basin Management (IRBM) di Sungai Perai. Kajian ini meliputi Sungai Perai dan 17 anak sungai serta mempunyai keluasan 447.82 km2 dengan jumlah panjang 60.5 km. Kajian IRBM ini adalah untuk menyediakan satu pelan tindakan termasuk konsep rekabentuk dan akan menjadi panduan untuk membuat keputusan yang lebih bijak dalam melaksanakan pengurusan lembangan yang dicadangkan. Objektif utama IRBM ini adalah untuk memastikan kecukupan air, memastikan kualiti air yang bersih, mengurangkan banjir dan memulihara biodiversity kehidupan di lembangan Sungai Perai.

42. Seterusnya saya ingin beralih kepada kenyataan Yang Berhormat Seri Delima yang menyentuh mengenai infrastruktur longkang dan sistem perparitan yang lama dan perlu diperbaiki.

43. Untuk makluman Yang Berhormat, JPS bertanggungjawab untuk menguruskan sungai dan sebahagian parit monsun manakala sistem perparitan dalaman adalah di bawah bidang kuasa PBT atau JKR bergantung kepada lokasi. Semua agensi banyak melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan naiktaraf sepanjang tahun berdasarkan keperluan semasa. Tidak dinafikan terdapatnya kekangan peruntukan untuk menukar atau menaiktaraf semua sistem saliran yang lama. Walau bagaimanapun, cadangan dan permohonan setiap ADUN akan dipertimbangkan sewajarnya mengikut keutamaan dan keperluan untuk dilaksanakan menggunakan sumber peruntukan yang boleh digunapakai.

Tuan Yang Dipertua,

44. Yang Berhormat Sungai Dua ada memohon agar projek RTB yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan disegerakan memandangkan Kerajaan telah pun sama.

45. Sepertimana yang telah saya sebutkan awal tadi, Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan sememangnya prihatin terhadap masalah banjir yang dihadapi rakyat Pulau Pinang dan telah pun meluluskan hampir RM200 juta bagi projek-projek RTB di Negeri ini. Status semasa bagi projek-projek yang telah diluluskan ini adalah seperti berikut:

NO PROJEK STATUS SEMASA
1 RTB Sungai Pinang Rekabentuk terperinci dimulakan pada 1 Mac 2019. Inception Report disiapkan pada 10 April 2019 dan kini perunding dalam peringkat penyediaan Preliminary Report. Kerja ukur dimulakan pada 22 April 2019 dan kini dalam penyediaan pelan ukur kejuruteraan.
2 RTB Pondok Upeh / Sungai Burong Rekabentuk terperinci dalam peringkat memuktamadkan TOR.
3 RTB Teluk Kumbar Dalam penyediaan Surat Setuju Terima oleh pihak jabatan dan akan dikeluarkan setelah kelulusan perlanjutan sahlaku tender diperolehi. Permohonan sahlaku tender telah dikemukakan kepada KATS melalui surat bertarikh 1 Mac 2019.
4 RTB Teluk Bahang Rekabentuk terperinci dalam peringkat memuktamadkan TOR.
5 RTB Sungai Kechil Rekabentuk terperinci dalam peringkat memuktamadkan TOR.

46. Selain daripada projek-projek RTB yang telah diluluskan ini, JPS Pulau Pinang melalui JPS Malaysia pada masa ini sedang mengangkat permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-11 tahun 2020 bagi pelaksanaan Kajian Keberkesanan Penyelesaian Banjir Jangka Panjang Di Negeri Pulau Pinang Termasuk Daerah Kulim dan Bandar Baru di Negeri Kedah dengan anggaran RM10 Juta serta projek RTB Sungai Dua, Daerah Timur Laut dengan anggaran RM45 Juta.

47. Melalui pelbagai saluran, Kerajaan Negeri sentiasa menyusuli sokongan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan kelulusan kesemua projek RTB yang dimohon demi keselesaan dan keselamatan rakyat Pulau Pinang.

Tuan Yang Dipertua,

48. Yang Berhormat Sungai Dua juga ada membangkitkan isu kumbahan ternakan khinzir yang dilepaskan terus ke dalam sungai di Kampung Selamat.

49. Sebagai makluman, Kerajaan Negeri pada 18 hingga 21 April 2019 telah melaksanakan operasi bersepadu ke atas ladang khinzir di Kampung Selamat melibatkan Jabatan Veterinar Pulau Pinang, MPSP dan JAS. Sebanyak 48 ladang ternakan khinzir telah diperiksa daripada 75 ladang di Kampung Selamat. MPSP telah mengambil tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan di mana kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan pelepasan terus (direct discharge) kepada 17 ladang, kompaun bagi kesalahan membakar bangkai khinzir kepada 5 ladang, kompaun bagi kesalahan membakar najis khinzir kepada 2 ladang dan kompaun bagi kesalahan lesen tamat tempoh ke atas 12 ladang. Manakala notis kacau ganggu semak samun di kolam dikeluarkan kepada 2 ladang dan notis kacau ganggu longgokan najis kering kepada 3 ladang. Keseluruhannya 36 kompaun dan 5 notis telah dikeluarkan kepada penternak khinzir terbabit. Hasil pemantauan mendapati banyak kolam kumbahan tidak diselenggara dengan baik dan ada yang tidak menggunakan kolam kumbahan sedia ada. Kerosakan yang berlaku tidak diatasi dengan segera menyebabkan sistem kumbahan tidak berfungsi dengan baik dan akhirnya menyebabkan direct discharge. Khidmat nasihat telah diberikan kepada penternak agar memastikan sistem kumbahan berfungsi dengan baik. Pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan pematuhan pada masa hadapan. Tindakan penguatkuasaan juga akan diperluaskan lagi ke atas ladang-ladang lain.

50. Saya juga ingin memberi maklumbalas kepada cadangan Yang Berhormat Jawi agar Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian terhadap kawasan-kawasan di Jawi yang berada di bawah paras air laut dan juga permintaan maklumat berkenaan projek-projek yang dicadangkan untuk mengatasi banjir di kawasan berkenaan.

51. Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, antara projek yang telah dicadangkan untuk mengatasi masalah banjir di KADUN Jawi adalah projek menaiktaraf kapasiti pam di Rumah Pam Sanglang. Status semasa projek adalah di peringkat lantikan perunding bagi kajian rekabentuk terperinci yang akan dilaksanakan pada Mei 2019. Pelaksanaannya kelak akan menangani isu banjir di Kampung Sanglang, Taman Penting, Taman Veerapan, Taman Helang Jaya, Kampung Che Aminah, Taman Bukit Panchor, Taman Panchor Indah, Taman Seri Bayu, Taman Panchor Mutiara, Taman Seri Permai dan Taman Desa Permai.

52. Selain daripada itu, telah diluluskan juga kerja menaiktaraf bekalan kuasa untuk Rumah Pam Bagan Buaya di mana status semasa projek adalah proses permohonan kepada pihak TNB bagi meningkatkan bekalan kuasa daripada sistem diesel kepada bekalan kuasa elektrik. Setelah siap dilaksanakan ianya dapat memberi manfaat dalam menangani masalah banjir di kawasan Taman Cenderawasih, Taman Desa Jawi, Flat Desa Jawi dan IKS Nibong Tebal.

Tuan Yang Dipertua,

53. Yang Berhormat Jawi juga mengajukan soalan sama ada kerja-kerja mendalamkan Sungai Jejawi telah dijalankan serta perincian kedalaman sungai sekiranya telah dilaksanakan.

54. Untuk makluman Yang Berhormat, kerja-kerja mendalamkan Sungai Jejawi telah dilaksanakan pada 5 Januari 2018 dan siap sepenuhnya pada 5 Mac 2018. Kerja korekan telah dilaksanakan sepanjang 3 km dan Sungai Jejawi telah pun didalamkan kepada 1.5 hingga 2.0 meter. Bagi makluman Yang Berhormat, kerja pengorekan seterusnya dijadualkan untuk dilakukan pada tahun 2020.

55. Yang Berhormat Jawi selanjutnya telah membawa isu mengenai Sungai Tengah yang semakin cetek dan menyukarkan bagi sampan atau perahu nelayan untuk melalui sungai ini.

56. Untuk maklumat Yang Berhormat, perkara ini telah diteliti dan akan ada perancangan untuk kerja-kerja mendalamkan Sungai Tengah. Pihak JPS telah menyenaraikan projek ini sebagai salah satu projek yang akan dimohon oleh JPS Daerah SPS bagi kerja-kerja kecemasan mengatasi masalah banjir di Daerah Seberang Perai Selatan. Permohonan akan dipohon melalui Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir yang dijadualkan akan bermesyuarat kali kedua untuk tahun ini pada 21 Mei 2019.

57. Yang Berhormat Jawi ada juga membangkitkan tentang cadangan untuk membina rumah pam dan membuat kerja naik taraf di Taman Penting yang masih belum mempunyai sebarang maklumbalas sejak 9 November 2018.

58. Sebagai makluman Yang Berhormat, MPSP telah menyiapkan kertas kerja bagi mengatasi masalah banjir di Taman Penting dan kawasan sekitarnya setelah selsai kajian dan penelitian. Kertas kerja ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir yang dijadualkan bermesyuarat pada 21 Mei 2019.

Tuan Yang Dipertua,

59. Seterusnya beralih kepada Yang Berhormat Batu Uban yang telah menyuarakan hasrat agar kerja-kerja tebatan banjir di kawasan Minden Heights dan Bukit Gambir dapat dipercepatkan.

60. Bagi makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui JPS, JKR dan MBPP telah mengenal pasti punca kejadian banjir kilat di Taman Sunway Bukit Gambir dan Halaman Sentosa Minden Heights. Bagi Taman Sunway, profil topografi hulu Sungai Dua di tapak USM adalah berbukit berbanding kawasan Taman Sunway yang tanah rata menjadi faktor penyebab berlakunya banjir kilat apabila parit JKR yang sedia ada tidak dapat menampung kapasiti. Sekiranya hujan lebat berlaku di atas kawasan bukit, air permukaan akan mengalir dengan pantas ke kawasan taman tersebut dan akan bertakung dan melimpah seterusnya menyebabkan banjir. Selain daripada itu, profil berbukit di Bukit Gambir mendatangkan risiko hakisan dan mendapan yang menyebabkan pasir dan kelodak akan termendap di dalam sistem perparitan taman. Ini menyebabkan paras perparitan menjadi semakin cetek sehingga keupayaan parit sedia ada tidak dapat menampung kapasiti air larian permukaan dan berlaku limpahan air serta banjir kilat, khususnya sewaktu hujan lebat. Bagi mengatasi masalah banjir di Taman Sunway Bukit Gambir, JPS Daerah Timur Laut dalam perancangan untuk melencongkan aliran air dari upstream terus ke Sungai Dua dengan pembinaan parit baharu tanpa melalui parit dalaman JKR. Pada masa ini pihak JPS dalam proses penyediaan pelan ukur (survey plan) untuk tujuan permohonan kelulusan penggunaan tanah kawasan lapang daripada Pihak Berkuasa Negeri dan lapangan sasar (shooting range) daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Manakala bagi mengatasi masalah parit yang rosak di kawasan tersebut, pihak JKR telah merancang kerja-kerja pembaikan dalam program yang telah diluluskan pada tahun ini dan dijangka akan dilaksanakan pada bulan Julai 2019. Bagi Halaman Sentosa Minden Heights pula, banjir berlaku kerana kawasan tersebut berbentuk lembah dan secara semula jadi akan menjadi pusat takungan air. JKR akan diminta untuk membuat kajian bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Tuan Yang Dipertua,

61. Saya mengambil perhatian ke atas perbahasan Yang Berhormat Batu Lanchang dan khususnya Yang Berhormat Sungai Pinang yang sungguh menyayat hati. Banjir sememangnya menyebabkan kesan yang besar ke atas kehidupan orang ramai. Rintihan rakyat tidak boleh diambil ringan dan Kerajaan Negeri memang komited untuk membawa penyelesaian dan bukannya memudaratkan lagi mana-mana keadaan melalui projek tebatan banjir. Justeru, saya ingin memberi sedikit pencerahan mengenai isu banjir yang kian berlaku di kawasan Jelutong.

62. Sungai Jelutong merupakan cabang kepada Sungai Pinang dan pada asalnya akan membawa keseluruhan beban air dari hulu kawasan Jelutong ke Sungai Pinang sebelum mengalir ke laut melalui muara Sungai Pinang. Pada tahun 1970an, bagi mengurangkan beban Sungai Pinang, Majlis Perbandaran pada ketika itu telah membina pintasan bawah tanah yang dikenali sebagai Sungai Jelutong Underground Diversion dengan tujuan untuk melencongkan sebanyak 60 peratus aliran air dari hulu lembangan Sungai Jelutong terus ke laut. Dengan adanya Sungai Jelutong Underground Diversion ini, maka beban ke atas Sungai Pinang telah berkurangan.

63. Hari ini, oleh kerana pembetung kekotak yang dibina hampir 50 tahun dahulu sudah pun menemui jangka hayatnya, maka ia perlu diperkukuhkan bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan selamat di masa hadapan. Inilah objektif projek penaiktarafan yang sedang dilaksanakan. Sekiranya pembetung ini tidak diperkukuhkan, maka ia mampu membawa bencana yang serius ke kawasan sekitar apabila strukturnya yang sudah uzur tidak dapat lagi menahan beban dan runtuh.

64. Untuk makluman, kejadian banjir yang sering berlaku di kawasan Jelutong pada waktu ini adalah disebabkan pelbagai faktor termasuk gangguan aliran air di kedua-dua cabang aliran keluar Sungai Jelutong, iaitu di aliran masuk Sungai Jelutong Underground Diversion serta di aliran keluar Sungai Jelutong Asal ke Sungai Pinang.

65. Oleh kerana kerja-kerja penaiktarafan Sungai Jelutong Underground Diversion terpaksa dilakukan di bawah tanah, ditambah lagi dengan kekurangan kawasan kerja serta faktor keselamatan pekerja yang melakukan kerja di bawah tanah, maka aliran air perlu dikawal dan disalurkan secara terkawal. Perkara ini merupakan kekangan besar yang terpaksa dihadapi sewaktu pembinaan projek.

66. Bagi saliran air yang keluar melalui Sungai Jelutong Asal, aliran air turut terhalang akibat pembangunan yang pesat di kawasan sekitar yang telah mengecilkan kelebaran asal sungai tersebut. Selain itu, pembinaan struktur-struktur secara tidak sah di atas laluan Sungai Jelutong ini juga mewujudkan halangan atau bottleneck sehingga kerja-kerja penyelenggaraan sukar dilaksanakan secara berkesan. Perkara ini mengakibatkan 40 peratus aliran air yang sepatutnya disalirkan ke Sungai Pinang tidak dapat mengalir dengan lancar. Sebaliknya, telah berlaku backflow yang menolak air balik ke Sungai Jelutong Underground Diversion.

67. Dalam erti kata lain, saliran Sungai Jelutong Underground Diversion kini terpaksa menampung hampir 100 peratus aliran air dari lembangan Sungai Jelutong. Inilah antara penyebab banjir di kawasan Jelutong sementara magnitud banjir di lokasi hotspot seperti Jalan P. Ramlee telah berkurangan berbanding dahulu. Kita tidak dapat mengelak daripada prinsip asas hidrodinamik – sekiranya air tidak dapat mengalir ke sesuatu kawasan ia akan mencari jalan ke kawasan lain.

68. Walau bagaimanapun, ini bukanlah alasan untuk mengelak kebertanggungjawaban mana-mana pihak. Penjelasan ini adalah agar kita semua dapat memahami keadaan yang sedang berlaku. Adalah perlu ditekankan bahawa projek penaiktarafan Sungai Jelutong Underground Diversion ini amat penting bagi memastikan kelestarian dan keselamatan struktur bagi jangka masa panjang. Pada masa yang sama, pihak JPS sedang berusaha dengan sedaya upaya untuk menyelesaikan permasalahan banjir di kawasan Jelutong agar tidak berlarutan.

69. Antara langkah-langkah jangka masa pendek bagi mengurangkan magnitud dan kekerapan banjir adalah seperti berikut:

i. Bagi meminimumkan masalah banjir akibat projek ini, pemasangan TCG ataupun tidal control gate di Jalan Tengku telah digunakan untuk menggantikan gabion weir yang dipakai sebelum ini.

ii. Bagi mengurangkan kekerapan banjir di Solok Van Praagh dan Jalan Sir Ibrahim, pihak Kerajaan Negeri telah meminta pihak Pemaju SP Setia untuk merekabentuk kolam takungan di kawasan pemajuannya.

iii. Bagi banjir di Kampung Pokok Assam pula, pemasangan poker pump oleh pihak kontraktor serta mobile pump kepunyaan JPS di pertemuan Jalan Tengku dan Solok Tengku akan membantu untuk mengeluarkan air dari kawasan tersebut ke muara Sungai Pinang. Malangnya, tempoh hari berlaku pencurian bateri pam JPS menyebabkannya tidak dapat berfungsi sewaktu hujan lebat. Pada masa yang, perlu diingati bahawa penempatan Kampung Pokok Assam ini adalah kawasan beraras rendah dan dikelilingi banyak pembangunan yang besar. Tambahan pula, aliran keluar air dari kawasan ini juga akan terkekang dengan faktor pasang surut.

iv. Bagi isu kekerapan banjir di Kampung Madrasah pula, antara faktornya adalah sistem saliran dalaman kampung yang tidak sistematik dan dibelenggu isu sampah. Tempoh hari juga berlaku kegagalan pam di kampung tersebut apabila sampah tersangkut. Walaupun memang terdapat faktor backflow dan kekangan daripada projek Sungai Jelutong Underground Diversion yang turut memudaratkan keadaan banjir di kawasan ini, kampung ini juga beraras rendah dan sememangnya kawasan mudah banjir.

70. Tambahan kepada isu-isu di atas, terdapat satu lagi faktor utama yang menyebabkan banjir khususnya di kawasan Bukit Dumbar, Kampung Madrasah dan Kampung Pokok Assam, iaitu projek terbengkalai oleh pemaju JKP. Oleh kerana projek perumahan JKP tidak disiapkan, maka sistem saliran air yang sepatutnya mengalir ke pembetung S24 tidak dapat dihubungkan. Ini mengakibatkan backflow yang mengalirkan air secara langsung ke longkang monsun sehingga ke pertemuan Sungai Jelutong Underground Diversion. Air tambahan dari kawasan Bukit Dumbar ini sudah tentu membebankan lagi kawasan Kampung Madrasah dan Kampung Pokok Assam.

71. Projek penaiktarafan Sungai Jelutong Underground Diversion akan siap menjelang Oktober 2019. Dengan penyiapan projek ini, maka aliran air yang melalui pintasan bawah tanah ini tidak lagi akan terganggu dan seterusnya mempercepatkan lagi aliran keluar air dari kawasan Jelutong. Pun begitu, sebagai langkah jangka masa sederhana dan panjang, JPS juga akan membina satu pembetung lencongan berserta rumah pam di kawasan Solok Tengku bagi melancarkan lagi aliran keluar air dari kawasan Pokok Assam dan Kampung Madrasah.

72. Tambahan juga, permasalahan banjir di seluruh kawasan Jelutong akan ditangani melalui pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang yang akan merangkumi kerja-kerja rehabilitasi kawasan Sungai Jelutong Asal.

Tuan Yang Dipertua,

73. Yang Berhormat Sungai Pinang juga telah membangkitkan persoalan sama ada pampasan boleh diberikan kepada mangsa yang ditimpa bencana banjir berulang kali di Kampung Pokok Assam.

74. Untuk makluman Yang Berhormat, berkenaan tuntutan pampasan kepada mangsa banjir yang telah dikemukakan melalui Pejabat Ahli Parlimen Jelutong, Kerajaan Negeri melalui JPS telah mengarahkan pihak kontraktor menyemak insurans projek untuk melihat sekiranya pampasan boleh diberikan oleh kontraktor yang terlibat kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan. Pada masa ini siasatan sedang dijalankan oleh pihak adjustor insurans.

75. Yang Berhormat Sungai Pinang juga telah membangkitkan soalan sama ada Kerajaan Negeri boleh mempercepatkan pelaksanaan program jangka masa panjang bagi menangani pencemaran sungai di Sungai Pinang.

76. Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program jangka masa pendek menggunakan sumber peruntukan yang diluluskan sementara pelaksanaan program jangka masa panjang akan dilaksanakan di peringkat persekutuan. Dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan program jangka masa panjang oleh Kerajaan Persekutuan, saya sendiri telah mengadakan perjumpaan bersama Menteri Kewangan pada 11 Jun 2018 untuk menyegerakan projek RTB Sungai Pinang. Untuk makluman, JPS Malaysia telah melantik perunding pada 31 Mac 2019 bagi membuat kajian rekabentuk terperinci dan pembinaan projek bagi penyelesaian jangka masa panjang ini dijangka akan mula dijalankan menjelang akhir tahun 2020.

Tuan Yang Dipertua,

77. Seterusnya Yang Berhormat Pantai Jerejak menyuarakan kerisauan berkenaan pelaksanaan projek tebatan banjir di Bayan Baru yang dikhuatiri akan tergendala pelaksanaannya disebabkan oleh utiliti-utiliti yang berada di kawasan tersebut.

78. Sebagai makluman Yang Berhormat, bagi menghadapi kemungkinan permasalahan ini, JPS kini sedang dalam tindakan mengkaji semula pengurangan skop kerja di sepanjang jajaran internal drainage di sepanjang Jalan Mahsuri, Jalan Mayang Pasir, Jalan Mayang Pasir 2, Lintang Mayang Pasir 3 dan Jalan Tengah terutamanya yang melibatkan syarikat dan agensi utiliti. Di samping itu penyediaan utility mapping terkini juga telah diedarkan kepada semua syarikat dan agensi utiliti yang terlibat untuk tindakan awalan selanjutnya bagi proses pengalihan utiliti berdasarkan kepada cadangan pengurangan skop tersebut.

Pembetungan

Tuan Yang Dipertua,

79. Seterusnya, Yang Berhormat Pulau Jerejak ada membangkitkan isu berkaitan kelewatan pelaksanaan projek menaiktaraf rangkaian paip pembetungan dan loji kumbahan Bayan Baru yang mengalami banyak kelewatan dan menyebabkan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk. Yang Berhormat memohon kawalselia projek oleh JKR.

80. Bagi makluman Yang Berhormat, pemantauan ke atas projek ini adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor yang telah dipertanggungjawabkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) di peringkat Kerajaan Persekutuan dan tidak melibatkan JKR. Pun begitu, Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk memanjangkan perkara ini kepada JPP agar mengambil tindakan sewajarnya dalam mengatasi segala isu yang berbangkit akibat kelewatan pelaksanaan projek ini.

Bekalan Air

Tuan Yang Dipertua,

81. Seterusnya, merujuk isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penanti, iaitu terdapat empat (4) projek penggantian paip lama yang telah siap dilaksanakan di KADUN Penanti bermula pada tahun 2013 hingga 2018 oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Projek-projek tersebut ialah:

i. Penggantian sesalur bergaris pusat 100mm AC (asbestos cement) dan 150mm UPVC (unplasticised polyvinyl chloride) kepada 150mm besi mulur dan 180mm HDPE (high-density polyethlyene) di Jalan Guar Terus, Seberang Perai Tengah;

ii. Penggantian sesalur bergarispusat 100mm UPVC kepada 180mm HDPE di Lebuh Banting, Seberang Perai Tengah;

iii. Penggantian sesalur bergarispusat 100mm AC kepada paip bergarispusat 125mm HDPE di Lot 159, Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah; dan

iv. Penggantian paip air 100mm AC kepada 150mm DI (ductile iron) di Kampung Kubang Semang, Seberang Perai Tengah.

82. Selain daripada itu, terdapat tiga (3) projek dalam perancangan bagi kerja-kerja penggantian paip lama yang akan dilaksanakan di KADUN Penanti untuk tahun 2019 hingga 2023 oleh PBAPP. Projek-projek tersebut ialah:

i. Penggantian paip air bergarispusat 100mm AC kepada 150mm D.I Kampung Tanah Liat (Abdul Rahman Kopi) Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah;

ii. Penggantian paip air bergarispusat DN (nominal diameter) 150mm Simen Asbestos kepada DN 150mm besi mulur di Simpang Tiga Kubang Ulu Seberang Perai Tengah (260mm); dan

iii. Penggantian paip bergarispusat 100mm AC kepada 150mm DI di Kampung Mengkuang Titi, Seberai Perai Tengah.

Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan Yang Dipertua,

83. Selaras dengan visi Penang 2030: A Family-focused, Green and Smart State to Inspire the Nation, pelaksanaan sesebuah bandar pintar sememangnya perlu didokong dengan infrastruktur yang menyeluruh terutamanya infrastruktur telekomunikasi. Ini adalah penting bagi memudahkan capaian internet oleh setiap penduduk di Negeri ini dalam memastikan seamless network connectivity antara sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

84. Pengukuhan liputan telekomunikasi ini dapat menambah baik pelaksanaan kerajaan elektronik atau e-government yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat. Sebagai contoh, Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi akan melaksanakan sistem letak kereta secara pintar menerusi aplikasi pintar Penang Smart Parking. Kemudahan infrastruktur yang mencukupi terutamanya penyediaan media transmisi adalah penting untuk mengukuhkan liputan telekomunikasi seterusnya memastikan aplikasi pintar ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat di seluruh negeri Pulau Pinang.

Tuan Yang Dipertua,

85. Berdasarkan statistik liputan komunikasi yang terkini daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Malaysia (MCMC) Wilayah Utara, kadar penembusan jalur lebar bagi Negeri Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 138.9 peratus, iaitu melebihi kadar nasional iaitu sebanyak 121.1 peratus. Bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula, Pulau Pinang telah mencatatkan 11.8 peratus juga melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 8.0 peratus. Walaupun laporan prestasi ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan namun Kerajaan Negeri ingin meningkatkan kadar penembusan dengan lebih luas dan cepat lagi.

Tuan Yang Di Pertua,

86. Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diumumkan oleh Menteri Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia adalah satu strategi Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan liputan jalur lebar dan fiber optik secara keseluruhan selain memacu Malaysia ke arah matlamat melaksanakan teknologi 5G. Sehubungan itu, adalah penting untuk Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan NFCP ini terutamanya dalam penyediaan infrastruktur yang mendokong teknologi 5G.

87. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya amat menggalakkan pemasangan fiber optik menggantikan rangkaian kuprum oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi agar lebih ramai rakyat Pulau Pinang dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi. Untuk itu, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan syarikat penyedia jalur lebar utama negara sedang berusaha untuk memastikan negeri Pulau Pinang dapat mencapai 100 peratus liputan fiber melalui projek Gigabit City dan beberapa projek lain yang dalam perancangan.

88. Berdasarkan data terkini daripada pihak PDC Telecommunications and Services Sdn. Bhd. (PDCTS) melalui pemetaan liputan fiber secara digital oleh Sistem Maklumat Geografi Pulau Pinang (PEGIS), kini 50 peratus kawasan di seluruh Negeri Pulau Pinang telah diliputi jajaran fiber sepanjang 3,226 km dengan 600 km daripadanya di jalan-jalan utama negeri. Ini bermakna, 80 peratus jalan-jalan utama telah diliputi fiber.

89. Saya ingin menjawab pandangan Yang Berhormat Machang Bubok bahawa senarai akses rangkaian fiber yang diberikan dalam jawapan bertulis tidak begitu tepat kerana ada sesetengah taman yang tersenarai tetapi tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi.

90. Untuk makluman Yang Berhormat Machang Bubok, senarai taman yang telah diberikan adalah taman yang terlibat dengan jajaran fiberisasi dan disahkan oleh Unit PEGIS, namun perkhidmatan internet berkelajuan tinggi iaitu Unifi masih belum ada sepenuhnya di kawasan taman tersebut kerana perkhidmatan Unifi hanya akan dipasang sekiranya terdapat permintaan yang mencukupi daripada pelanggan setempat. Dalam erti kata lain, jajaran fiber itu memang sudah dipasang, cuma ada sesetengah kawasan belum diaktifkan lagi. Berdasarkan data terkini pemasangan port Unifi yang diperolehi daripada pihak TM, kadar utilisasi perkhidmatan jalur lebar berdasarkan pemasangan sebanyak 5,224 buah port Unifi di kawasan Machang Bubok, hanya 31 peratus atau 1,645 port sahaja yang telah digunakan. Pihak TM komited untuk memasang lagi tambahan port di mana-mana taman di seluruh kawasan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat permintaan yang mencukupi daripada para pelanggan.

91. Selain daripada perkhidmatan jalur lebar sebagai pemangkin media telekomunikasi, perkhidmatan WiFi juga merupakan salah satu medium penting yang dapat mengukuhkan jaringan telekomunikasi rakyat Pulau Pinang. Sebagaimana yang semua sedia maklum, perkhidmatan Penang Free WiFi (PFW) pada masa kini telah diberhentikan buat sementara waktu pada 13 Februari 2019 yang lalu kerana mempunyai beberapa kekangan seperti bandwidth dan liputan yang perlu dinaiktaraf. Sehubungan dengan itu, bagi menambah baik perkhidmatan WiFi percuma, Kerajaan Negeri sedang meneliti semula perkhidmatan ini melalui penawaran secara Request for Proposal (RFP) yang bermula pada suku pertama tahun 2019 agar kesinambungan perkhidmatan ini memberikan impak yang lebih tinggi dan berkualiti kepada rakyat dengan implikasi kos yang lebih rendah kepada Kerajaan Negeri.

Penutup

Tuan Yang Dipertua,

92. Adalah menjadi impian agar Negeri Pulau Pinang membangun maju dengan infrastruktur yang efisyen dan lestari bagi keselesaan rakyat. Justeru Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dengan gigih melalui pelbagai platform untuk memastikan Negeri Pulau Pinang memiliki infrastruktur terbaik selaras dengan visi Penang 2030 bagi menyediakan kehidupan yang berdaya huni kepada rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan sebarang perancangan projek infrastruktur. Semoga dengan kerjasama yang erat di antara semua pihak, Negeri Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

93. Sekian, terima kasih.

NB: This speech was delivered on 2 May 2019 in the Penang State Assembly.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc