Penggulungan Perbahasan Ucapan TYT Yang Di-Pertua Negeri 2018

1. Pertamanya, saya ingin merakamkan rasa kesyukuran kerana berpeluang untuk menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan yang mulia ini. Sebagai Ahli Dewan Rakyat pada penggal yang lalu, saya hanya berpeluang untuk membahas dan mengajukan soalan tetapi kini di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang saya dipertanggungjawabkan untuk menjawab bagi pihak pentadbiran.

2. Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan Usul Ucapan Terima Kasih Kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, khususnya yang berkaitan dengan perkara-perkara di bawah portfolio kerja raya, utiliti dan tebatan banjir.

3. Ramai yang telah membangkitkan hujah-hujah menarik dan pastinya pentadbiran ini akan memberi perhatian ke atas apa-apa cadangan yang mampu membawa kepada kemaslahatan rakyat Pulau Pinang secara amnya.

Peluang Keemasan Pulau Pinang

Tuan yang dipertua,

4. Setelah 10 tahun mentadbir sebagai “kerajaan pembangkang” – bak kata TYT Tun semasa ucapannya sempena istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri tempoh hari – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini mempunyai peluang keemasan untuk merealisasikan pembangunan infrastruktur dengan rancak sekali.

5. Sekiranya dahulu banyak projek infrastruktur yang dirancang tidak dapat dizahirkan atau dihalang atas kepentingan politik semata-mata, baik projek pengangkutan awam mahupun projek tebatan banjir, kini saya yakin kita boleh mengharapkan kerjasama yang baik daripada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang baru.

6. Sesungguhnya, keadaan semasa infrastruktur di negeri Pulau Pinang secara relatifnya masih keterbelakang dan tidak selari dengan status negeri ini sebagai bandar sekunder yang paling utama selepas Kuala Lumpur. Pulau Pinang bermatlamat untuk menjadi Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa, namun sasaran ini tidak mungkin dicapai sekiranya infrastruktur kita tidak lengkap ataupun “underdeveloped, khususnya di bahagian pulau yang sudah lama tidak diendahkan.

7. Tidak seperti Seberang Perai yang mempunyai infrastruktur dan hierarki jalan yang lebih teratur dengan Lebuhraya Utara-Selatan sebagai tunjang belakang, di bahagian pulau kita tidak mempunyai infrastruktur yang begitu lengkap akibat kekurangan tanah dan kekangan-kekangan lain. Lebuhraya yang ada hanya Lebuhraya Tun Lim Chong Eu yang sepertimana dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri tempoh hari bukanlah dedicated highway malah mempunyai pelbagai persimpangan yang menghalang kelancaran aliran lalulintas.

8. Justeru, pentadbiran ini komited untuk melaksanakan penaiktarafan infrastruktur di seluruh negeri Pulau Pinang bagi manfaat rakyat. Selain daripada projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), serta tiga jalan utama dan terowong bawah dasar laut, banyak lagi projek pembinaan infrastruktur yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Kerja Raya

Tuan yang dipertua,

9. Sukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini Kerajaan Negeri giat meneruskan pelaksanaan empat belas (14) projek pembinaan dan menaiktaraf jalan yang telah diperincikan dalam Bajet 2018 dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM12,448,738.17 di mana satu (1) projek telah pun siap pembinaan, tiga (3) projek lagi dalam peringkat pembinaan, lapan (8) projek dalam peringkat rekabentuk dan kerja awalan, satu (1) projek tertangguh dan satu (1) projek token. Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur yang mampan di negeri ini. Sehubungan dengan itu, setiap projek infrastruktur dirangka dengan teliti berdasarkan kepada keperluan semasa dan peruntukan yang tersedia.

10. Izinkan saya merujuk kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Uban berkaitan tindakan Kerajaan Negeri untuk memantau penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan yang kurang memuaskan oleh konsesi yang dilantik pihak Persekutuan, seperti di Jalan Sultan Azlan Shah dan juga jalan-jalan persekutuan lain.

11. Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui pihak JKR Pulau Pinang telah mengenalpasti beberapa kekurangan dan isu setempat yang melibatkan skop kerja di bawah syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan yang telah dilantik oleh Kementerian Kerja Raya. Pihak JKR Pulau Pinang kini dalam cadangan untuk meningkatkan kekerapan jadual penyelenggaraan jalan oleh pihak konsesi dari dua (2) kali setahun kepada empat (4) kali setahun, bergantung kepada isu dan juga aduan pengguna, khususnya yang melibatkan kerja-kerja pembersihan di jalan persekutuan. Tambahan kepada itu, audit bulanan juga dilaksanakan oleh pihak JKR dan jika berlaku apa-apa ketidakpatuhan oleh pihak konsesi, maka pihak JKR boleh membuat potongan bayaran ke atas mereka.

12. Di samping itu, suka saya maklumkan sekali lagi, Kerajaan Negeri kini sedang meneliti cadangan untuk mewartakan semula jalan-jalan persekutuan di bahagian pulau kepada jalan-jalan negeri agar penyelenggaraannya lebih mudah dipantau di bawah Kerajaan Negeri. Bagi makluman Yang Berhormat, jumlah jalan persekutuan di bahagian pulau adalah sebanyak 103.93 km, namun jalan mana yang akan terlibat dalam cadangan pewartaan semula itu sedang dikenalpasti dan akan dikaji keperluan keseluruhannya mengikut kemampuan Pihak Berkuasa Jalan di peringkat Kerajaan Negeri.

Tuan yang dipertua,

13. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penanti, iaitu sama ada Kerajaan Negeri boleh memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan agar peruntukan penyelenggaraan infrastruktur asas dapat dipertingkatkan bagi penyelenggaraan longkang, jalan, lampu jalan dan pili bomba.

14. Bagi makluman Yang Berhormat, keperluan peruntukan penyelenggaraan infrastruktur asas adalah berdasarkan kepada isu dan aduan semasa penduduk. Pihak Berkuasa Jalan yakni JKR Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memaklumkan keperluan peruntukan semasa dan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan melibatkan longkang, jalan dan lampu jalan kepada pihak Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang (JKN) untuk dipohon kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan di bawah peruntukan MARRIS. Manakala penyelenggaraan pili bomba pula adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana penyelenggaraannya dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa yang dikenalpasti melalui pemeriksaan tahunan dan aduan-aduan dari semasa ke semasa.

Tuan yang dipertua,

15. Saya ingin memberi maklumbalas kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bertam yang menyuarakan permohonan penduduk agar projek pelebaran jalan di Kampung Datuk, Kepala Batas dari dua (2) lorong ke empat (4) lorong dikaji semula kerana pelaksanaannya akan mengakibatkan banjir, serta isu pampasan nilai tanah yang tidak memadai untuk mendapatkan tanah baru.

16. Pada dasarnya, sebelum sesuatu projek penaiktarafan jalan dilaksanakan, pihak JKR akan membuat kerja ukur melibatkan data banjir dan pembesaran longkang jalan bagi menampung air hujan yang turut mengambilkira luas permukaan jalan baru yang akan dibina. Setakat ini pasukan projek ini tidak menerima sebarang bantahan atau aduan rasmi berkaitan banjir. Namun, sememangnya terdapat isu dibangkitkan penduduk yang tidak berpuas hati dengan ura-ura bayaran pampasan tanah yang rendah, sedangkan pengambilan tanah belum dibicarakan lagi dan kini masih di peringkat semakan Penasihat Undang-Undang di Kementerian Kerja Raya.

17. Namun begitu, saya telah menerima petisyen daripada penduduk Kampung Datuk dan mengambil maklum akan kandungannya. Saya juga telah memanjangkan kekhuatiran penduduk kepada Kementerian Kerja Raya bagi dibincangkan dalam mesyuarat Contract Coordination Panel (CCP) berkenaan projek ini yang telah diadakan pada 8 Ogos 2018. Buat masa ini, kemajuan kerja di tapak belum mencapai 15% dan hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan tapak di tanah milik Kerajaan sahaja, jadi masih belum terlambat untuk mengambil apa-apa tindakan. Sekiranya pelaksanaannya mendatangkan kesan yang memudaratkan, saya percaya bahawa projek ini akan dikaji semula.

Tuan yang dipertua,

18. Saya juga memerhati bahawa Yang Berhormat Air Itam telah membangkitkan isu berkenaan ejaan kawasan beliau, di mana ‘Air Itam’ mempunyai beberapa ejaan yang berlainan.

19. Sebagai pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi Pulau Pinang yang turut dianggotai Yang Berhormat Komtar, Bagan Dalam dan Pulau Tikus, saya telah memulakan proses pembetulan nama-nama jalan. Contohnya, saya telah meluluskan penamaan semula Lorong Kuching di Pulau Tikus yang telah dieja sebagai haiwan kucing. Sebenarnya, jalan itu mendapat namanya daripada ibukota Sarawak dan bukannya binatang. Pada masa yang sama, Jalan Muntri juga akan ditukar menjadi Lebuh Muntri kerana nama asalnya adalah Muntri Street dan bukan Muntri Road.

20. Masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ini sebenarnya berpunca daripada pertukaran ejaan yang dibuat ekoran pembakuan atau penyeragaman bahasa Melayu yang dimulakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1972. Ejaan lama bagi “air” adalah “ayer”, sepertimana Jalan Ayer Rajah yang sudah ditukar nama menjadi Jalan Tunku Abdul Rahman. Ejaan “itam” pula adalah berdasarkan pertuturan bahasa basahan (colloquial speech) di mana ramai yang menyebut hitam sebagai “itam”.

21. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat bahawa adalah afdal sekiranya ejaan nama kawasan itu diseragamkan. Justeru, setelah menyemak dengan PEGIS, didapati bahawa nama pekan atau bandar yang diwartakan di bawah Kanun Tanah Negara adalah “Ayer Itam”. Maksudnya, ejaan inilah yang akan dipaparkan dalam suratikatan geran tanah (land title deed).

22. Oleh itu, cadangan saya adalah untuk menggunakan ejaan “Ayer Itam” sebagai ejaan yang betul bagi semua nama jalan dan papan tanda. Justeru, saya menyarankan agar Yang Berhormat membuat rundingan awam dengan penduduk kawasan terlebih dahulu dan sekiranya mendapat persetujuan bolehlah mengemukakan cadangan kepada pejabat saya.

Empangan Mengkuang

Tuan yang dipertua,

23. Seterusnya, izinkan saya menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penanti berhubung Empangan Mengkuang. Kerajaan Negeri mengambil maklum berhubung keperluan melaksanakan “User Requirements” bagi projek-projek pembangunan Negeri pada masa akan datang. Adapun penetapan “User Requirements” perlu dimasukkan dalam penyediaan Dokumen Tender pada peringkat awal projek bagi menyatakan keperluan pelanggan dan pengguna ke atas sesuatu projek. Walau bagaimanapun, bagi projek Pembesaran Empangan Mengkuang, pelaksanaan dan pemantauan projek ini dari peringkat awal sehingga projek siap adalah sepenuhnya di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang kini dikenali sebagai Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

24. Bagi makluman Yang Berhormat, kerja-kerja projek Pembesaran Empangan Mengkuang telah bermula pada 01 Ogos 2011 dan dijadualkan siap pada 31 Julai 2016. Walau bagaimanapun, tarikh siap sebenar projek ini adalah pada 10 April 2017 dengan Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) yang akan berakhir pada 16 November 2019. Oleh itu, segala kecacatan yang berlaku dalam tempoh ini, termasuk cerun-cerun yang bermasalah, kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja pembaikan lain di dalam kawasan Empangan Mengkuang yang terletak di bawah tanggungjawab Kementerian telah diambil maklum oleh pihaknya dan sedang dalam tindakan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

25. Dalam erti kata lain, kelewatan penyerahan Empangan Mengkuang bukanlah disebabkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Saya percaya Yang Berhormat pun setuju bahawa adalah amat tidak bertanggungjawab sekiranya Kerajaan Negeri menerima penyerahan projek yang masih tidak sempurna. Sepertimana Yang Berhormat maklum, terdapat kecacatan pada struktur “Draw Off Tower” di Rumah Pam Mak Sulong yang akan menjejaskan pengepaman air ke Empangan Mengkuang. Oleh itu, sehingga masalah ini diperbetulkan, Kerajaan Negeri tidak boleh menerimanya.

26. Walau bagaimanapun, perbincangan telah pun diadakan antara Kerajaan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) serta pihak Kementerian dan sukacita saya maklum bahawa pihak Kementerian telah pun bersetuju untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan termasuk pembaikan Rumah Pam Mak Sulong dan seterusnya menjalankan “testing” dan “hands on training” sebelum diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Tebatan Banjir

Tuan yang dipertua,

27. Seterusnya, merujuk cadangan daripada Yang Berhormat Jawi supaya Kerajaan Negeri menggunakan teknologi hijau untuk mengatasi masalah banjir di negeri Pulau Pinang dan cadangan penggunaan tenaga elektrik ke atas rumah pam di sekitar Jawi yang dikatakan masih menggunakan diesel dan panel solar.

28. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri menyambut baik akan cadangan yang diutarakan oleh Yang Berhormat Jawi dan suka saya menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sememangnya amat menekankan aspek penjagaan kelestarian alam sekitar dan berminat untuk menggunakan teknologi hijau untuk mengatasi masalah banjir. Justeru, saya akan mencadangkan kepada Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir untuk membuat kajian mengenai pelaksanaan teknologi hijau seperti “rain garden”, “green roof”, “rainwater harvesting”, “permeable pavements” dan sebagainya sejajar dengan strategi peralihan daripada “grey technology” kepada “green technology” yang sedang diusahakan di pelbagai negara maju.

29. Di Pulau Pinang, teknologi hijau yang menggunakan tenaga solar telah pun diaplikasikan di daerah Seberang Perai Selatan bagi sistem operasi Pintu Air Pasang Surut (Tidal Control Gate) di Kebun Baru, Pulau Burung dan Gate D. Sungguhpun begitu, berlaku kes vandalisme di kawasan tersebut sehingga memerlukan kekerapan penyelenggaraan oleh pihak JPS bagi memastikan sistem operasi struktur utama dapat berjalan dengan baik.

30. Sementara itu, berkenaan rumah pam yang dikatakan masih menggunakan diesel pula, dimaklumkan bahawa di daerah Seberang Perai Selatan hanya terdapat sebuah rumah pam yang menggunakan diesel iaitu Rumah Pam Bagan Buaya di Parit G2, Nibong Tebal. Pihak JPS sememangnya telah merancang tindakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan keberkesanan sistem operasi rumah pam tersebut agar lebih efisyen pada masa akan datang dan cadangan menggunakan tenaga elektrik akan diberi penelitian oleh pihak Kerajaan Negeri.

31. Berhubung cadangan untuk meletakkan pengawal keselamatan bagi mengurangkan kegiatan vandalisma, pihak JPS telah mengambil tindakan dengan menempatkan dua orang pekerja daripada kawasan Nibong Tebal dan kawasan Bukit Tambun bagi menjalankan operasi di Rumah Pam Bagan Buaya (Parit G2) yang berada di Belakang Taman Desa Jawi. Pam tersebut telah pun beroperasi. Pihak JPS juga telah melaksanakan penyelenggaraan dan menambah bekalan minyak diesel bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan mengelakkan masalah luar jangka.

Tuan yang dipertua,

32. Yang Berhormat Bagan Dalam membangkitkan soalan berkenaan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan untuk membuat pengorekan di anak sungai atau longkang di kawasan-kawasan yang berisiko banjir.

33. Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan, dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri pada tahun 2018 menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM4.8 juta untuk melaksanakan kerja-kerja mendalam dan membaiki tebing sungai di Pulau Pinang. Sejumlah 31 kerja dilaksanakan menggunakan peruntukan ini. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga turut memberi peruntukan sejumlah RM4.35 juta untuk melaksanakan 35 kerja-kerja yang berkaitan.

34. Namun sememangnya diakui bahawa jumlah ini jauh tidak mencukupi kerana kita mempunyai banyak sungai di Pulau Pinang dan kerja-kerja pengorekan adalah tidak murah. Sekiranya ada keperluan yang mendesak, saya cadang Yang Berhormat mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir bagi dipertimbangkan untuk penggunaan peruntukan caruman perparitan.

Tuan yang dipertua,

35. Yang Berhormat Machang Bubuk telah berhujah mengenai projek tebatan banjir di bandaraya Bangkok, Thailand, iaitu Centenary Park di Chulalongkorn University. Kawasan lapang seluas 11 ekar itu telah dijadikan kawasan takungan air (water detention area) dengan pembinaan tangki bawah tanah yang mampu menampung lebih kurang 3,785 meter padu air hujan, iaitu satu setengah kali ganda isipadu sebuah kolam renang bersaiz Olimpik.

36. Saya setuju bahawa projek ini amat menarik, bukan sahaja dari segi fungsinya untuk memitigasikan banjir tetapi juga dari segi aestetik dan rekreasi kerana taman itu juga boleh digunakan oleh orang awam semasa tidak hujan.

37. Sebenarnya, saya telah melawat Bangkok baru-baru ini dan telah menerima taklimat mengenai projek-projek tebatan banjir di bandaraya itu, termasuk penggunaan tangki takungan air bawah tanah (underground detention tank). Dalam bahasa Thai, ia dipanggil “kaem ling” yang bermaksud pipi monyet. Apabila saya bertanya kenapa diberi nama begitu, saya dimaklumkan bahawa ia meminjam daripada analogi monyet. Apabila seekor monyet sedang memakan pisang, rakan-rakannya yang lain akan cuba untuk merampas pisangnya. Maka, ia akan terus menyumbat mulutnya dengan sebanyak pisang yang mungkin sehingga pipinya berkembang. Kemudian, monyet itu akan kunyah secara perlahan-lahan.

38. Begitulah teknologi yang digunakan, di mana apabila hujan, tangki itu akan “disumbat” dengan sebanyak air yang mungkin dan kemudiannya “ditelan” secara perlahan-lahan melalui pam yang akan mengalirkan air ke sungai. Konsep ini tidak baru malah sudah pun dilakukan di banyak negara. Isunya cuma satu – kos untuk membina tangki bawah tanah adalah tinggi. Saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Bangkok bahawa kos pembinaan bagi projek tersebut adalah lebih daripada RM300 juta.

39. Walau bagaimanapun, saya mengambil maklum cadangan ini dan pentadbiran ini akan mengkaji kebolehlaksanaannya sebagai syarat bagi pemajuan-pemajuan akan datang. Bagi kawasan Alma yang disebutkan oleh Yang Berhormat, saya rasa kekangan kos tidak membolehkan pelaksanaan tangki takungan air bawah tanah.

40. Namun begitu, sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM9.6 juta untuk melaksanakan projek Kolam Takungan Alma yang mampu menampung air hujan dengan ARI (average recurrence interval) 50 tahun yang dijangkakan dapat mengurangkan air larian sebanyak 50 peratus daripada kawasan hilir (downstream).

Tuan yang dipertua,

41. Beralih kepada isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Uban mengenai longkang-longkang di Batu Uban yang perlu diselenggara dan dibersihkan secara berkala, sistem perparitan yang dikatakan tidak sistematik dan memohon agar peruntukan bagi penyelenggaran sistem perparitan di Batu Uban.

42. Untuk menjawab isu dan persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui MBPP melaksanakan perkhidmatan pembersihan jalan dan parit awam konkrit di kawasan DUN Batu Uban mengikut taburan empat (4) buah kawasan dengan keanggotaan seramai 138 orang, meliputi pembahagian kawasan seperti berikut:

38

KAWASAN LINGKUNGAN BILANGAN PEKERJA
Jalan Permai, Jalan Sultan Azlan Shah, Minden Height 38
Tapak Pesta – Taman Lip Sin 34
Taman Lip Sin – Bukit Jambul 28
Taman Pekaka – Sungai Dua

43. Selain daripada itu, pembersihan secara “task force” turut dijalankan pada setiap hari Jumaat, khususnya di kawasan parit besar serta parit bermasalah, sebagai perkhidmatan “nilai ditambah”.

44. Di samping itu, MBPP membuat pemantauan kebersihan kawasan dengan melibatkan anggota penyelia dan mandor seramai 4 orang. Pemantauan dibuat berdasarkan amalan pentadbiran seperti berikut:

i. Membuat rondaan kawasan berdasarkan kepada jadual kerja;

ii. Merekodkan pemantauan harian berdasarkan kepada pelbagai skop perkhidmatan pembersihan dan kawasan yang dilawati;

iii. Memuatnaik maklumat mengenai keadaan sesuatu kawasan dan tindakan melalui “Whatsapp group”; dan

iv. Mengambil tindakan mengeluarkan notis dan atau denda kepada mana-mana kontraktor yang tidak menjalankan kerja dengan sempurna.

Tuan yang dipertua,

45. Seterusnya Yang Berhormat Bertam membangkitkan mengenai pembangunan infrastruktur di Bertam terutamanya pembinaan sistem perparitan tidak sistematik yang menyebabkan kejadian banjir kilat. Yang Berhormat juga membangkitkan mengenai ketiadaan perancangan yang teliti dalam pembinaan parit di Kampung Kovil dan Kampung Setol dan memohon supaya menyegerakan pelaksanaan pelan perparitan.

46. Untuk makluman Yang Berhormat, banjir kilat yang berlaku di Bertam adalah disebabkan beberapa faktor dan pihak Kerajaan Negeri melalui MPSP telah mengarahkan pihak pemaju dan Jurutera Perunding yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan pembetulan terhadap masalah banjir yang berlaku di kawasan pembangunan Bertam. Lanjutan itu, setelah kerja naiktaraf parit dijalankan, pihak MPSP tidak menerima lagi aduan banjir yang berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sistematik. Dalam masa yang sama, MPSP juga telah mengambil tindakan membersihkan daun-daun dan sampah yang tersumbat di dalam parit dan perangkap sampah sehingga mengganggu aliran air di dalam sistem pemaritan.

47. Berhubung ketiadaan perancangan dalam pembinaan parit di Kampung Kovil dan Kampung Setol, saya ingin menjelaskan bahawa kawasan tersebut adalah perkampungan tradisional yang beraras rendah dari segi topografinya dan sememangnya tiada sistem perparitan tersusun yang dibina sepertimana kawasan perumahan baharu yang dilaksanakan oleh pemaju. Walau bagaimanapun, cadangan agar pelan perparitan dilaksanakan di kawasan kampung sebegini akan diteliti pelaksanaannya dan dibincangkan lanjut di dalam Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir yang dianggotai Yang Berhormat sendiri.

48. Beralih kepada Yang Berhormat Sungai Dua yang memohon supaya Kerajaan Negeri menyedia dan membentangkan Pelan Induk Pencegahan Banjir serta membentangkan status perbelanjaan bagi projek-projek Rancangan Tebatan Banjir yang telah dilaksanakan.

49. Suka saya menjelaskan bahawa pihak JPS telah dan sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam bagi setiap daerah yang boleh dijadikan rujukan bagi pembangunan sistem perparitan. Status kajian ini adalah seperti berikut

i. Daerah Seberang Perai Tengah, telah siap sepenuhnya pada April 2016;

ii. Daerah Seberang Perai Selatan, telah siap sepenuhnya pada Oktober 2017;

iii. Daerah Seberang Perai Utara, masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada Oktober 2018;

iv. Daerah Timur Laut, laporan telah disediakan dan akan dibentangkan semula kepada semua ADUN kawasan dalam masa terdekat; dan

v. Daerah Barat Daya, telah siap sepenuhnya pada November 2013 dan cadangan lantikan perunding untuk semakan semula akan dilaksanakan pada tahun 2019.

50. Manakala berhubung permohonan supaya Kerajaan Negeri membentangkan status prestasi perbelanjaan bagi projek-projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan, dimaklumkan bahawa terdapat lima (5) projek berimpak tinggi yang sedang dalam pembinaan. Antara projek tebatan banjir yang dalam peringkat pembinaan adalah seperti berikut:

i. Projek Tebatan Banjir Sungai Permatang Rawa di Kg. Tanah Liat, Taman Guru, Padang Lalang dan Kampung Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM30.31 juta;

ii. Projek Tebatan Banjir Parit 4 di Bukit Tengah, Taman Desa Damai, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM16.97 juta;

iii. Projek Tebatan Banjir Parit 5 di Taman Mangga dan Jalan Juru, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM14.6 juta;

iv. Projek Tebatan Banjir Kawasan Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara berjumlah RM42.4 juta; dan

v. Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah di Taman Iping, Daerah Barat Daya berjumlah RM15.27 juta.

51. Bagi Projek Tebatan Banjir Bayan Baru, Daerah Barat Daya, Projek Rekabentuk Terperinci Membina Kolam Takungan Alma, Daerah Seberang Perai Tengah serta Projek Rekabentuk Terperinci Bagi Kerja Menaiktaraf Sistem Saliran Sungai Tiram di Kampung Naran (belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), Daerah Barat Daya, kesemuanya masih dalam penyediaan laporan konseptual dan rekabentuk terperinci. Anggaran kos bagi ketiga-tiga projek ini masih belum dimuktamadkan lagi. Tuan yang dipertua,

52. Merujuk kepada cadangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pulau Betong berkenaan pewujudan “task force” di Pulau Betong untuk menangani masalah banjir, dimaklumkan bahawa sedia ada telah wujud satu platform di setiap daerah yang berperanan untuk mengesan banjir atau banjir kilat, iaitu melalui satu jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Bencana Daerah. Jawatankuasa Bencana Daerah ini diketuai oleh Pegawai Daerah dan Tanah di setiap daerah dan menggerakkan kerja-kerja menangani masalah banjir di kawasan yang telah dikenalpasti. Oleh itu, Yang Berhormat bolehlah menggunakan platform ini untuk menyuarakan keperluan tindakan ke atas kawasan yang kritikal.

Infrastruktur Telekomunikasi

Tuan yang dipertua,

53. Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu. Ini adalah hasil usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada Kerajaan mahupun swasta khususnya industri telekomunikasi yang sudi melabur di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengamalkan 3M dan 1S dalam pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi iaitu:

i. Maju: Negeri Pulau Pinang adalah negeri yang maju dan mempunyai nilai komersial tinggi dari segi jumlah permintaan dan langganan. Ini membuatkan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan berlumba-lumba untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan yang lebih baik secara komersial. Malah, kos pelaburan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang adalah lebih rendah berbanding negeri lain berdasarkan bayaran proses, permit dan pembaharuan permit struktur telekomunikasi yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada kadar yang berpatutan.

ii. Mesra: Polisi Kerajaan Negeri yang mesra pelabur dan mengamalkan dasar tiada monopoli atau pemberian hak ekslusif kepada mana-mana pihak dalam menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang. Dasar Ini dapat menarik lebih banyak pelabur atau syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan untuk datang ke Negeri Pulau Pinang dan juga menggalakkan persaingan sihat.

iii. Mudah; Proses pembinaan dan pembaharuan permit di Negeri Pulau Pinang juga dipermudahkan melalui Prosedur dan Garis Panduan Pembinaan Menara dan Struktur Pemancar Telekomunikasi Negeri Pulau Pinang yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2015. Permohonan Pelan Bangunan (PB) boleh terus dibuat tanpa perlu melalui proses Kebenaran Merancang (KM) yang mengambil tempoh yang panjang dan prosedur yang lebih rumit. Proses pembaharuan permit juga dipermudahkan denga hanya memerlukan perakuan Jurutera Profesional dan bukannya Laporan Audit Keselamatan daripada pihak ketiga yang mungkin tidak bertauliah seperti yang diamalkan oleh negeri lain.

iv. Smart: Inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan dan meningkatkan penggunaan ICT dan teknologi terutamanya yang melibatkan telekomunikasi dan multimedia. Peningkatan permintaan terhadap penggunaan jalur lebar seterusnya akan meningkatkan juga penyediaan infrastruktur.

Tuan yang dipertua,

54. Berdasarkan data terkini daripada MBPP dan MPSP berakhir Julai 2018, terdapat 1,070 buah struktur telekomunikasi yang sah di seluruh negeri Pulau Pinang iaitu 504 buah di kawasan Seberang Perai dan 566 buah di kawasan pulau. Manakala jumlah struktur telekomunikasi tidak sah adalah sebanyak 122 buah iaitu 98 buah di kawasan Seberang Perai dan 24 buah di kawasan Pulau. Tindakan penguatkuasaan kini dijalankan oleh kedua-dua PBT secara berperingkat melalui serahan Notis Binaan Tanpa Kebenaran, Notis Mengosongkan Bangunan dan operasi tindakan meruntuh struktur mengikut keperluan dengan mengambil semangat Program Moratorium Fasa 1 dan Fasa 2 yang telah tamat pada 31 Disember 2016 bagi memutihkan semua struktur tidak sah di Negeri Pulau Pinang pada ketika itu.

55. Turut dilaksanakan adalah tindakan “camouflage” (penyamaran) ke atas struktur telekomunikasi di kawasan warisan dan diperluaskan ke seluruh Bandar George Town oleh syarikat telekomunikasi secara berperingkat dan dipantau oleh Jabatan Konservasi Warisan serta Jabatan Kawalan Bangunan, MBPP.

56. Malah, sebagai inisiatif pemantauan struktur telekomunikasi dan memudahkan pengurusan permit struktur telekomunikasi di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini dalam usaha untuk mengintegrasikan sistem sedia ada yang sedang digunapakai di MBPP dan MPSP dengan Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM) yang dibangunkan oleh SKMM di seluruh Malaysia.

Tuan yang dipertua,

57. Pelaksanaan Fiber Forward Penang (FFP) di Negeri Pulau Pinang yang diluluskan MMK pada 27 Mei 2015 yang menggalakkan pemasangan fiber optik menggantikan rangkaian kuprum oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah berjaya meningkatkan pemasangan fiber optik di Negeri Pulau Pinang agar rakyat Pulau Pinang dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi. Berdasarkan data terkini pemasangan fiber dan data yang dipetakan secara digital oleh PEGIS, kini 50% kawasan di seluruh Negeri Pulau Pinang telah diliputi jajaran fiber sepanjang 3,226 km dengan 600 km daripadanya di jalan-jalan utama negeri. Ini bermakna, 80% jalan-jalan utama telah diliputi fiber. Malah kini, Kerajaan Negeri dalam cadangan untuk melaksanakan pemasangan Saluran Bersepadu Telekomunikasi (Telecommunication Common Ducting) khusus bagi pemasangan fiber optik di kawasan pembangunan baru (green field). Batu Kawan telah menjadi projek perintis bagi pemasangan Saluran Bersepadu Telekomunikasi ini.

Tuan yang dipertua,

58. Kemudahan broadband secara wireless yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui program Penang Free WiFi (PFW) telah bermula pada tahun 2009 di setiap KADUN dengan pemasangan 1,560 Access Point (AP) di seluruh Negeri Pulau Pinang yang mempu menampung 30 orang pengguna pada satu masa bagi setiap AP.

59. Selaras dengan kemajuan capaian internet dan telekomunikasi, konsep pelaksanaan Penang Free Wifi (PFW) secara penjenamaan bersama dengan mana-mana syarikat telekomunikasi telah diluluskan Kerajaan Negeri pada April 2017 beserta dengan SOP (standard operating procedure) pelaksanaannya.

60. Bagi menjawab ulasan Yang Berhormat Batu Uban yang menyatakan bahawa kualiti perkhidmatan Penang Free Wifi (PFW) di KADUN Batu Uban adalah tidak baik, Kerajaan Negeri kini dalam proses menambahbaik dan menaiktaraf perkhidmatan PFW di Negeri Pulau Pinang dengan mengalu-alukan hasrat mana-mana syarikat telekomunikasi yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan ini menurut kehendak pengguna dan keperluan semasa selaras dengan Dasar Pintu Terbuka (Open Door Policy) Kerajaan Negeri.

Penutup

Tuan yang dipertua,

61. Adalah menjadi impian agar negeri Pulau Pinang membangun maju dengan infrastruktur yang efisyen dan mampan bagi keselesaan rakyat Pulau Pinang. Justeru Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dengan gigih melalui pelbagai platform untuk memastikan Negeri Pulau Pinang memiliki infrastruktur terbaik selaras dengan agenda mentransformasikan negeri ini menjadi Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa dan menyediakan kehidupan yang lestari kepada rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk pihak swasta dan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan sebarang perancangan projek infrastruktur. Semoga dengan kerjasama yang erat di antara semua pihak, Negeri Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat.

62. Sekian, terima kasih.

NB: This speech was delivered on 9 August 2018 in the Penang State Assembly.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc