Piala Demokrasi 2017: Menggalakkan persahabatan dan memupuk perpaduan

Piala Demokrasi dimulakan oleh Pejabat Parlimen Bukit Bendera pada tahun 2015 sebagai sebuah projek untuk menggalakkan persahabatan dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, khususnya anak muda, melalui sukan bola sepak.

Kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan layak ke perlawanan akhir dalam temasya Sukan SEA 2017 telah sekali lagi menjadi bukti bagaimana sukan dapat mengenepikan perbezaan. Tanpa mengira warna kulit, agama dan fahaman politik, kita semua menyokong pasukan negara. Sesungguhnya, sukan merupakan antara platform penting dalam menyebarkan idea permuafakatan dan persahabatan.

Justeru, tema Piala Demokrasi bagi tahun ini dikekalkan sebagai ‘Red Card to Racism’ atau ‘Kad Merah Menentang Perkauman’, dengan harapan dapat menyatupadukan peminat dan penggiat bola sepak melawan gejala perkauman yang kian melanda negara kita kebelakangan ini.

Sebanyak 32 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari luar Pulau Pinang seperti Kedah. Pertandingan akan diadakan pada 8 Oktober 2017 dari jam 8 pagi hingga 6 petang di Padang Polo, Pulau Pinang dan menawarkan hadiah sebanyak RM3,000 bagi pasukan johan, RM2,000 bagi naib johan dan RM1,500 untuk tempat ketiga. Di samping itu, hadiah juga akan ditawarkan kepada penjaring gol terbanyak.

Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Piala Demokrasi 2017, termasuk Pejabat Parlimen Bukit Bendera, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pantai Molek. Pada masa yang sama, pertandingan ini sudah tentu tidak akan berjaya tanpa sokongan syarikat EMICO yang sudi menaja trofi dan pingat.

Bersama-samalah kita tayangkan kad merah kepada sifat perkauman.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera

NB: This press statement was released on 30 September 2017 in George Town.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc