Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan 2018 di peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan

Penggunaan buku teks “impot”

Tuan pengerusi,

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dalam kurikulum sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan akan menggantikan buku teks mata pelajaran Bahasa Inggeris sedia ada dengan kurikulum yang selaras dengan Common European Framework of Reference for Language (CEFR). Oleh kerana buku-buku teks terbitan tempatan dikatakan tidak dapat memenuhi tahap CEFR yang diperlukan, maka buku impot akan digunakan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian telah mengeluarkan dua pekeliling bertarikh 16 Ogos dan 12 September yang mengarahkan agar buku teks Super Minds terbitan Cambridge University Press akan digunakan bagi tahun 1 dan 2 manakala Pulse 2 terbitan Macmillan akan digunakan untuk tingkatan 1 dan 2. Buku-buku tersebut akan dijadikan buku teks utama bagi menggantikan buku teks KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) dan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) sedia ada yang tidak lagi akan diedarkan kepada murid dan sebaliknya boleh digunakan sebagai buku rujukan atau bahan sampingan semata-mata.

Walaupun dasar untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah satu usaha murni yang harus disokong, namun terdapat pelbagai persoalan yang timbul ekoran dasar yang nampaknya digubal dengan begitu terburu-buru.

Pertamanya, apakah kewajaran menukar kurikulum dengan tiba-tiba, apatah lagi dengan membabitkan kos yang begitu tinggi. Buku Super Minds telah dibeli dengan kos RM38.80 senaskhah manakala Pulse 2 berharga RM38 senaskhah. Jika berdasarkan perangkaan enrolmen 450 ribu murid bagi tahun 1 dan 400 ribu murid bagi tingkatan 1, jumlah kos pembelian senaskhah buku teks bagi setiap murid adalah dalam lingkungan RM33 juta.

Tidakkah RM33 juta merupakan satu kos yang begitu besar, khususnya apabila ia membabitkan buku teks untuk satu mata pelajaran bagi dua kohort sahaja? Adakah jumlah ini termasuk dalam anggaran perbelanjaan tahun ini atau adakah ianya merupakan perbelanjaan tambahan?

Kos yang begitu tinggi ini juga tidak masuk akal, kerana buku-buku yang kononnya “diimpot” ini sebenarnya tidak diimpot tetapi dicetak secara tempatan dan dibekal melalui penerbit Pan Asia Publications bagi buku Super Minds dan Desa Fikir bagi Pulse 2. Isi kandungan buku-buku tersebut pula tidak dipinda dan disalin secara keseluruhan. Pada masa yang sama, pengisian digital seperti cakera padat yang terkandung dalam buku-buku asal telah dikeluarkan oleh penerbit tempatan. Justeru, adakah harga hampir RM40 senaskhah itu munasabah?

Tambahan lagi, mengapakah pembelian buku-buku ini tidak dibuat secara tender terbuka sepertimana buku-buku teks lain? Jika keselarian dengan CEFR merupakan syarat, saya pasti banyak lagi buku-buku terbitan asing mahupun tempatan juga dapat memenuhi syarat tersebut. Sebaliknya, Kementerian seolah-olah tergesa-gesa untuk membelanjakan wang yang begitu banyak tanpa kajian yang lebih mendalam.

Yang lebih menghairankan, penggantian buku-buku teks ini telah dilakukan walaupun Kementerian sendiri baru sahaja meluluskan pembelian buku-buku baru berdasarkan kurikulum KSSR dan KSSM pada awal tahun ini. Buku-buku terbitan tempatan ini jauh lebih murah – hanya RM9.20 bagi buku teks tahun 1 (terbitan Dewan Bahasan dan Pustaka) dan RM7.50 bagi buku teks tingkatan 1 (terbitan Pelangi). Kedua-dua buku ini telah dipilih setelah melalui proses tender terbuka. Berdasarkan enrolmen murid yang sama, jumlah kosnya adalah lebih kurang RM7.1 juta – satu perbezaan yang ketara berbanding buku teks Super Minds dan Pulse 2. Namun dengan penggantian buku yang berlaku ini, apakah yang akan berlaku kepada buku-buku teks tempatan ini sekarang? Bukankah ini satu pembaziran yang amat besar?

Satu lagi isu yang timbul –Kementerian mengarahkan untuk membahagikan buku-buku teks baru agar setengah diajar pada tahun 1 (unit 1-4) dan tingkatan 1 (unit 1-5) dan setengah lagi pada tahun 2 (unit 5-9) dan tingkatan 2 (unit 6-9). Saya tidak faham rasional di sebalik pembahagian yang dilakukan ini. Buku-buku ini direka untuk pembelajaran sepanjang setahun, tetapi Kementerian bercadang untuk mengajarnya sepanjang tempoh dua tahun. Bagaimanakah murid akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan mempelajari hanya empat atau lima unit setahun?

Apakah akan terjadi kepada murid-murid ini apabila mereka memasuki tahun 3 dan tingkatan 3? Jika Kementerian bercadang untuk meneruskan kurikulum baru ini bagi setiap kohort tahun 1 dan tingkatan 1 yang baru, adakah mereka juga akan belajar setengah modul atau sepenuhnya? Sekiranya kohort baru akan menggunakan modul penuh, bukankah murid-murid yang hanya belajar setengah modul setahun akan ketinggalan berbanding kohort-kohort baru?

Akhir sekali, buku-buku teks baru ini menggunakan pengisian berdasarkan konteks United Kingdom tanpa ada pengisian tempatan langsung. Sebagai contoh, pada mukasurat 75 unit 7 buku teks Pulse 2, artikel mengisahkan mengenai seorang remaja bernama Andrew daripada masyarakat Amish di Amerika Syarikat yang ingin melawat kota London. Dalam lawatannya, Andrew akan menghadiri festival musik dan bermain beberapa sukan tradisi British. Artikel itu berakhir dengan arahan: “Watch Channel 4 on Friday at 8pm to see how Andrew gets on!” Kemudian, antara soalan kerja yang ditanya adalah: “Do you think Andrew will enjoy his trip to Britain? Why (not)?”

Konteks dan pengisian dalam artikel ini, iaitu lawatan seorang remaja Amish ke Britain, sungguh asing dan tidak bermakna bagi murid-murid kita. Lebih teruk lagi, bagaimanakah murid hendak merujuk kepada rancangan di Channel 4, iaitu sebuah saluran TV British yang tidak terdapat di Malaysia, malah dalam Astro. Pada masa yang sama, bagaimanakah murid ingin menjawab soalan sama ada Andrew akan menikmati percutiannya ke Britain apabila hampir kesemua murid kita sudah tentu tidak boleh membayangkan Britain itu sendiri.

Tanpa adanya rujukan kepada konteks dan kebudayaan tempatan, serta penggunaan kebudayaan asing semata-mata, sudah tentu sukar untuk menarik minat murid-murid kita. Malah, saya percaya ia akan menimbulkan kekeliruan dan menyukarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kita. Saya pohon agar dasar ini dipertimbangkan semula dan difikirkan secara masak-masak sebelum dilaksanakan.

Campur tangan politik

Tuan pengerusi,

Kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menggariskan kepentingan memartabatkan profesion perguruan dan menganjak ke arah kepimpinan distributif. Pelan ini mengakui keperluan untuk meningkatkan autonomi kepada para pengetua dan guru besar dalam mengukuhkan lagi pentadbiran sekolah. Pemusatan kuasa yang keterlaluan pula diakui sebagai antara punca kelemahan birokrasi pentadbiran sekolah. Malangnya, bukan sahaja disentralisasi yang dicanangkan tersebut tidak berlaku, nampaknya cengkaman kuasa Persekutuan semakin kuat sementara sektor pendidikan semakin diremehkan dengan campur tangan politik.

Baru-baru ini, seorang guru besar sekolah Tamil di Butterworth, iaitu SJK (T) Mak Mandin, telah menerima arahan pindah secara mengejut. Arahan ini diterima ekoran lawatan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan beberapa pemimpin kanan kerajaan negeri Pulu Pinang ke sekolah tersebut untuk menyerahkan peruntukan kewangan sebanyak RM110 ribu bagi mendanai pembangunan infrastruktur sekolah.

Ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada program tahunan kerajaan negeri Pulau Pinang. Setiap tahun, RM1.75 juta diperuntukkan untuk 28 sekolah Tamil di Pulau Pinang, manakala tambahan RM200,000 diberi untuk pembangunan kelas pra-sekolah. Bantuan tahunan ini diberi kepada semua sekolah separa bantuan seperti sekolah Tamil, Cina, mubaligh dan agama rakyat. Di samping itu, kerajaan negeri Pulau Pinang juga memperuntukkan tanah kepada sekolah-sekolah tertentu, termasuk bagi pembangunan sebuah sekolah menengah Tamil namun malangnya tawaran ini tidak disahut oleh Kementerian Pendidikan.

Pun begitu, lawatan yang dibuat oleh Ketua Menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen setempat ke SJK (T) Mak Mandin itu dibuat atas jemputan lembaga amanah (board of trustees) sekolah dan bukannya guru besar, Puan Tamilchelvi. Malah beliau tidak hadir pun semasa program tersebut.

Namun sejurus selepas peristiwa itu, Puan Tamilchelvi telah disoal siasat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Beliau diminta untuk menjelaskan mengapa Ketua Menteri dijemput ke sekolah dan sama ada beliau tahu mengenai lawatan tersebut. Beliau juga dituduh tidak mengambil langkah untuk memastikan pintu sekolah dikunci. Selepas soal siasat dilakukan, arahan pemindahan terus dikeluarkan.

Anehnya, ini merupakan pemindahan kedua baginya dalam tempoh setahun. Sebelum ini, beliau dipindahkan dari SJK (T) Bukit Mertajam, secara kebetulan juga selepas lawatan pemimpin kerajaan negeri, iaitu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang hadir atas jemputan PIBG.

Nampaknya Puan Tamilchelvi seolah-olah dimangsakan sekali lagi. Walaupun pemindahannya kali ini dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, iaitu Ahli dari Hulu Selangor, sebagai sebahagian daripada rutin yang dilaksanakan secara berkala, namun jawapan itu tidak memuaskan kerana beliau baru sahaja berpindah dari sekolah lain. Adakah ia satu kelaziman bagi seorang guru atau guru besar untuk dipindahkan dua kali dalam masa setahun? Adakah ia wajar untuk seorang guru atau guru besar untuk berkhidmat di tiga sekolah berlainan dalam masa yang begitu singkat?

Peristiwa ini amat mendukacitakan. Seorang guru besar menjadi mangsa mainan politik dan tidak berdaya untuk melawan campur tangan politik yang jelas menjejaskan bukan sahaja kerjaya beliau tetapi juga murid-murid di sekolah-sekolah terbabit dengan ketidakstabilan kepimpinan yang dialami. Tindakan yang diambil terhadap Puan Tamilchelvi adalah terlalu kejam dan tidak sepatutnya berlaku.

Pun begitu, peristiwa ini tidaklah begitu mengejutkan kerana campur tangan politik dalam sistem pendidikan kerap berlaku. Saya merujuk pertikaian yang tercetus pada bulan Ogos yang lalu apabila Ketua Menteri Pulau Pinang dihalang daripada melawat SJK (C) Kampung Sungai Lembu di Bukit Mertajam.

Pada waktu itu, Ketua Menteri ingin melawat sekolah tersebut bagi meninjau keadaan berikutan kes kilang haram di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, beliau juga ingin memberi sumbangan dana kepada sekolah. Malangnya, beliau tidak dibenarkan masuk dan permohonan yang dibuat kepada JPN selepas itu juga ditolak tanpa sebab yang munasabah.

Larangan melawat sekolah terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang, meskipun anggota kerajaan negeri, merupakan sesuatu yang sudah lama diamalkan. Halangan yang sama turut wujud di Selangor juga. Namun di Pulau Pinang dan Selangor, tidak pula ada masalah apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) memasuki mana-mana sekolah.

Malah, berlaku peristiwa baru-baru ini di SK Putrajaya Presint 14(1) di mana bendera parti politik UMNO telah dipamerkan dalam perkarangan sekolah sementara lagu dan slogan UMNO dilaungkan oleh murid-murid semasa acara rasmi sekolah. Ini membuktikan terdapat sikap dwi-standard dan pengaruh politik partisan yang amat ketara dalam sistem persekolahan. Sementara pemimpin pembangkang tidak dibenarkan untuk melawat atau melakukan aktiviti di sekolah-sekolah dalam kawasan mereka atau dalam negeri yang ditadbir mereka, BN pula boleh menjalankan aktiviti politik secara terang-terangan di sekolah.

Seelok-eloknya, politik harus dipisahkan daripada sistem pendidikan kita. Medan persekolahan adalah persada untuk menimba ilmu dan bukan untuk bermain politik. Apa salahnya seorang Ketua Menteri melawat sekolah di atas kapasitinya sebagai wakil rakyat atau pemimpin tempatan? Kerajaan Persekutuan seharusnya menghormati sistem persekutuan negara ini bagi membuktikan kesungguhan untuk melaksanakan transformasi pendidikan dan pentadbiran yang dicanang-canangkan. Tindakan menekan pentadbir sekolah tidak merugikan pemimpin kerajaan negeri tetapi sebaliknya menjejaskan masa depan anak bangsa negara ini.

Sekian, terima kasih.

*Rujukan butiran:

  • 020300 (Bahan Pengajaran dan Pembelajaran)
  • 020600 (Pembangunan Kurikulum)
  • 040300 (Pengurusan Sumber Manusia).

NB: This speech was delivered on 23 November 2017 in Parliament.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc