Sekolah tradisi harus mengambil langkah keselamatan

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa kanak-kanak amat memilukan sambutan Hari Malaysia. Seluruh negara berkabung di atas tragedi ini.

Banyak pihak kini meminta pihak berkuasa untuk menutup sekolah-sekolah tahfiz ini. Bagi pihak DAP, tuntutan sedemikian adalah keterlaluan dan tidak wajar. Sesungguhnya, sistem persekolahan tradisi di seluruh alam Nusantara seperti sekolah pondok, madrasah atau pesantren di Indonesia mempunyai sejarah yang lama dan masyhur dalam mendidik manusia menjadi insan yang beradab, bertanggungjawab dan berbudi pekerti luhur.

Kebanyakan maahad tahfiz dan madrasah di Malaysia menanggung tanggungjawab penting ini demi tuntutan agama dan tradisi masyarakat. Namun demikian, sudah tentu infrastruktur yang dibina dengan dana kewangan yang terhad akan mempunyai pelbagai kelemahan, termasuk dari segi kebakaran. Jika mengikut piawai binaan bangunan, sudah tentu banyak sekolah-sekolah ini akan gagal pemeriksaan bomba.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama pihak berkuasa serta pihak pengurusan semua sekolah-sekolah tradisi untuk memastikan keselamatan bangunan mereka, khususnya yang diperbuat daripada kayu. Beberapa langkah yang wajar diambil adalah seperti berikut:

  • Laluan keluar tambahan harus dibina pada bangunan bertingkat mengikut keperluan bomba.
  • Pengesan asap dan alat pemadam api harus disediakan.
  • Latihan kebakaran juga harus dibuat secara berkala.
  • Penyelenggaraan pengesan asap dan alat pemadam api harus dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan catatan rekod dalam buku log.
  • Sekiranya boleh, perancangan jangka masa panjang juga harus dibuat bagi menaiktaraf bangunan kayu kepada bangunan batu atau sekurang-kurangnya dengan membina dinding kebakaran (fire wall) untuk mengasingkan kelas dan bilik asrama.

Namun, piawaian ini tiada ertinya tanpa pemantauan dan penguatkuasaan. Ketika ini, setiap bangunan telah pun disyaratkan untuk memiliki aspek keselamatan asas sebelum diberi kebenaran untuk diduduki. Namun, aspek penguatkuasaan yang lemah telah meningkatkan risiko terjadinya peristiwa yang sangat kita khuatiri ini.

Lebih penting lagi, isu keselamatan ini bukan hanya melibatkan bangunan sekolah maahad tahfiz sahaja, malahan juga bangunan milikan persendirian hatta milikan kerajaan – khususnya bangunan lama, tradisi dan yang memiliki elemen sejarah. Bahaya fizikal yang dihadapi oleh bangunan-bangunan ini bukan hanya daripada ancaman kebakaran malahan juga keteguhan binaan. Kita tidak asing lagi dengan berita bangunan sekolah yang runtuh dan rosak, meskipun baru dibina.

Bagi mengelakkan tragedi pada masa depan, kerjasama semua pihak diperlukan untuk menjadikan keselamatan satu keutamaan.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

NB: This press statement was released on 17 September 2017 in Kuala Lumpur.

Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc