Pages tagged: Kedap

Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan 2016 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan

Pendidikan Orang Asli dan Peribumi

Tuan pengerusi,

Pada 23 Ogos yang lalu, negara dikejutkan dengan berita kehilangan tujuh murid Orang Asli. Mereka yang berusia antara tujuh hingga 10 tahun melarikan diri daripada asrama sekolah akibat takut dihukum kerana bermain di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Berkat doa ibu bapa dan orang ramai serta kesungguhan anggota pasukan mencari dan menyelamat, pada 9 Oktober – selepas lebih sebulan – dua orang daripada mereka ditemui selamat. Sehingga kini, empat lagi sudah ditemui mati manakala seorang lagi masih belum dijumpai. Ekoran daripada peristiwa ini, terdapat banyak kekeliruan dan kekaburan yang timbul berhubung dengan tindak balas kerajaan dan juga dakwaan mengenai keadaan semasa SK Tohoi serta sekolah-sekolah Orang Asli lain.

Pun begitu, saya ingin menarik perhatian Dewan kepada permasalahan asas yang dihadapi oleh hampir kesemua murid Orang Asli di seluruh negara. Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Orang Asli, Penan serta Peribumi Sabah dan Sarawak berjumlah empat peratus daripada semua murid sekolah rendah dan menengah. Daripada jumlah ini, 68 peratus daripada mereka tinggal di kawasan pedalaman dan 80 peratus adalah dari Sabah dan Sarawak.

Dokumen yang sama menyatakan bahawa murid Orang Asli mengalami kadar keciciran sekolah yang lebih tinggi dan keberhasilan pendidikan yang lebih lemah berbanding murid lain. Sebagai contoh, hanya 30 peratus murid Orang Asli berjaya menamatkan pelajaran sekolah menengah, iaitu kurang daripada setengah purata kebangsaan, 72 peratus. Hanya 61 peratus lulus subjek teras UPSR, manakala purata kebangsaan adalah 87 peratus. 35 peratus SK Asli pula dikategorikan dalam Band 6 dan 7, iaitu berprestasi lemah (poor performance), berbanding satu peratus untuk sekolah kebangsaan (SK).

Akibat daripada kadar kemiskinan yang lebih tinggi dan kekurangan akses di kawasan pedalaman, kebanyakan kanak-kanak Orang Asli tidak mendapat pendidikan prasekolah dan terpaksa bermula Darjah 1 dengan asas celik huruf dan celik angka yang sangat rendah. Tambahan pula, Bahasa Melayu bukan bahasa ibunda mereka, dan ini hanya menyukarkan keadaan.

Pengetua dan guru sekolah pula melaporkan bahawa program latihan sedia ada tidak memberi persediaan yang secukupnya untuk berdepan dengan situasi di kawasan Orang Asli dari pelbagai aspek, termasuk interaksi dengan budaya Orang Asli yang berlainan.

Justeru, terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh Kementerian bagi mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut, antaranya penggubalan kurikulum khas untuk murid Orang Asli dan Penan (Kurikulum Asli dan Penan, KAP). Selain itu, kurikulum KSSR yang baru juga memperluaskan pilihan bahasa elektif kepada Iban, Kadazan-Dusun dan Semai.

Bagi membangunkan lagi pendidikan Orang Asli dan Peribumi, Pelan Pembangunan Pendidikan telah mengemukakan beberapa syor dalam Gelombang 1 (2013-2015). Memandangkan Gelombang 1 bakal sampai ke penghujungnya pada akhir tahun ini, saya ingin mendapat perincian semasa akan status syor-syor ini.

Pertama, berkenaan sekolah K9, iaitu Sekolah Model Khas Komprehensif (Comprehensive Special Model School) yang menyediakan sekolah berasrama dari Darjah 1 hingga Tingkatan 3. Tujuan sekolah K9 ini diperkenalkan adalah untuk mengatasi masalah keciciran dari Darjah 6 ke Tingkatan 1. Sejak dirintis pada tahun 2007, K9 telah berjaya meningkatkan kadar kehadiran murid daripada 85.7 peratus kepada 97.6 peratus pada tahun 2010.

Pelan Pembangunan Pendidikan mengesyorkan agar bilangan sekolah K9 ditambah. Sehingga tahun lepas, terdapat lima buah sekolah K9 di Semenanjung Malaysia, sementara Sabah dan Sarawak mempunyai 11 buah. Di sini, saya ingin tahu status semasa projek ini, dan sama ada Kerajaan akan menambah lagi bilangan sekolah K9, dan berapakah jumlah yang diperuntukkan untuk tujuan ini.

Isu kedua adalah Kelas Dewasa Orang Asli dan Penan (Kedap) yang dimulakan bagi mendidik golongan dewasa Orang Asli untuk mencapai kadar celik huruf dan celik angka yang sesuai agar mereka dapat membantu pembelajaran anak-anak mereka. Program ini sepatutnya diperluaskan lagi untuk mencapai kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak. Namun, nampaknya peruntukan untuk program ini telah dipotong daripada RM6 juta pada tahun 2015 kepada hanya RM3.5 juta bagi tahun 2016. Adakah program ini membuahkan hasil, dan jika ya, mengapakah ia dikurangkan dengan begitu mendadak? Bagaimana pula dengan rancangan untuk memperluaskannya ke Malaysia Timur?

Ketiga, untuk menangani masalah interaksi antara guru dan masyarakat Orang Asli, Pelan Pembangunan Pendidikan mengesyorkan penambahan calon Orang Asli dalam program latihan perguruan serta meningkatkan bilangan pembantu guru Orang Asli. Berdasarkan kes SK Tohoi yang diuar-uarkan baru-baru ini, masalah kekurangan guru, apatah lagi guru Orang Asli, merupakan antara rungutan terbesar daripada ibu bapa. Oleh itu, saya ingin tahu berapa ramaikah guru dan pembantu guru Orang Asli yang sudah dilantik dan apakah rancangan Kementerian untuk menambahkan lagi bilangan mereka?

Sesungguhnya, kita harus berdepan dengan hakikat malang bahawa Orang Asli dan Peribumi di negara kita jauh ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi. Oleh yang demikian, saya harap Kementerian dapat memberi perhatian yang setimpal bagi memastikan anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan yang terbaik agar kitaran kepapaan mereka dapat dihentikan dalam masa terdekat.

1BestariNet

Tuan pengerusi,

Saya ingin beralih kepada projek 1BestariNet yang mengundang banyak kontroversi atas pelaburan besar-besaran dan kelemahan pelaksanaannya yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Lebih setengah bilion ringgit sudah dibelanjakan tetapi ia masih lagi mengalami banyak masalah asas. Antara kelemahan yang diberi penekanan oleh Laporan Audit adalah kadar penggunaan Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) yang amat rendah. Pada waktu audit dilaksanakan, kadar daftar masuk (login) tidak melebihi 0.64 peratus dalam kalangan murid. Ini bermaksud kurang daripada satu peratus murid menggunakan sistem VLE dengan kerap.

Maka, saya memohon Menteri membekalkan Dewan dengan statistik terkini. Lebih penting lagi, adakah penggunaan VLE dan 1BestariNet ini benar-benar mencapai penggunaan yang dinyatakan?

Kesangsian saya adalah berdasarkan banyak aduan yang saya terima daripada guru mengenai 1BestariNet ini. Umpamanya, liputan jalur lebar berkelajuan tinggi yang tidak memuaskan dan tidak laju. Perkara ini turut ditegaskan dalam Laporan Audit.

Tetapi, lebih membimbangkan lagi, saya juga mendapat aduan bahawa guru-guru dipaksa untuk mendaftar masuk ke dalam sistem VLE semata-mata agar KPI penggunaan dapat dicapai. Dalam erti kata lain, mereka menggunakan sistem tersebut bukan kerana sistem itu bermanfaat atau berkesan dalam pengajaran atau pembelajaran, tetapi hanya sekadar memenuhi keperluan birokrasi. Pada masa yang sama, saya juga dimaklumkan bahawa ada sesetengah pengetua yang memaksa guru untuk mendaftar masuk dengan menggunakan akaun dan katalaluan murid, supaya statistik penggunaan murid dapat meningkat.

Sekiranya dakwaan-dakwaan ini benar, maka ia bukan sahaja membazirkan tenaga dan masa guru, tetapi membuktikan bahawa 1BestariNet adalah projek yang gagal mencapai objektifnya. Jika benar begitu, projek ini perlu dikaji semula agar lebih banyak lagi sumber, baik sumber kewangan atau tenaga kerja, tidak terus dibazirkan.

Bahasa Inggeris

Tuan pengerusi,

Baru-baru ini, terdapat laporan dalam akhbar The Star yang memetik presiden Malaysian Medical Association (MMA) cawangan Melaka, Dr M Nachiappan, sebagai berkata sekitar seribu graduan perubatan telah berhenti daripada menjadi doktor, walaupun sudah berjaya menghabiskan pengajian mereka. Sebab utama yang diberikan adalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang menyukarkan komunikasi dan kerja mereka. Tambahan pula, kebanyakan buku rujukan dan latihan perubatan adalah dalam bahasa Inggeris, maka tahap penguasaan yang lemah meningkatkan beban dan tekanan para pelatih perubatan.

Jelas, masalah penguasaan bahasa Inggeris di negara kita, khususnya dalam kalangan graduan, sudah sampai ke tahap yang amat merunsingkan. Jika pengamal perubatan kita pun terjejas, bagaimanakah pula dengan yang lain?

Tahun lepas, akhbar Wall Street Journal telah melaporkan hasil kaji selidik Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), iaitu badan yang mewakili lebih 800 syarikat, yang mendapati bahawa lebih 60 peratus syarikat yang disoal selidik menyalahkan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah sebagai sebab utama mengapa graduan yang ditemuduga tidak berjaya dipilih.

Sudah pasti, jika kebolehpasaran graduan kita terjejas, maka daya saingan negara kita juga akan terhakis. Bagaimanakah mungkin kita dapat mencapai matlamat ekonomi berpengetahuan sekiranya kita tidak fasih dalam bahasa yang merupakan lingua franca dunia dalam bidang sains, teknologi dan perniagaan?

Dalam pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris, dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM135 juta bagi tujuan ini. Namun, jika kita meneliti angka ini, ia sebenarnya jauh lebih kecil berbanding peruntukan tahun-tahun yang lepas.

Ambil sebagai contoh, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan untuk mengganti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bagi tahun 2016, jumlah yang diperuntukkan adalah hanya RM97 juta. Ini adalah pengurangan yang sangat ketara – lebih 50 peratus, kerana program ini lazimnya menerima sekitar RM200 juta setiap tahun sejak ia diperkenalkan.

Angka RM135 juta yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri pula sebenarnya merangkumi RM97 juta untuk MBMMBI, ditambah dengan dua dasar baru, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme yang berjumlah RM38.5 juta.

Maka, adalah jelas retorik yang dilaungkan tidak sepadan dengan komitmen yang ditunjukkan. Bagaimanakah boleh Perdana Menteri menyatakan penguasaan Bahasa Inggeris itu penting, tetapi pada masa yang sama peruntukan untuk memperkukuh Bahasa Inggeris dikurangkan dengan begitu mendadak?

Pada masa yang sama, Menteri Pendidikan baru-baru ini juga dilaporkan berkata bahawa program untuk membawa masuk guru bahasa Inggeris dari negara asing akan ditangguhkan sehingga kajian lanjutan dibuat. Dalam hal ini, saya ingin mengajukan soalan mengenai program Program Penutur Jati Bahasa Inggeris (PPJBI). Sehingga kini, lebih setengah bilion ringgit sudah dibelanjakan untuk melantik guru-guru penutur jati bahasa Inggeris. Saya ingin tahu, apakah hasil dan status terkini dan adakah program ini juga akan ditangguhkan sepertimana yang diumumkan oleh Menteri tempoh hari?

Pembangunan & latihan guru

Tuan pengerusi,

Pelan Pembangunan Pendidikan menyatakan bahawa “kualiti guru merupakan penentu yang paling penting di peringkat sekolah bagi keberhasilan murid.” Malah, dokumen tersebut memetik kajian di Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa apabila dua murid berumur lapan tahun dengan prestasi sederhana diajar oleh guru yang berbeza prestasi – seorang berprestasi tinggi, dan seorang lagi berprestasi rendah – pencapaian akademik murid tersebut berbeza sebanyak lebih daripada 50 peratus dalam tempoh tiga tahun. Dapatan yang sama juga diperoleh dalam kajian-kajian yang dijalankan di negara-negara lain.

Oleh itu, jika kualiti guru dikenalpasti sebagai aspek yang begitu penting dalam sistem pendidikan, saya ingin tahu mengapakah pelaburan terhadap pembangunan guru semakin berkurang?

Menurut Anggaran Perbelanjaan, hanya RM783 juta diperuntukkan bagi tahun 2016, berbanding RM1 billion untuk tahun 2015 dan RM1.5 bilion dua tahun sebelumnya. Potongan sebanyak 49.12 peratus ini sangat ketara.

2014 (RM) 2015 (RM) 2016 (RM) Peratus Perbezaan 2015-16 Peratus  Perbezaan 2014-16
Pembangunan Profesional  1,540,523,500  1,086,778,100  783,775,500 -27.88 -49.12
Latihan Pra-Perkhidmatan 948,692,800  851,068,500  649,108,800 -23.73 -31.58
Latihan Dalam Perkhidmatan 410,087,300  93,931,800  65,364,100 -30.41 -84.06
Latihan Kepimpinan 181,743,400  141,777,800  69,302,600 -51.12 -61.87
Program Khas
Transformasi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan n/a 250,000,000 n/a n/a n/a

Jadual: Agihan belanjawan untuk pembangunan guru dari tahun 2014 hingga 2016

Jika diperincikan, semua program latihan guru termasuk latihan pra-perkhidmatan, latihan dalam perkhidmatan dan latihan kepimpinan mengalami pengurangan drastik dari tahun 2014 hingga 2016. Latihan pra-perkhidmatan, sebagai contoh, telah dikurangkan daripada RM948 juta pada tahun 2014 kepada RM851 juta pada tahun 2015 dan kepada hanya RM649 juta bagi tahun depan, iaitu pengurangan keseluruhan sebanyak 31.58 peratus.

Sementara itu, latihan dalam perkhidmatan guru adalah yang paling terjejas, dipotong sebanyak 84.06 peratus daripada RM410 juta pada tahun 2014 kepada RM93 juta pada tahun 2015 dan seterusnya kepada hanya RM65 juta bagi tahun 2016. Akhir sekali, latihan kepimpinan juga telah dipotong sebanyak 61.87 peratus daripada RM181 juta pada 2014 kepada hanya RM69 juta tahun depan.

Pemotongan mendadak secara besar-besaran bagi pembangunan guru ini sangat menggusarkan kerana jelas bertentangan dengan fakta yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan. Justeru, saya memohon Menteri untuk menjelaskan bagaimana kita dapat meningkatkan mutu sistem pendidikan kita jika perkara asas seperti latihan guru bukan sahaja tidak diberi perhatian, malah dikorbankan dengan begitu teruk sekali.

Sekian, terima kasih.

*Rujukan butiran:

050100 (Pembangunan Infrastruktur)
09220 (Kelas Dewasa Orang Asli Penan)
050200 (Teknologi Maklumat)
090200 (Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris)
040100 (Latihan Pra Perkhidmatan)
040200 (Latihan Dalam Perkhidmatan)
040300 (Latihan Kepimpinan)

NB: This speech was delivered on 1 December 2015 in Parliament.

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc