Tanpa usaha kerajaan negeri, kemelut Kampung Mutiara tidak akan selesai

Pada 31 Julai 2017, perintah mahkamah untuk mengusir penduduk di Lot 39 dan 40, Kampung Mutiara, Batu Ferringhi berjaya dielakkan apabila kata sepakat telah tercapai pada detik terakhir antara tuan tanah, penduduk dan juga kerajaan negeri selaku pemudah cara.

Kes Kampung Mutiara ini adalah isu berlarutan sejak tindakan mahkamah mula diambil oleh tuan tanah lebih 10 tahun dahulu. Setelah bertahun-tahun lamanya dan setelah melalui semua peringkat mahkamah, akhirnya writ milikan telah dikeluarkan pada tahun 2015 bagi mengosongkan kampung tersebut. Pun begitu, tindakan pengusiran berjaya ditangguhkan sehinggalah ke 31 Julai yang lalu.

Peranan kerajaan negeri

Persoalan yang sering menjadi tumpuan ramai adalah mengapakah kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dapat membantu dalam kes ini. Sejajar dengan dasar kerajaan negeri Pakatan Harapan yang mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat, selama ini sudah banyak kes setinggan yang berjaya diselesaikan dengan pampasan yang adil dan memadai kepada penduduk, antaranya Kampung Buah Pala dan Kampung Tok Subuh, Bukit Mertajam. Malah, bagi kes Kampung Chetty yang juga terletak di Batu Ferringhi, pampasan rumah ganti rumah berjaya dicapai bagi penduduk di situ.

Perlu difahami bahawa setiap kes adalah berbeza dari segi situasi, konteks dan pihak-pihak yang terbabit. Dalam kebanyakan kes, pengusiran setinggan secara lazimnya akan berlaku apabila pihak pemaju ingin membangunkan sesebidang tanah. Oleh kerana pihak pemaju memerluan kelulusan merancang dari pihak berkuasa, maka kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat-syarat tertentu ke atas pemaju. Antaranya adalah syarat bahawa isu penduduk setinggan haruslah diselesaikan terlebih dahulu. Dengan cara ini, kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan pampasan bagi kebanyakan kes-kes setinggan.

Namun begitu, sekiranya tuan tanah merupakan seorang individu yang menggunakan kuasa undang-undang semata-mata untuk mengosongkan tanah tersebut tanpa memasukkan permohonan merancang, maka kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat. Hal inilah yang berlaku dalam kes Kampung Mutiara.

Usahasama semua pihak

Walaupun demikian, memandangkan Kampung Mutiara merupakan penempatan lama, dan atas unsur perikemanusiaan dek kerana keengganan tuan tanah untuk memberi sebarang pampasan kepada penduduk setinggan, maka tindakan luar biasa terpaksa dilakukan.

Pertama sekali, Ketua Menteri Lim Guan Eng pada tahun 2015 telah mengisytiharkan bahawa sebarang pemajuan ke atas tanah tersebut akan ditolak sekiranya penduduk tidak diberi pampasan yang setimpal. Malangnya, pengisytiharan tersebut tidak dihiraukan oleh tuan tanah dan beliau telah meneruskan tindakan mahkamah.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga telah memulakan perbincangan secara serentak dengan wakil penduduk, iaitu Ketua UMNO Bukit Bendera Dato’ Seri Ahmad Ismail. Akhirnya, persetujuan dicapai antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, di mana kerajaan negeri bersetuju menggunakan kuasa pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk membeli tanah tersebut daripada tuan tanah, dengan dibiayai oleh agensi-agensi kerajaan pusat seperti UDA dan ICU.

Hasil kerjasama ini, maka barulah rundingan dapat dibuat secara serius dengan tuan tanah yang selama ini enggan berganjak. Akhirnya, pada 31 Julai 2017, perbincangan tiga-hala antara Timbalan Ketua Menteri I Dato’ Mohd Rashid Hasnon yang mewakili kerajaan negeri, Dato’ Seri Ahmad Ismail yang mewakili penduduk, serta tuan tanah sendiri, telah membuahkan hasil apabila kata sepakat telah tercapai.

Menurut perjanjian yang ditandatangani ketiga-tiga pihak tersebut, tindakan pengusiran akan ditangguhkan selama tiga bulan. Kerajaan negeri pula bersetuju menarik balik tindakan pengambilan tanah secara paksa. Sementara itu, penduduk dikehendaki untuk mengosongkan kawasan tersebut dan dipindahkan ke rumah sementara di Sri Tanjung Pinang, sehinggalah mereka dapat kembali ke Batu Ferringhi pada masa depan apabila rumah gantian dapat dimajukan oleh UDA.

Walaupun kerajaan negeri tidak mempunyai hak atau locus standi dalam hal tanah milik swasta seperti ini, namun pengaruh lain seperti kuasa pihak berkuasa tempatan untuk meluluskan pemajuan serta kuasa pengambilan tanah telah digunakan untuk mencapai matlamat untuk menyelamatkan penduduk.

Usah main politik

Malang sekali, media kawalan Barisan Nasional seperti Utusan Malaysia langsung menidakkan sebarang usaha kerajaan negeri, seolah-olah tidak berperanan langsung dalam menyelesaikan kemelut Kampung Mutiara. Ketidakjujuran ini amat mengelirukan dan jelas berniat untuk menggambarkan kerajaan negeri Pakatan Harapan secara negatif di khalayak umum.

Hakikatnya, tanpa usaha kerajaan negeri dengan menggunakan kuasa pihak berkuasa tempatan serta kuasa pengambilan tanah, serta peranan penting sebagai pemudah cara rundingan antara tuan tanah dan penduduk, sudah tentu penyelesaian tidak akan tercapai.

Sesungguhnya, kemelut Kampung Mutiara masih belum berakhir, dan kerajaan negeri Pakatan Harapan komited untuk memastikan penyelesaian yang adil, khususnya bagi penduduk. Justeru, semua pihak disaran agar tidak mempolitikkan isu ini dan sebaliknya memberi kerjasama tanpa mengira panji parti atau latar belakang politik.

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang

NB: This press statement was released on 2 August 2017 in George Town.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc