Ucapan Di Bawah Usul Berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan

Papan tanda Balai Polis Tanjung Tokong

Tuan yang dipertua,

Sistem birokrasi dan pentadbiran negara seharusnya memainkan peranan sebagai pemudahcara dalam penyampaian perkhidmatan awam. Namun begitu, pada kebanyakan masa, ia bukan sahaja tidak membantu malah merumitkan keadaan sehingga kebaikan am dikorbankan.

Izinkan saya membawakan satu contoh ketidakcekapan sistem birokrasi negara yang memudaratkan. Pada Mac 2016, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menulis surat kepada Jurutera Daerah JKR daerah Timur Laut Pulau Pinang bagi mendapatkan kebenaran untuk mendirikan papan tanda arah ke Balai Polis di Jalan Tanjung Tokong.

Papan tanda ini penting kerana kedudukan Balai Polis Tanjung Tokong adalah agak terlindung dari jalan utama dan tanpa papan tanda ramai yang tidak maklum akan kedudukannya. Hal ini sudah tentu akan menyukarkan orang ramai yang mahu berurusan dengan balai polis terbabit, apatah lagi dalam hal-hal kecemasan.

Malangnya, menurut MBPP, permohonan rasmi mereka tidak dibalas dan pegawai jabatan berkenaan hanya memaklumkan secara lisan bahawa mereka akan merujuk kepada Bahagian Selenggara Jalan Persekutuan. Kini, setelah setahun, permohonan tersebut masih menunggu jawapan rasmi daripada Bahagian Selenggara Jalan Persekutuan.

Isu ini sememangnya kelihatan remeh – hanya untuk mendirikan papan tanda jalan. Namun ia menampakkan satu masalah serius dalam sistem birokrasi dan federalisme negara ini. Ketidakcekapan pentadbiran persekutuan dalam isu yang mudah ini telah menjejaskan kepentingan orang ramai. Keadaan ini sungguh malang dan sepatutnya boleh dielakkan.

Tuan yang dipertua,

Dalam keghairahan sesetengah menteri untuk merampas Pulau Pinang melalui cadangan untuk menjadikan negeri tersebut sebagai Wilayah Persekutuan, ada baiknya karenah birokrasi akibat kepincangan amalan sistem federalisme ini diselesaikan terlebih dahulu.

Sepertimana Kerajaan sedia maklum, sistem federalisme berkisar pada agihan dan perkongsian kuasa antara kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan agar isu-isu yang bersifat tempatan dapat diuruskan dengan serta-merta dan lebih berkesan. Secara lazimnya, kerajaan persekutuan pula menumpukan kepada isu-isu bersifat nasional, hubungan antarabangsa serta memastikan pembangunan dan keselamatan rakyat dalam persekutuan. Tidak ada apa yang rumit dalam memahami konsep ini.

Akan tetapi, sistem ini secara amalannya seolah-olah telah bertukar kepada sistem unitari di mana kebanyakan isu mudah yang bersifat tempatan dirujuk dan dikendalikan oleh jabatan-jabatan persekutuan. Isu yang saya kemukakan ini adalah contoh yang amat jelas. Kenapakah perlu sebuah jabatan atau agensi persekutuan terlibat dalam penentuan atau kelulusan papan tanda jalan? Sepatutnya, ia boleh dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan. Keadaan ini jelas tidak optimum malah mendukacitakan apabila akhirnya, penyampaian kepada rakyat terjejas.

Maka, saya pohon mendapat kerjasama pihak kementerian untuk menyelesaikan isu yang amat mudah ini.

Sekian, terima kasih.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc