Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan 2018

Terima kasih atas peluang untuk turut serta dalam perbahasan peringkat dasar RUU Perbekalan 2018.

Tragedi Tanjung Bungah

Tuan yang dipertua,

Pada 21 Oktober 2017 yang lalu, telah berlaku satu kemalangan tragis di tapak pembinaan skim perumahan mampu milik di Lembah Permai, Tanjung Bungah, yang mengorbankan 11 nyawa pekerja – termasuk seorang rakyat Malaysia. Kejadian ini merupakan satu tragedi yang menyayat hati, lebih-lebih lagi buat keluarga mangsa. Saya sendiri berada di sana selama dua hari dan berasa sangat sayu apabila melihat pasukan penyelamat menarik keluar mayat mangsa satu demi satu dari runtuhan.

Tidak boleh dinafikan bahawa jentera Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bertindak dengan cukup cepat dan tegas. Dalam masa kurang sejam peristiwa berlaku, pemimpin negeri sudah berada di lokasi untuk membantu mengawal keadaan dan memudahcara operasi mencari dan menyelamat, bersama-sama dengan semua agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain lagi.

Pada tengahari itu, Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri melawat tapak tersebut dan terus mengumumkan bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Negeri yang bebas akan diwujudkan bagi memastikan tiada perkara disembunyikan demi mengenal pasti punca kemalangan. Suruhanjaya tersebut juga diberi mandat untuk memanggil sesiapa sahaja untuk disoal siasat. Tambahan kepada itu, semua minit mesyuarat dan surat-surat rasmi yang berkaitan dengan projek tersebut juga telah didedahkan atas nama ketelusan.

Pada masa yang sama, perintah berhenti kerja dikenakan dengan segera terhadap pemaju, sementara perunding profesional dan kontraktor utama yang terlibat dalam projek tersebut disenarai hitamkan sehingga keputusan siasatan diperolehi. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memerintahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk membuat laporan polis untuk menyiasat kemungkinan terjadinya kecuaian profesional (professional negligence). Bagi Kerajaan Negeri, keutamaan adalah untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada kompromi dalam hal ini.

Walaupun telah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa berhadapan dengan media arus perdana dan pihak-pihak tertentu yang ingin mengkambinghitamkannya seolah-olah peristiwa itu merupakan salah Kerajaan Negeri. Mereka cuba menggambarkan kononnya Kerajaan Negeri tidak menuruti tatacara pengendalian serta prosedur yang standard dan betul dalam memberi kelulusan bagi projek tersebut.

Tuduhan ini merupakan fitnah semata-mata, dan saya amat kesal dengan pihak-pihak yang mempolitikkan tragedi ini. Contohnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mengeluarkan kenyataan mengecam Kerajaan Negeri kerana meluluskan projek walaupun menerima bantahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai kuari serta lereng bukit yang curam. Dalam kenyataan Kementerian bertarikh 22 Oktober, Kerajaan Negeri didakwa tidak menerima nasihat JAS untuk mendapatkan penilaian impak alam sekitar (environmental impact assessment, EIA).

Kenyataan ini sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat untuk mengelirukan. Apabila semakan dibuat, ulasan daripada JAS melalui surat bertarikh 23 Januari 2015 menyatakan bahawa mereka tidak menyokong permohonan pemajuan tersebut atas sebab jarak kuari yang berdekatan, dan langsung tidak menyebut mengenai lereng bukit atau keperluan EIA.

Anehnya, JAS tidak pula membantah apabila Kerajaan Negeri terdahulu meluluskan Kolej Tunku Abdul Rahman yang terletak bersebelahan projek di mana kemalangan berlaku. Malah, jaraknya dari kuari juga lebih kurang sama jika tidak lebih dekat kepada tapak letupan. Tidakkah ini membuktikan sikap dwi-standard JAS?

Pada masa yang sama, rakan-rakan saya dari Sarawak telah memaklumkan bahawa terdapat dua kuari di Kuching, satu di Batu Tujuh dan satu lagi di Batu Stigang, yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan dengan jarak antara 250 hingga 350 meter sahaja dari tapak letupan – jauh lebih dekat berbanding projek yang ditimpa kemalangan. Jadi, mengapakah JAS boleh bertindak membantah projek perumahan mampu milik di Tanjung Bungah tetapi tidak membantah projek yang lebih teruk pelanggaran syaratnya?

Sehubungan dengan itu, Kementerian juga senyap mengenai hakikat bahawa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), juga sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, telah memberi lampu hijau kepada pemajuan yang sama di Tanjung Bungah. Perlu ditekankan di sini bahawa JMG merupakan agensi pakar bagi aktiviti pelombongan termasuk kuari serta kestabilan tanah dan lereng. Dalam erti kata lain, ulasan JMG dalam hal ini adalah lebih kritikal berbanding agensi-agensi lain, dan kelulusan telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan atas dasar sokongan daripada agensi pakar. Pada masa yang sama, selain JAS, tiada jabatan teknikal lain yang membantah projek tersebut.

Pun begitu, kenyataan turut dibuat dalam dewan yang mulia ini oleh Yang Berhormat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mendakwa kononnya PLANMalaysia (dahulu dikenali sebagai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) telah menolak permohonan pemajuan tersebut. Namun menurut surat jabatan itu sendiri kepada pihak berkuasa tempatan yang bertarikh 11 Disember 2014, mereka tidak membantah malah menyatakan tiada halangan.

Saya juga ingin tambah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya mengamalkan syarat yang lebih ketat dalam hal pembangunan di lereng bukit berbanding Kerajaan Persekutuan. Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melarang sama sekali pembangunan yang melebihi 76 meter dari paras laut manakala garispanduan Kerajaan Persekutuan menetapkan 300 meter sebagai paras maksima. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat tegas dalam hal pembangunan, tidak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Jelas, terdapat usaha berniat buruk oleh pihak sebelah sana untuk memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kemalangan yang berlaku. Saya mengecam tindak tanduk sedemikian kerana ia hanya akan menggangu siasatan serta menimbulkan kekeliruan dan kesusahan hati, khususnya bagi keluarga mangsa. Tindakan keji mereka yang mempolitikan isu ini amat dikesali.

Mengangkat martabat pasukan bomba

Tuan yang dipertua,

Rentetan tragedi di Tanjung Bungah, saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak rakyat Tanjung Bungah dan semua yang terlibat untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (bomba) yang telah menunjukkan dedikasi dan sikap kerja yang tidak mengenal putus asa. Usaha mereka yang berterusan selama 48 jam berturut-turut telah memungkinkan kesemua mayat mangsa dikeluarkan dengan segera walaupun tertimbus dalam runtuhan yang begitu besar.

Seramai lebih kurang 200 anggota bomba telah berkampung di kawasan kemalangan siang dan malam dengan membentuk tiga kumpulan yang bekerja secara bergilir-gilir bagi membolehkan operasi penyelamatan dilakukan secara 24 jam tanpa henti.

Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan daripada lima buah balai bomba, iaitu Bagan Jermal, Prai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Kepala Batas atas komitmen mereka dalam menghadapi situasi mencabar ini. Pada masa yang sama, operasi ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan daripada pasukan ibu pejabat dari Putrajaya serta pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team), pasukan STORM (Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia) dan unit pengesan (K9) yang telah menyumbang kepakaran mereka. Tidak dilupai juga pasukan-pasukan bomba sukarela yang telah membantu menjayakan operasi.

Semua warga bomba telah sekali lagi membuktikan bahawa mereka mempunyai kepakaran teknikal yang serba boleh dan mampu menghadapi apa juga cabaran. Operasi yang dilakukan tidak mudah apabila terdapat banyak cerucuk besi, batuan besar serta tanah liat yang melambatkan usaha mencari dan menyelamat. Mujur, dengan kepakaran pasukan bomba, segala cabaran dapat diatasi dalam masa yang singkat.

Walaupun senantiasa berhadapan dengan risiko yang amat tinggi, khususnya semasa kebakaran atau operasi penyelamatan dalam keadaan tanah runtuh, banjir dan musibah lain, pengorbanan anggota bomba seringkali kurang diiktiraf. Ini jelas terbukti apabila skim perkhidmatan mereka yang terletak di bawah Perkhidmatan Awam Am dianggap lebih rendah tarafnya berbanding Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Oleh yang demikian, saya ingin mengulangi cadangan yang pernah saya buat di dewan yang mulia ini, iaitu untuk menyelaraskan skim gaji anggota bomba agar setaraf dengan pasukan polis, kerana pelaksanaan tugas dan tanggungjawab pasukan bomba secara lazimnya mendedahkan mereka kepada risiko tinggi dan keadaan yang amat sukar dan bahaya.

Pada masa yang sama, elaun dan kemudahan pegawai bomba juga harus dikaji semula agar setimpal dengan tanggungjawab mereka serta kos sara hidup yang kian meningkat. Sebagai contoh, beban kerja anggota bomba di kawasan bandar adalah jauh lebih berat berbanding rakan sejawatan mereka di kawasan luar bandar atau separa bandar. Kadar kemalangan, kebakaran dan bencana adalah tidak sekerap berbanding di bandar. Tambahan lagi, kos untuk menyara diri dan keluarga di kawasan bandar adalah jauh lagi mahal. Namun, tiada elaun khas atau elaun tambahan selain Bantuan Sara Hidup (cost of living allowance, COLA) yang tidak seberapa. Seharusnya patut diwujudkan satu elaun khas, umpamanya “elaun risiko” yang menjadi kelaziman di negara-negara lain, berdasarkan kesukaran kerja dan tahap bahayanya sesebuah kawasan.

Sudah tiba masanya kita menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba kita. Tanpa wirawan kita ini, bagaimanakah boleh kita berhadapan dengan bencana-bencana yang melanda negara kita? Oleh itu, saya harap Kerajaan dapat mempertimbangkan penyemakan semula skim perkhidmatan bomba dan menaikkan gaji agar setaraf dengan rakan polis mereka. Dalam pada itu, semakan skala gaji serta penambahan elaun dan kemudahan sudah tentu akan menjadikan kerjaya ini lebih menarik kepada generasi muda.

Malaysia makin hilang kebebasan

Tuan yang dipertua,

Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada penangkapan penulis terkenal yang berasal dari Turki, Mustafa Akyol, atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Pada 25 September yang lalu, beliau telah dihalang daripada menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemudiannya ditahan oleh polis sehingga keesokan hari. Pada masa yang sama, bukunya yang berjudul Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty serta terjemahannya dalam bahasa Melayu telah diharamkam oleh Kementerian Dalam Negeri. Ironinya, Mustafa dikenakan tindakan yang dilihat dunia sebagai melampau sedangkan beliau secara lazimnya menulis dan bersyarah mengenai Islam sebagai agama keamanan yang menghormati hak individu.

Dalam pada itu, dengan menangkap dan menahan seorang cendekia awam yang berjuang untuk Islam yang sederhana dan toleran di persada dunia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) secara langsung telah menjadikan agenda wasatiyyah Perdana Menteri sebagai bahan jenaka.

Mustafa ditangkap ekoran syarahannya di beberapa forum dan seminar yang bertempat di hotel dan universiti. Semua program-program tersebut berbentuk akademik, malah dahulu saya sendiri pernah menjemputnya untuk berucap dalam program anjuran Penang Institute. Sebelum ini, tidak pernah ada masalah apabila beliau atau tokoh-tokoh sarjana lain memberi kuliah awam mengenai topik-topik berkait dengan agama Islam. Jabatan agama pula hanya mengambil tindakan terhadap penceramah yang bercakap di masjid tanpa permit.

Namun, Mustafa tidak berucap di masjid. Justeru, apakah seseorang itu kini memerlukan keizinan bagi membincangkan Islam di luar masjid juga? Adakah semua pensyarah universiti akan ditangkap jika menyampaikan modul berkenaan kajian Islam tanpa mendapatkan tauliah? Bagaimana pula dengan seorang bapa yang mengajar anak-anaknya mengenai asas-asas rukun Islam di rumah, atau ahli-ahli politik yang memetik Quran dan hadith dalam ceramah mereka?

Pokoknya, isu tauliah ini sangat bermasalah dan saya khuatir kini bertindak sebagai alat cengkaman ke atas semua Muslim. Apabila hanya mereka yang diberi lesen oleh pihak berkuasa berhak untuk bercakap dan berbincang mengenai agama Islam, maka ia akan mejejaskan perkembangan intelektual Islam. Pendekatan ini juga seolah-olah menganggap semua Muslim sebagai orang bodoh yang senang keliru.

Pada dasarnya, isu ini timbul akibat dua enakmen syariah. Pertamanya seksyen 11(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang berbunyi:

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Istilah yang digunakan iaitu “mengajar” ini terlalu luas dan tidak ditakrifkan secara jelas. Apakah yang dimaksudkan dengan mengajar? Jika dahulu, memberi tazkirah di masjid dianggap mengajar, tetapi sekarang adakah perbincangan akademik turut dianggap sebagai mengajar kuliah agama?

Seperkara lagi, berkenaan frasa “apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam”. Ini juga tidak ditakrifkan dengan tuntas. Adakah kita di dewan yang mulia ini juga dilarang daripada membincangkan apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah?

Sehubungan dengan itu, permasalahan juga timbul daripada seksyen 96 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, yang memperuntukkan pembentukan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama, iaitu badan yang mempunyai kuasa untuk memberi tauliah. Sekali lagi, takrifan dalam seksyen ini tidak jelas dan terlalu luas. Kuasa yang diberikan terlalu bersifat arbitrari dan sangat bergantung kepada budi bicara.

Kesimpulannya, perlu adanya kajian semula mengenai konsep tauliah ini. Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, ia tidak jelas dan senang disalahgunakan sebagai alat untuk mengekang kebebasan bersuara, kebebasan akademik dan kebebasan asasi lain yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan – ini bukan pendapat saya seorang tetapi juga pendapat mantan hakim mahkamah tinggi Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus[1] serta pakar undang-undang Islam Prof Shad Saleem Faruqi.

Sebagai pelindung Perlembagaan, kita selaku ahli dewan yang mulia ini tidak boleh membiarkan kebebasan asasi yang terkandung dalam undang-undang tertinggi negara kita dicabul dengan begitu sahaja. Bukan setakat Mustafa Akyol yang tertindas, malah rakyat kita juga sering dimangsakan. Ambil sebagai contoh pengurus kedai buku Nik Raina Nik Abdul Aziz yang didakwa dalam mahkamah hanya kerana bekerja dalam kedai buku yang menjual buku terlarang. Kini, pengerusi Islamic Renaissance Front Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa pula berhadapan dengan dakwaan bersubahat dengan Mustafa Akyol.

Di samping itu, buku Wacana Pemikiran Reformis (Jilid 1) dan (Jilid 2) oleh Ahmad Farouk juga diharamkan, bersama dengan buku-buku ahli akademik Faisal Tehrani dan, yang lebih menghairankan, buku Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy yang dihasilkan oleh G25, iaitu sekumpulan bekas pegawai awam kanan negara kita, turut dijadikan buku terlarang. Kerajaan harus menjelaskan apakah sebab-sebab spesifik yang mendorong kepada pengharaman buku-buku tersebut. Ini tidak termasuk lagi buku-buku komik Zunar – masakan dengan kartun pun Kerajaan takut? Tidakkah tindakan ini merupakan sesuatu yang regresif dan mendatangkan aib kepada negara?

Malah, Penang Institute dalam satu kajian bertajuk The Policing and Politics of the Malay Language telah mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan sebanyak 1,695 buku dari tahun 1971 sehingga sekarang. Daripada jumlah tersebut, 556 buku adalah dalam bahasa Melayu, 516 dalam bahasa Inggeris dan 450 dalam bahasa Cina. Bagi buku berbahasa Melayu pula, 61.7 peratus adalah berkaitan dengan agama.

Jelas, kita sedang menjurus kepada negara yang begitu menekan dan menindas pemikiran. Jika Kerajaan bersungguh-sungguh mahu memelihara dan memartabatkan Islam, dasar-dasar regresif seperti pengharaman buku serta kelemahan-kelemahan dalam undang-undang pentadbiran agama Islam perlu dikaji semula dan diperbaiki. Sekiranya dibiarkan, masyarakat kita akan menjadi dangkal dan jumud.

Justeru, saya menyokong cadangan Ketua Parlimen DAP iaitu ahli dari Gelang Patah untuk mewujudkan satu jawatankuasa Parlimen bagi mengkaji semula larangan ke atas kesemua 1,695 buku yang terlarang.

Kita tidak seharusnya takut dengan ilmu dalam buku, apatah lagi dalam dunia moden ini di mana sesiapa sahaja boleh mencapai apa-apa buku atau penulisan melalui internet. Tiada gunanya kita haram mengharamkan – lebih baik kita menggalakkan budaya pemikiran kritis dan wacana ilmiah agar rakyat kita menjadi lebih bijak menilai.

Penghasilan karya-karya baik akademik mahupun sastera juga perlu digalakkan sepertimana dilakukan oleh Khalifah Abbasiyah Harun Al-Rasyid (786-809M) apabila baginda menubuhkan Bayt al-Hikmah (House of Wisdom) di Baghdad yang menjadi tumpuan ilmuan dunia untuk mengkaji, menterjemah dan mengembangkan karya-karya daripada ketamadunan lain. Pada ketika itu, Eropah bersikap dogmatik dan pegawai-pegawai agama mereka mengawal dengan ketat perkembangan ilmu atas dasar memartabat kesucian agama. Ini mengakibatkan Eropah berada dalam zaman kegelapan (dark ages) selama ratusan tahun. Apakah kita kini sedang menyaksikan keterbalikan sejarah?

Sekian, terima kasih.

[1] http://www.thestar.com.my/opinion/columnists/reflecting-on-the-law/2017/10/12/drift-towards-intellectual-intolerance-according-to-tauliah-laws-muslims-must-speak-about-islam-only/#r47QfwvCfQsiDws4.99

NB: This speech was delivered on 31 October 2017 in Parliament.

Tags:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc