Ucapan Perbahasan RUU Perbekalan Tambahan (2016) 2017

1 Murid 1 Peranti

Tuan yang dipertua,

Titah Diraja yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 6 Mac 2017 menandakan pembuka tirai penggal kelima Majlis Parlimen ke-13. Ini bermaksud sudah lima penggal kita bermesyuarat sejak tahun 2013. Adakah mesyuarat kali ini merupakan yang terakhir sebelum rakyat memilih Parlimen ke-14? Kita masih tidak tahu, namun yang pastinya pilihan raya umum akan menjelang tidak lama lagi.

Dalam masa terdekat, kita boleh menjangkakan setiap pihak akan mula menjaja janji-janji manis agar dapat menawan hati dan undi rakyat. Pun begitu, saya tidak mahu menyentuh mengenai janji-janji akan datang. Sebaliknya, saya ingin bertanya mengenai janji-janji lalu.

Secara khusus, saya masih ingat dengan jelas, salah satu janji Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13. Izinkan saya memetik daripada surat khabar The Star pada 9 April 2013 yang menyebut: “The Government will provide every school student with a laptop next year if Barisan Nasional is returned to power.”[1]

Dalam erti kata lain, sekiranya Barisan Nasional menang, maka setiap murid di negara kita akan dibekalkan dengan sebuah komputer mudah alih agar mereka dapat memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pembelajaran mereka. Kini, pilihan raya seterusnya sudah hampir tiba, namun apakah status janji manis ini?

Dari segi penterjemahan kepada dasar, program ini diberikan jenama ‘1 Murid 1 Peranti’ ataupun 1 Student 1 Device, di mana setiap seorang murid akan menerima sebuah peranti untuk kegunaan mereka. Walau bagaimanapun, apabila saya mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai status program ini, jawapannya adalah bahawa 116,399 unit Chromebook, iaitu sejenis komputer mudah alih, telah dibekalkan oleh syarikat YTL, dengan kos RM248 juta.

Saya memang insaf bahawa saya tidak begitu arif dalam mata pelajaran Matematik semasa di bangku sekolah, tetapi saya pasti bahawa 116,399 itu amat jauh berbeza dengan bilangan murid di negara kita, iaitu lebih kurang lima juta orang. Malah jika dipuratakan dengan bilangan sekolah, ia bersamaan dengan lebih kurang 20 unit Chromebook sahaja bagi setiap sekolah.

Pembekalan Chromebook ini secara sendirinya juga menimbulkan pelbagai persoalan, seperti kosnya yang agak tinggi – lebih kurang RM2,130 seunit jika dibahagikan. Kos seunit itu jauh lebih mahal berbanding Chromebook yang boleh dibeli secara langsung dengan harga dalam lingkungan RM988 hingga RM1,299 seunit daripada syarikat pembuat asalnya, Samsung atau Acer. Meskipun dibekalkan dengan perisian dan sebagainya, namun bukankah YTL juga merupakan kontraktor bagi projek 1BestariNet yang bukan sahaja meliputi infrastruktur internet jalur lebar tetapi juga perisian atas talian melalui pelantar pembelajaran maya (virtual learning environment)? Mengapakah perlu dibayar kos lebihan bagi perisian dalam Chromebook? Dalam pada itu, mengapakah Chromebook itu tidak dibeli terus daripada Samsung atau Acer tetapi dibeli pula daripada YTL yang sudah mempunyai monopoli 1BestariNet bagi semua sekolah? Adakah tender terbuka dibuat bagi pembekalan Chromebook ini?

Balik kepada program 1 Murid 1 Peranti – saya setuju jika Kerajaan mengatakan adalah terlalu mahal untuk membekalkan seunit Chromebook atau apa-apa peranti lain sekali pun kepada setiap seorang daripada 10 juta murid di negara kita. Oleh yang demikian, saya ingin tahu mengapakah boleh Kerajaan membuat janji yang jelas tidak boleh ditepati? Bagaimanakah rakyat mahu percaya janji Kerajaan menjelang PRU ke-14, jika manifesto PRU ke-13 tidak dapat ditunaikan?

PISA 2015

Tuan yang dipertua,

Saya ingin sambung dengan membangkitkan isu keputusan program penilaian PISA (Programme for International Student Assessment) 2015 yang dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas.

Terlebih dahulu, sebagaimana Dewan yang mulia ini maklum, penilaian PISA ini melibatkan setengah juta murid sekolah berusia 15 tahun dari 72 buah negara. Fokus penilaian yang dilaksanakan setiap tiga tahun ini adalah terhadap tahap kefahaman dan kemahiran murid dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan membaca.

Penilaian PISA ini dilakukan mengikut piawaian antarabangsa dan ingin saya tegaskan bahawa penilaian ini tidak dilakukan dalam bahasa Inggeris tetapi berdasarkan bahasa pengantar pendidikan sesebuah negara itu. Penilaian PISA yang dijalankan oleh OECD (Organisation for Economic Cooperation and Development) ini juga rata-ratanya diterima di seluruh dunia sebagai penanda aras bagi mengukur kedaya saingan sistem persekolahan sesebuah negara. Malah, semasa lawatan saya ke Kementerian Pendidikan di United Kingdom baru-baru ini, pegawai mereka telah menegaskan perkara ini kepada saya.

Justeru, adalah mendukacitakan apabila saban tahun prestasi PISA bagi murid kita semakin merudum dan merosot. Kali pertama Malaysia mengambil bahagian pada tahun 2009, skor murid kita untuk kemahiran membaca adalah 414 mata dengan kedudukan pada tangga ke-55, 404 mata untuk Matematik pada tangga ke-57 dan 422 mata bagi subjek Sains pada tangga ke-52. Jika kita perincikan lagi, kita akan mendapati bahawa hanya 1.3 peratus murid kita berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top Performers (Tahap 5-6). Keputusan ini langsung tidak membanggakan jika dibandingkan dengan negara-negara serantau seperti Singapura di mana 40 peratus muridnya dikategorikan sebagai Top Performers, Taiwan 37.2 peratus, Hong Kong 33.7 peratus dan Korea Selatan 30.9 peratus.

Pada tahun 2012, kedudukan keseluruhan kita jatuh lagi, hampir ke tangga tercorot, pada kedudukan 52 daripada 65 buah negara yang mengambil bahagian. Kali ini, kemahiran membaca murid kita mendapat hanya 398 mata pada tangga ke-59, manakala Matematik mendapat 421 mata pada tangga ke-52 dan Sains dengan 420 mata pada tangga ke-53. Penilaian pada tahun 2012 ini juga menyerlahkan hakikat bahawa 51.8 peratus murid kita tidak memiliki kecekapan asas dalam Matematik (di bawah Tahap 2).

Setelah mencatat keputusan teruk secara berturut-turut ini, Menteri Pendidikan pada waktu itu menjanjikan penilaian PISA seterusnya akan menampilkan hasil yang lebih baik. Maka, pada 6 Disember 2016 yang lalu, Kerajaan dengan bangganya mengumumkan bahawa pencapaian murid kita dalam penilaian PISA 2015 telah meningkat berbanding penilaian 2012. Malaysia mencatatkan peningkatan keputusan dengan kemahiran membaca mencapai 431 mata pada kedudukan ke-50, iaitu peningkatan sebanyak 9 anak tangga berbanding 2012. Manakala bagi kemahiran Matematik, Malaysia mencatatkan 446 mata pada kedudukan ke-45, peningkatan 7 anak tangga dan Sains mencatatkan 443 mata pada kedudukan ke-47, peningkatan sebanyak 6 anak tangga.

Sudah tentu keputusan ini patut diraikan. Akan tetapi, kegembiraan kita itu diranapkan apabila semakan yang dibuat terhadap laporan rasmi PISA mendapati bahawa Malaysia tidak tersenarai dalam kalangan 72 buah negara yang mengambil bahagian. Laporan rasmi PISA menyatakan Malaysia, bersama dengan Albania, Argentina dan Kazakhstan, telah dikeluarkan daripada senarai 2015 kerana data yang diperolehi tidak boleh digunakan untuk perbandingan.

Menurut laporan tersebut, hanya 51 peratus kadar maklumbalas daripada sekolah di Malaysia berjaya diperolehi, jauh daripada kadar minimum yang diperlukan, iaitu 85 peratus. 51 peratus ini melibatkan 9,660 murid Tingkatan 3 daripada 230 buah sekolah dan 5,750 orang guru. Anehnya, sebelum ini, kadar penyertaan murid Malaysia secara lazimnya adalah tinggi. Contohnya, pada tahun 2009, 99.3 peratus murid terlibat, dan pada tahun 2012, 100 peratus terlibat. Apakah pengurangan mendadak ini disengajakan bagi mengelakkan murid berprestasi rendah daripada terlibat? Malah, jika kita mencerakinkan pecahan murid, kita akan dapati 30 peratus responden terdiri daripada murid Sekolah Berasrama Penuh, meskipun mereka hanya membentuk tiga peratus daripada populasi keseluruhan murid Tingkatan 3 di Malaysia.

Manipulasi ini adalah sesuatu yang mengejutkan lagi memalukan. Apakah kita sanggup menipu dunia? Lebih teruk lagi, menipu diri sendiri. Kerajaan pula dengan tanpa segan silu boleh menguar-uarkan kononnya prestasi telah meningkat. Sebenarnya, Kerajaan nampaknya bukan sahaja gagal untuk membaiki prestasi murid kita, malah tergamak memanipulasi data, atau dalam kata lain, menipu, untuk dilihat sebagai berada di landasan yang tepat.

Bersaing dengan negara maju bukan sesuatu yang mustahil. Apakah Kerajaan terlalu angkuh atau bodoh sombong untuk belajar daripada kejayaan Vietnam yang telah berjaya mentransformasikan sistem pendidikan mereka? Dalam penilaian PISA 2015 yang sama, Vietnam berada pada kedudukan kelapan bagi kemahiran Sains, ke-22 bagi Matematik dan ke-32 bagi kemahiran membaca. Malah, 10 peratus muridnya berada dalam kelompok Top Performers. Sebagai rekod, pada 2012, Vietnam berada pada kedudukan ke-17 dalam Matematik, kelapan dalam Sains dan ke-19 dalam membaca.

Lebih teruk lagi, Singapura, negara jiran kita yang dahulunya merupakan sebahagian daripada negara kita, berkongsi sejarah yang sama serta sistem pendidikan yang turut diwarisi daripada penjajah British, menduduki tempat pertama di dunia bagi ketiga-tiga mata pelajaran. Apakah alasan Menteri terhadap pencapaian unggul mereka dan kegagalan memalukan kita ini?

Sehingga kini, Kerajaan hanya membisu dan tidak memberi penjelasan penuh mengenai situasi yang amat memalukan ini. Bukankah ini suatu pengkhianatan kepada amanah yang ibu bapa di negara ini titipkan kepada Kementerian Pendidikan?

Sekian, terima kasih.

[1] http://www.thestar.com.my/news/nation/2013/04/09/ge13-laptop-for-every-student-if-bn-wins-again/

NB: This speech was delivered on 27 March 2017 in Parliament.

Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

© 2013-2016 Zairil Khir Johari. All Rights Reserved.
Designed and Implemented by Macrosoft Inc